MY NEXT HUSBAND 1 & 2



My Next Husband


BAB 1

“Keluarkan orang dalam kereta Mazda tu!” Pekik satu suara sayup-sayup menampar halwa telinga. Aku yang terlena terasa payah untuk membuka mata. Namun rasa bahang yang mula menampar wajah, memaksa kelopak mata ini terbuka dengan sendirinya.
“Ya, Allah… apa yang berlaku ni?” Aku panik dan tercari-cari sesuatu yang aku sendiri tak pasti.

“Cepat! Kereta ni nak terbakar!” suara lelaki itu bergema dan aku memandang wajahnya yang keresahan. Aku bisu dalam keliru yang bertandang.
“Cik, jangan termenung lagi! Kereta ni nak terbakar.” Pipiku ditepuk berkali-kali dan aku yang pada awalnya menyangka semua ini hanyalah mainan mimpi, mula tersedar yang aku benar-benar berdepan dengan situasi cemas yang benar-benar terjadi di depan mata.
 Suara jerit pekik orang ramai silih berganti menerobos ke gegendang telinga, tidak cukup dengan itu aroma petrol yang tumpah juga sudah menusuk ke rongga hidung.  Aku kaget!
“Ah, apa yang sebenarnya terjadi?” Soalku masih keliru namun kornea mata sempat mengamati suasana di luar tingkap kereta. Bunyi siren ambulan kedengaran di sana sini, jalan raya yang tadi lancar bertukar sesak dengan sekelip mata. Kenderaan di lorong bertentangan pula mulai memperlahankan kenderaan, cuba melihat kemalangan yang berlaku.
 “Keluar! Kereta nak terbakar!” Melihat aku yang masih tidak memberi apa-apa respon, lelaki itu pantas bertindak. Dia, lelaki yang tidak aku kenali menarik kedua tanganku sekuat kudratnya hingga aku jatuh terjelepuk ke atas jalan raya.
Dengan rasa mamai yang belum hilang sepenuhnya, anak mata menangkap kenderaan yang terlibat dengan kemalangan. Dua buah kereta bersama sebuah treler muatan berat.
Mama? Papa? Mereka di mana? Aku pandang sekeliling, tiada kelibat mereka. Lelaki tadi juga hilang dari pandangan mata. Yang ada hanyalah petugas keselamatan yang mengawal lalu lintas, anggota kesihatan yang sedang memberi bantuan kecemasan serta beberapa pasukan beruniform yang kalut ke sana dan ke mari. ! Aku cemas! Ini bukan lagi mimpi. Ini kenyataan yang menakutkan.
Aku gagahkan diri untuk bangkit dan mencari orang tuaku. Mama? Papa? Di mana mereka? Jangan takutkan Sof! Aku hampiri beberapa pemuda yang tersandar di penghadang besi di tepi lebuh raya. Satu persatu raut wajah mereka aku perhatikan namun tiada satu pun yang aku kenal.
“Mama papa…” rintihku menahan sebak.
“Mama dengan papa kat mana?” air mataku gugur juga. Dalam mencari mereka, ada seseorang menegur. Aku fikir dia seorang kakitangan hospital.
“Adik, okey tak ni?”
“Mana mama dan papa saya?” soalannya tidakku jawab namun pertanyaan tentang ibu dan bapaku lebih dahulu meluncur keluar dari belahan bibir ini. Air mataku pula semakin laju menitis. Berdebar dan rasa bimbang bersatu dalam diri. Sejak aku terjaga daripada lena, kelibat keduanya masih belum tersapa di ruang mata. Ya Allah, selamatkanlah mereka.
“Adik yang naik kereta Mazda hitam tu ke?”
“Ya, saya.” Resah ini semakin menebal.
“Begini adik, pemandu dan penumpang kereta Mazda telah dibawa ke hospital kerana kecederaan parah. Mereka tercampak keluar dari kereta.”
“Allah!!! Macam mana keadaan mereka sekarang?” Ajuku semakin tidak keruan. Ya Allah, apa yang berlaku? Mengapa semuanya terjadi secara tiba-tiba? Ya Allah, selamatkan kedua orang tuaku. Aku hanya ada mereka di dunia ini ya Allah.
“Adik, dan yang cedera ringan akan menyusul ke hospital sekejap lagi. Ambulan kedua akan datang, nanti adik terus ke hospital unit kecemasan. Minta maklumat parents adik pada mereka.”
Hanya anggukan yang mampu aku berikan tatkala keadaan kedua ibu bapaku masih tidak dapat kuketahui ketika ini.
Dalam meratap sedih, menanti ketibaan ambulan yang satu lagi, anak mata ini menangkap kelibat seorang lelaki yang berwajah sugul. Lelaki itulah yang menarik diriku keluar dari kereta papa sebentar tadi,
BOMMMM!!!
Letupan kuat secara tiba-tiba itu membuatkan aku yang berada tujuh meter dari kereta milik papa melayang ke udara. Tika ini terasa duniaku sepi, yang kedengaran hanyalah sayup-sayup siren ambulan dan suara jerit pekik manusia yang semakin kuat diiringi api yang naik menjulang ke udara.  
Aku perhatikan alam di malam yang hitam pekat berteman remang lampu jalan, semua kesayuan itu memenuhi segenap pandangan. Aku lemah, longlai, dan akhirnya duniaku yang suram bertukar menjadi gelap dan gelita. Aku rebah!



















