MY NEXT HUSBAND 3 & 4
BAB
3
Malam
ini tubuhku hangat, aku demam secara tiba-tiba. Kelmarin urusan perkebumian ibu
dan bapaku berjalan lancar dengan bantuan Mak Tijah dan Pak Mud. Namun awal
pagi tadi ada berita buruk sampai ke pengetahuanku.
Pada
asalnya, aku dan arwah ibu bapaku dalam perjalanan ke Pulau Pinang melawat
nenek yang sakit tua. Sudah sekian lama tidak bertemu, kiranya ini pertemuan
paling dinanti-nanti oleh mama dan papa kerana nenek telah memaafkan orang
tuaku disamping faktor kesihatan nenek yang semakin merosot sejak akhir-akhir
ini.
Kata
nenek, sebelum dia pergi menghadap Tuhan, dia mahu bertemu dengan mama dan papa
walau apa cari sekalipun, sama ada hidup mahupun mati. Dan permintaan nenek
dikabulkan olehNYA. Ya, mama dan papa tetap pulang ke sisi nenek namun pulangnya
hanya jasad tanpa nyawa.
Ternyata
kepulangan itu menambah kesedihan di hati nenek dan pagi tadi nenek pula
kembali ke dunia yang satu lagi. Kesedihanku berganda-ganda bila teringatkan
nenek disemadikan bersebelahan dengan pusara orang tuaku. Mereka berjauhan di
dunia nyata, namun bersebelah di dunia yang satu lagi.
“Sof,
tak tidur lagi?” suara Mak Tijah memecah hening. Cepat-cepat kuseka tubir yang
tadinya hangat dengan air mata. Sesudah itu, aku menoleh ke arah Mak Tijah,
emak saudara yang satu-satunya menganggap aku sebagai anak saudaranya
berbanding emak saudara yang lain.
“Belum
lagi Mak Tijah.” Senyuman hambar kuukir untuk tatapan matanya. Sesudah itu aku
kembali memerhatikan alam yang gelap dan kelam.
Titis
hujan yang turun dari cucur atap kurenung kosong. Sekosong hati seorang gadis
yang telah ditinggal pergi. Perlahan-lahan, nafas kuhela dan mata ini kukatup
rapat. Mencari sebuah ketenangan yang telah lama hilang.
Saat
kedamaian itu menjengah, kutelan liur dan kubuka sepasang mata yang tadinya terpejam.
Kuperhatikan alam yang kebasahan dan kurenung langit yang masih gelap. Ciptaan
Allah yang Maha Agung ini, seolah-olah menangis dan meratap hiba, sepertimana
hatiku yang turut hiba.
Air
mata jatuh lagi. Aku kesat dengan belakang tangan. Tidak mampu lagi
kusembunyikan dari pengetahuan Mak Tijah.
“Menangis
lagi ya? Sudah tu nak, jangan bersedih lagi. Mak Tijah kan ada.” Gumamnya
seraya menghampiri aku yang termangu di jendela kayu. Tapak tangannya yang
lembut menggosok bahuku. Seperti cuba memujuk hatiku yang terluka.
“Sof
jangan risau, Mak Tijah janji akan jaga Sof macam anak Mak Tijah sendiri.”
Sambung bibir itu lalu menarik kepalaku rapat ke dadanya. Aku tahan sebak,
tahan hati dan tahan air mata yang mahu berjuraian. Kebaikan Mak Tijah buat
jiwaku rapuh.
“Mak
Tijah, Sof…” nadaku tersekat dek sebak yang keterlaluan.
“Shhh…
kenapa ni Sof? Tak baik menangis macam ni. Kalau Sof rindukan arwah, hadiahkan
doa untuknya. Kalau Sof rasa sunyi, pulanglah bertemu Mak Tijah. Kita ziarah
kubur arwah bersama-sama.” Belakang kepalaku diusap lembut.
Seperti
selalu, Mak Tijah tidak henti-henti memujuk hati ini. Sejak hari pertama
hinggalah hari ini, hari ke tiga aku ditinggalkan oleh kedua insan yang aku
kasihi. Mak Tijahlah insan yang sentiasa bersama.
“Mak
Tijah… terima kasih sudi tenangkan hati Sof.” Gumamku lalu membalas pelukan
tangan kirinya.
“Jangan
berterima kasih pada Mak Tijah, Sof. Mak Tijah dah anggap Sof seperti darah
daging Mak Tijah sendiri,” tutur bicara Mak Tijah lembut dan cukup
mententeramkan rasa ini.
“Sof
tak dapat balas semua jasa Mak Tijah. Pengorbanan dan budi Mak Tijah terlalu
besar untuk Sof balas. Hanya ucapan terima kasih yang mampu Sof katakan.”
