MY NEXT HUSBAND BAB 11 & 12


LIMA TAHUN KEMUDIAN

BAB 11
Hari ini hari terakhir semester lima dan hari ini juga merupakan hari di mana mama meminta agar aku pulang ke rumahnya. Walaupun aku dan juga Noah sudah berpisah talak satu, kasih sayang serta layanan mereka terhadap diriku masih tidak berubah. Mereka tetap melayani aku persis akulah menantu kesayangan mereka.

Usai enjin kereta dimatikan, aku bawa langkah kaki menuju ke arah mama yang sudah berdiri berkira-kira mahu menyambut kepulanganku.
“Assalamualaikum mama...” Aku sua tangan lalu disambut tangan mulus mama. Dalam sesaat, tubuhku sudah kemas dalam dakapan mama. Rindu padaku agaknya.
“Waalaikumusalam, rindunya mama pada Sof.”
“Sof pun rindukan mama. Lama tak jumpa mama.” Pelukan terlerai dan anak mata kami saling bertatapan namun kedua tangan kami pula masih berpegangan.
“Tahupun, asyik sibuk aje. Sampai nak melawat mama pun tak sempat.”
“Sorry ma, semester ni Sof busy sangat-sangat. Mujur dah selesai, kalau tidak… tak tahulah betapa stresnya Sof.”
“Kesian anak mama. Takpe, balik ke sini Sof berehat-rehat aje, tak payah fikir pasal isu-isu kampus.”
“Okey mama. Arahan diterima.” Aku senyum dan mama juga ikut tersenyum dengan usikanku.
“Dah, apa tercegat lagi.  Jom join mama dengan papa hi-tea.”
Aku ikut mama lalu duduk di kerusi kosong. Waktu begini terasa janggal pula bila bebola mata papa tak henti tenung aku. Haih, aku ada buat apa-apa kesalahan ke?
“Err papa, papa sihat?” Ungkapku demi menutup rasa sunyi yang melanda.
Papa senyum sambil mengangguk.
“Papa sihat. Sof sihat? Mama dah rindu sangat pada Sof, banyak kali ajak papa ke kampus Sof, tapi papa busy, tak sempat nak bawa mama ke sana.” Jawapan papa berjaya mengubah sunyi seperti tanah perkuburan kepada pasar borong yang meriah dengan suara penjual.
Sorry tau mama, bukan Sof tak nak balik. Tapi Sof sibuk mengalahkan YB. Busy dengan exam, program anak yatim, sibuk dengan kelab fakulti, shopping, kerja, bergosip dan macam-macam lagilah mama. Sorry okey, lepas ni Sof janji, ada masa terluang Sof akan teman kemana saja mama nak pergi. Named it, Sof cuba penuhi semuanya.”
“Yelah tu... anak mama sorang ni bukan mama tak kenal, bagus dan baik, tapi itulah... bila muncul yang sorang lagi, terus yang baik ni senyap dan bawa diri jauh-jauh. Macam manalah mama tak sedih?” wajah mama muram.
Aku tahu tapi aku tiada pilihan. Takkanlah bila Noah wujud, aku masih nak tergedik-gedik bermanja dengan mama. Aku ni bekas menantu dia aje, Noah tu anak mereka. Haruslah aku sedar diri supaya tak melangkaui batas.
“Sof tak selesa ya bila Noah balik?”
Aku diam. Jujurnya hampir lima tahun juga aku tidak pernah bertemu muka dengan Noah Safwan. Entah bagaimanalah rupa dia sekarang ni.
“Noah dah lain.”
Untuk apa mama maklumkan hal Noah kepada diriku. Lain atau tidak, Noah tetap duda aku. Bila teringat balik kepada Noah, aku mula rasa perasaan rugi yang bergunung-ganang. Kalaulah ketika itu aku berani melawan, tentunya dahi Noah akan bertelur lima. Paling tidak, patah riuk tulang lelaki ego itu.