BAB 2

“Apa nak jadi dengan Noah? Kereta baru sebulan pakai lingkup macam tu aje. Tak cukup dengan hal tu, sibuk berfoya-foya dengan perempuan entah mana-mana!”
“Bukan perempuanlah papa, itu semua kawan-kawan satu batch dengan Noah.”
“Tak kiralah kawan satu batch ke, satu kelas ke, satu kampus ke… satu negeri ke?! Noah tahu tak perbuatan Noah melampau. Angkut anak dara orang ke hulu ke hilir.”
“Noah tak angkut, mereka yang ikut!”
“Oh, mereka yang ikut bukan Noah yang angkut. Hah, beri jawapan tu pada mak bapak budak perempuan yang kemalangan tu. Agak-agak Noah, parents mereka boleh terima alasan Noah tu?”
“Tak terima sudahlah! Bukan salah Noah pun.”
“Budak ni karang tak pasal-pasal makan penampar aku! Kurang ajar!”  Di kerusi menunggu, pergaduhan dua beranak itu tidak langsung menarik perhatianku. Pemuda itu adalah lelaki yang menarik diriku keluar dari kereta yang meletup beberapa minit setelah aku berada sedikit jauh dari kereta papa.
Aku kerling keluarga kecil itu dengan pandangan yang masih basah dengan air mata. Terlihat seorang wanita menghampiri.
“Sabar abang. Ini hospital, jangan buat kecoh. Malu kat orang.” Susunan katanya lembut, intonasinya juga tenang. Aku fikir itu ibu kepada pemuda tadi.
“Dah habis sabarlah ni, kalau tidak…”
“Sudah bang, bawa bertenang.  Sini duduk dulu, biar Arya yang handle Noah.”
Lelaki yang mungkin sebaya dengan papa itu mendengus sebelum bergerak ke kerusi kosong sebelum duduk bersandar melepas keluhan. Sejurus itu, wanita yang aku kira lebih kurang umur sebaya dengan mama mendekati si anak.
“Noah, macam mana keadaan kawan-kawan yang lain?”
“Yang lain okey, luka sikit-sikit. Yang seorang je, cedera teruk ma? Ada kat dalam bilik OT.”
“Mama dah pesan, jangan bawa kereta laju-laju. Ni… kenapa ada bau semacam je?” Wanita itu mendekatkan wajah ke tubuh anaknya lalu cuba menghidu bau yang dimaksudkan.
“Eh, apa ni mama?” Si anak cuba menjauhi.
“Noah minum ya?” teka si ibu lalu dinafikan oleh anaknya.
“Taklah!”
“Baik Noah mengaku, apa yang Noah buat?”
Pemuda tadi diam, hanya menggeleng sebagai jawapan dari tuduhan ibu serta bapanya.
“Noah minumkan?!”
“Tak mama!”
“Jangan bohong dengan mama! Noah minumkan?!”
“Takkk!”
Panggg!!!
“Dah buat salah cuba menafikan. Apa nak jadi dengan Noah. Pernah mama dan papa ajar teguk air setan tu? Pernah ke tidak!”
Lelaki itu tidak menyahut namun tapak tangannya menggosok pipi yang pijar. Pedih ditampar oleh bapa sendiri. Nasiblah, berani buat beranilah tanggung.
“Berapa kali Noah minum? Beritahu mama! Jangan berselindung lagi!”
Lelaki disapa Noah oleh ibu dan bapanya senyap tidak berkutik.
“Noah!” Si bapa pula bertegas lantas si anak menjawab.
“Baru sekali. Hari ni.” Perlahan namun berjaya hinggap ke gegendang telingaku.
“Astaghfirullahallazim Noah. Papa beri didikan agama, bagi faham apa yang halal dan apa yang haram. Sudahnya, Noah tetap pilih yang haram.”
“Sekali je papa. Noah mengaku Noah tersilap.”
“Bukan silap tapi cari silap. Patut Allah hukum Noah hari ni, sebab Noah dah buat dosa besar. Minum arak tu haram nak. Haram.” Suara yang tadi tegang sudah bertukar kendur. Aku renung pintu bilik pembedahan, lampu di balik perkataan Operation Theater masih lagi bernyala.
Di hadapan bilik OT ini juga, suasana marah kecewa dan sedih keluarga itu hanya aku sahaja yang dapat mendengarnya. Lantaran ketika ini tiada sesiapa melainkan aku dengan keluarga itu menanti hasil pemeriksaan doktor dengan perasaan debar yang tidak berkesudahan. Fokus mereka terarah kepada seorang pesakit wanita yang cedera parah manakala fokusku pula hanya pada mama dan papa. Doa tidak henti kusisipkan buat kesemuanya. Semoga segala permintaan dan rayuanku untuk melihat mama dan papa selamat akan dimakbulkan Ilahi.
Dua jam sudah berlalu. Bunyi daun pintu berkicut dari dalam menarik perhatianku dan juga keluarga kecil itu.
“Siapa waris Rindu Sofrina?”
“Saya!”
Aku angkat tangan lalu cepat-cepat bangkit mendekati petugas hospital berpakaian biru dengan topeng muka yang ditarik hingga ke bawah dagu.
“Bersabar ya cik.” Sebaris kata-kata pertama itu membuatkan jantungku bagai mahu tercabut keluar.
“Macam mana keadaan parents saya?”
Petugas itu tidak terus menjawab. Air mukanya sugul dan kelihatan halkum lelaki itu bergerak-gerak persis sedang menyusun kata untuk diperdengarkan di hadapanku.
“Kami mohon maaf, pihak kami sudah melakukan sehabis daya, semampu mungkin. Dan, atas ilmu serta kebolehan yang terbatas ini, pihak kami gagal menyelamatkan kedua ibu dan bapa cik.”
“Allah!” Aku tekap tapak tangan di atas dada sambil menahan diri daripada rebah.
“Jantung kedua-dua patient telah berhenti berfungsi. Kami telah berusaha dan ternyata Allah lebih sayangkan mereka. Kami minta maaf, cik. Kami tak mampu melakukan apa-apa lagi. Semoga cik bersabar dan semoga Allah beri ganjaran di atas kesabaran cik.”
“Ya Allah!” Sejurus kata-katanya berakhir, dadaku terasa sempit seperti ada batu besar jatuh menghempap diriku. Dari berdiri, kedua kakiku bertukar menjadi lembik dan tidak semena-mena aku jatuh terduduk di atas lantai. Ya Allah, mengapa KAU duga diriku dengan ujian sehebat ini. Ujian di mana aku tidak mampu menghadapinya.
“Cik…” petugas itu cuba memujuk.
“Saya sayangkan mereka. Mereka tak boleh mati sebab saya dah tak ada sesiapa kat dunia ni. Mereka tak boleh mati! Tak boleh!!!”
“Ya, Allah… sabar nak!” seseorang datang memeluk tubuhku. Erat dan hangat.
“Mereka tak boleh mati. Sof dah tiada sesiapa kat dunia ni. Mama, papa… tolonglah jangan tinggalkan Sof. Jangan mati, jangan pergi! Kenapa tinggalkan Sof sorang-sorang kat sini. Sof dah tak ada sesiapa. Tolong jangan mati!” Tangisku bersama air mata yang berjuraian. 


Comments

Popular posts from this blog

CERPEN MILIK ENCIK POLIS PART II