Tapi hal inilah yang aku kesalkan hingga ke hari ini. Kenapalah ketika itu, aku terlalu solehah. Hendak berbalas hujah sekalipun, lidahku berat persis ada sauh terbenam di dasar mulut. Sudahnya aku jadi bahan hina dan keji mulut laser Noah tanpa simpati darinya.
“Sof, ni mama nak tanya ni, berapa lama Sof cuti?”
“Esok Sof cuti lagi ma, lusa Sof dah start praktikal.”
“Praktikal?” ulang mama dengan wajah terkejut. Papa senyum saja mendengar perbualan kami.
“Tadi last exam untuk sem lima, lusa Sof dah mula kerja maksudnya dah bermulalah semester enam.”
Mama mengeluh perlahan.
How time flies. Diam tak diam, dah lima tahun berlalu. Erm, dah lima tahun juga Noah dengan Sof berpisah.”
“Dah takde jodoh kami, ma.”
Mama mengangguk.
“Maafkan mama ya, Sof.”
“Ma, kenapa mama pula yang nak minta maaf? Bukan salah mama pun. Antara Sof dengan Noah, jodoh kami hanya setakat tu je, ma. Tak perlulah mama rasa bersalah.” Aku senyum. Namun mama masih serius raut wajahnya.
“Kadang-kadang, bila duduk sorang-sorang, hati mama selalu sangat dijentik rasa kesal. Kesal dengan perbuatan Noah. Diceraikan Sof, lepas tu menghilangkan diri berbulan lamanya. Tahu-tahu sudah berada di London! Bertuah punya anak.” Bebel mama terselit nada kesal di hujung bicaranya.
“Perkara lama ma, janganlah kita kenang. Sof okey, alih-alih mama pula yang stres.”
“Betul kata Sof tu, Arya. Daripada awak kenang kisah zaman tok kaduk tu, apa kata awak tuangkan kopi untuk suami awak ni. Dahaga sungguh tekak saya.” Suara papa buat aku membaris sejuring senyuman nipis. Agaknya papa sengaja mengubah topik supaya suasana perbualan kami lebih santai dan tenang.
 Dan ketika kami leka berbual, sebuah kereta bewarna merah garang memasuki perkarangan rumah lantas menuju ke garaj yang agak terselindung dengan pohon hiasan mama.
Gulp! Mesti Noah. Siapa lagi selain anak tunggal mama dan papa.
“Mama, itu kereta dia ke?”
“Ish, kenapa dia dia... panggil Abang Noah kan mesra sikit.”
“Tak naklah mama. Dia kan tak suka.” Balasku tapi anak mata masih statik memandang kereta yang baru sahaja dimatikan enjinnya.
Tiba-tiba sahaja degup jantungku bertukar irama. Seperti ada sesuatu yang sedang berlaku di dalam dada. Allah, kuatkan hatiku untuk berdepan dengan dirinya. Antara aku dan dia, hubungan kami telah lama berakhir. Cekalkan hatiku untuk berdepan dengan dirinya untuk kali pertama setelah lima tahun berlalu. Keraskan hatiku ya Allah. Supaya aku terlihat kuat di hadapan matanya kelak.
“Sof… are you okay?” Mama cuba mengintai raut wajahku.
Aku yang tersedar cepat-cepat mengangguk.
“Sof, okey ma. Sof rasa, elok Sof masuk ke dalam. Takut bertembung.”
“Eh, nantilah dulu.” Mama menahan.
Aku yang berkira-kira ingin bangkit, kembali menghenyak punggung lalu memperkemaskan semula duduk yang sedikit senget. Mata terus memerhati sehinggalah pandangan ini menangkap susuk tubuh tinggi lampai bersama haruman yang sangat-sangat familiar pada deria bauku. Ah, haruman itu. Haruman yang selalu mengingatkan diriku terhadap dirinya.
“Noah dengan siapa tu mama?” Ajuku sebaik melihat seorang lagi keluar dari perut kereta.
“Sof tak kenal?”
Aku geleng. Manalah aku kenal. Girlfriend Noah agaknya.
“Raisha. Cucu kepada datuk sedara mama.”
“Oh, Raisha namanya. Cantik!” Pujiku ikhlas.
“Memang cantik. Dia tu optometries, merangkap pemilik kedai cermin mata Optometri Raisha. Ha, tak lama lagi nak buka cawangan di negeri sebelah utara pula.”
“Wow, hebatnya dia mama.”
“Memang hebat! Jiwa orang berniaga. Oh ya, kalau Sof nak tahu, Raisha betul-betul berkenan dengan Noah.” Bisik mama tiba-tiba buat aku tersentak. Kalau dah suka, kenapa tak terus kahwin?
“Sof... senyap je...”
“Err Sof nak cakap apa ya mama?” mukaku cuak persis disiram cuka.
Mama senyum seraya mengelus lembut pergelangan tanganku.
“Sof okey ke kalau Noah kahwin dengan perempuan lain.”
Aku tunduk sesaat sebelum kembali memandang wajah mama. Senyum kuukir mesra lalu anggukan kecil aku hadiahkan sebagai jawapan.
“Sof tak kesah mama...”
“Tapi mama kesah... mama nak Sof jadi menantu mama. Haih, kalaulah mama ada seorang lagi anak lelaki, mesti mama jodohkan dia dengan Sof.”
“Ma...” lengan mama kusentuh.
Mama pandang aku dan waktu ini aku bersedia untuk berbicara.
“Dah tak ada jodoh Sof dengan Noah. Jodoh kami sekejap je ma. Noah tak suka Sof... hubungan Sof dengan Noah seperti jauhnya langit dengan bumi. Kami tak ada persamaan, kami tak sekufu dan banyak lagi perbezan yang tak mungkin membantu hubungan kami mama.”
“Tapi mama betul-betul sayangkan Sof...”
Aku senyum hambar. Untung mama sayangkan aku tapi yang ruginya, Noah membenci diriku sejak kali pertama dia melihat diriku hinggalah hari terakhir kami menjadi pasangan suami isteri. Hubungan kami seperti bonggol jalan dengan kenderaan.
Dia anggap sekeping hatiku persis bonggol di atas permukaan jalan, manakala dia adalah kenderaan yang sentiasa lalu lalang. Dan dengan sengaja dia melanggar hatiku tanpa sekelumit rasa simpati. Sudahlah dilanggar, lepas tu dilenyek-lenyek sehingga lunyai. Ha, itulah sekeping hati yang telah disakiti dan dicederakan oleh Noah Safwan.
“Sof pun sayangkan mama. Walau bukan menjadi menantu mama, Sof tetap sayang mama sama macam dulu-dulu.”
“Betul ni Sof?”
“Ya mama. Sayang Sof tak pernah berkurang untuk mama dan papa.”
“Allahu, terharu pula mama mendengarnya, Sof.
“Ma… Noah pun dah balik tu. Sof masuk dululah. Nanti kalau-kalau Noah nampak Sof, mesti dia tak suka.”
“Alah, duduklah dulu. Minum-minum.” Mama tarik pergelangan tanganku supaya kembali duduk dan berlagak bersahaja sekiranya berdepan dengan Noah. Tetapi, maaf seribu kali maaf. Aku tak kuat dan aku bimbang, air mataku tumpah untuk sekian kalinya.
“Arya, biarkan Sof pergi.” Papa membantu dalam sesi memujuk rayu mama.
“Arya nak bagi tau Noah, yang Sof ada kat sini.”
“Nanti Noah akan tahu. Dah, jangan memaksa Sof. Biarkan dia berehat di bilik.”
Kerana arahan papa, mama menurut juga. Fuh, mama boleh dikategorikan sebagai wanita solehah idaman lelaki. Mudah dijaga, mudah dinasihati dan serba serbi serbi sempurna.

















BAB 12

“Awal Noah balik hari ni?”
“Ya ma, tak ada inspection boleh la balik awal sikit. Err siapa datang ma?”
“Haah, siapa datang ni aunty?” tanya Raisha menyampuk perbualan antara Noah dengan mama. Mesti Noah terpandangkan kereta aku di dalam garaj.
“Anak kawan aunty.”
“Siapa?” soal kedua-duanya serentak.
“Rin!” ucap mama mengubah nama panggilanku Rindu Sofrina kepada Rin.
Rin sebagai anak kawan mama, Sof pula sebagai bekas menantu. Huh, hebat juga mama menyembunyikan identitiku.
“Haih, sejak bila mama pandai bawa anak kawan mama balik ke rumah ni?” nada Noah biasa-biasa saja.
“Entah, papa pun tak tahu sejak bila mama kamu pandai bawa orang luar balik ke rumah. Ni, mesti ada apa-apa ni.” Sampuk papa sempat lagi mengusik mama. Dan mama apa lagi, tayang isyarat mata supaya papa tak bocorkan rahsianya pada mereka semua.
So, dia buat apa kat sini?” nada Noah seperti tidak senang. Cemburu agaknya dengan perihal ‘anak kawan mama’ yang mama sebut-sebutkan tadi.
Dari sebalik jendela bilik ini, aku memandang keduanya secara curi-curi. Mujur cepat menyusup masuk ke dalam. Kalau tidak, terpaksalah berdepan dengan bekas suami sendiri. Jika hal itu terjadi, entah bagaimanalah keadaanku ketika berhadapan dengan seseorang yang pernah aku kasihi.
“Mama yang jemput. Maklumlah mama sunyi, sekurang-kurangnya bila Rin ada, taklah mama sunyi.”
“La... aunty sunyi ke? Kenapa tak beritahu Sha...”
Mama pandang wajah Raisha yang bimbang lalu disentuh lengan itu. Suara pujukan mama buat sesiapa sahaja rasa terpukau menjadi lemah lalu menurut dengan rela hati. Tambah-tambah sentuhan mama datang bersama usapan lembut. Sesiapa sahaja akan terjerat dengan kelembutan itu.
“Aunty tak nak susahkan Sha... Lagipun Sha sibuk dengan kerja, balik tentu dah penat. Hujung minggu pula mesti nak berehat-rehat. Jadi, aunty suruh Rin datang temankan aunty shopping.”
“Kalau shopping mesti Sha takkan penat punya aunty.”
Sungguh ni?”
“Ya sungguh. Cakap je bila, Sha boleh temankan aunty.”
“Kalau begitu, next time aunty nak ajak Sha jalan-jalanlah. Kita shopping okay.” Wajah mama jelas teruja persis menang cabutan bertuah. Bercahaya sungguh bila menekankan perkataan shopping.
Okey aunty. Kalau nak minta Sha temankan, just tell me. Sha akan cuba ambil cuti.”
Terima kasih. Apa-apa pun, aunty kalau boleh tak nak susahkan Sha.” Komen mama buat raut wajah gadis bernama Raisha sedikit kelat. Gagal memujuk mama agaknya.
“Ni Noah nak tanya ni... sejak billa mama pandai ajak orang lain pergi shopping? Tak cukup ke Noah temankan mama selama ni?” bibir lelaki merah sensual itu terlukis sebuah senyuman manis.
Alahai, kalaulah dulu dia senyum sebegini sudah tentu aku akan setia menjadi isterinya. Tetapi, ketika aku masih isterinya, bukan sahaja tiada senyuman bahkan mahu bercakap sepatah pun payah. Dia dingin lalu aku akan jadi beku. Bila dia panas, aku pula dah lama cair memujuk sendiri hati yang disakiti.
“Dulu mama ada dua orang anak, tapi yang sorang dah jauh dari mama”
“Ma...” kali ini suara Noah berubah nada.
“Er aunty ada anak lain? Kat mana dia sekarang? Kenapa Sha tak tahu pun?”
“Cerita lama, tak perlulah you tahu Sha. I nak masuk ke rumah, penat!” Noah terus bangkit lalu menarik briefcasenya sebelum melangkah malas masuk ke dalam rumah. Jelas, mood Noah bertukar hanya dengan sepatah perkataan sahaja.
Raisha pula sudah terpinga-pinga bila amaran Noah hinggap ke telinganya. Pada firasatku, pasti Raisha berasa hairan dengan perubahan mood Noah seketika tadi.
“Jangan ambil hati dengan Noah... dia memang macam tu. Moody...” sampuk papa tiba-tiba.
“Oh... okey-okey... Sha faham. Maklumlah kerja macam dia, memang penat sikit aunty, uncle.” Angguk Raisha sangat-sangat memahami orangnya.
“Sha tentu penat, pergilah berehat... nak makan ambil di dapur. Aunty dah siap-siap masak tengah hari tadi.”
“Aunty dah masak? Wah, mesti sedap. Sha masuk dulu ya. Tak sabar nak makan masakan aunty.”
“Ha, pergilah. Pandai-pandailah Sha layan diri.”
“Baik aunty. Don’t worry!”
Waktu ini mama dan papa hanya menghantar kepergian Raisha dengan pandangan tidak berkelip sebelum masing-masing saling bertatapan menghantar isyarat mata yang hanya keduanya sahaja mengerti erti disebaliknya.


NEXT entry pukul 6

Comments

Popular posts from this blog

CERPEN MILIK ENCIK POLIS PART II