Ya,
jasa Mak Tijah dan Pak Mud dalam membantu menguruskan jenazah mama dan papa
hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Di saat aku kesusahan, di saat aku
lemas terkapai-kapai, ada tangan menggenggam erat tanganku lalu membawa aku ke
daratan. Mereka itulah Pak Mud dan Mak Tijah.
“Sof,
jangan cakap begitu nak. Mak Tijah tak pernah minta balasan, cukuplah dapat
menumpang kasih.” Ungkapnya buat jiwaku tersapa sayu.
Untuk
seketika, aku jarakkan kepala lalu memandang wajahnya. Mahu berkata sesuatu
supaya dia tahu.
“Mak
Tijah,”
“Ya
Sof?”
“Mak
Tijah… Sof kan ada. Sof boleh jaga Mak Tijah.”
Wanita
itu tersenyum senang mendengar jawapan yang lahir dari mulutku. Aku tahu Mak
Tijah sedih kerana belum diberi rezeki zuriat, namun reda dan tabah wanita ini
cukup-cukup aku kagumi.
“Sof
anak yang baik, beruntung arwah ibu bapa Sof. Pandai mereka didik Sof hingga
jadi anak solehah.” Pujian itu buat hatiku sedikit terhibur namun terselit juga
rasa terkilan.
“Mak
Tijah…” panggilku pendek.
“Ya,
Sof. Ada apa?”
Aku
hadiahkan senyuman nipis nan hambar. “Sof nak balik KL.” ujarku perlahan
bersama nada jauh ke dalam.
“Balik
KL? Bila Sof?” jelas mimik muka dan alunan suara itu datang bersama kejutan
yang tidak terduga.
“Sekejap
lagi.”
“Sekejap
lagi? Ish, sekejap lagi hari dah lewat malam nak? Bukan Mak Tijah menghalang,
tapi langit dah gelap ni Sof. Tak elok balik sorang-sorang. Sof tu perempuan,
bahaya!”
Aku
ukir senyum bersama gelengan kecil. Cuba meredakan resahnya. “InsyaAllah tak
ada apa-apalah Mak Tijah. Lagipun, esok Sof kena masuk kerja Mak Tijah. Cuti
Sof dah habis.”
“Sof
kerja apa?”
“Sementara
tunggu result SPM keluar, Sof kerja part time je Mak Tijah.”
“Alah,
kerja part time tu tak payah
bersungguh-sungguh sangat. Sof mohon cuti, tenangkan fikiran. Balik ke KL pun
bukan ada sesiapa. Rumah tu kosong, Sof tinggal sorang-sorang. Risau hati Mak
Tijah ni, nak.”
Aku
bungkam. Kata-kata Mak Tijah ada benarnya. Aku akan keseorangan di sana, bumi
di mana aku bersendirian tanpa saudara mara. Tambahan pula, saudara mara yang
lain telah membuang diriku persis mereka membuang mama dan papaku kerana
bernikah tanpa restu orang tua. Hanya Mak Tijah dengan Pak Mud sahaja yang
mengambil sikap berkecuali dalam hal sebegini.
“Nak
balik juga? Sorang-sorang?” Pak Mud datang lalu melabuhkan duduknya di kusyen.
Pak
Mud adik kepada papa, memang memiliki raut seiras papa namun Pak Mud tidak
berpelajaran seperti adik beradik papa yang lain. Walau tidak berpelajaran
tinggi, akhlak dan hati Pak Mud lebih besar dan lebih mulia dari mereka yang
diberi ilmu setinggi gunung.
Aku
mengangguk.
“Sorang-soranglah
Pak Mud, belum ada suami. Kalau bersuami, boleh dibuat teman.” Kenyataan
berunsur gurauan itu kuhambur tenang demi mengusir rasa hiba yang belum berlalu
pergi.
“Sof…
Mak Tijah tahu Sof sedih. Tapi janganlah bergurau macam tu? Ke... Sof nak
kahwin, jadikan teman Sof di KL nanti?” Bahuku disentuh lembut. Pertanyaan Mak
Tijah hampir-hampir membuatkan diriku tersedak air liur.
“Sof
bergurau ajelah Mak Tijah. Muda lagi kalau nak kahwin.” Aku membalas pandangan
tu dengan gelengan kecil sambil bibir mengukir sebuah senyuman nipis.
BAB
4
Hari ketujuh tanpa ibu dan bapa
tetap bersulam dengan kesedihan. Namun kesedihan yang sudah kuredai itu kembali
dicabuli. Bicara pak long serta adik beradik papa yang lain menokok tambah hiba
yang masih bersisa.
“Sementara kamu ada di sini, pak
long nak bagitahu pasal harta arwah papa kamu.”
PUP!!! Terasa kepalaku bagai
dihentak dengan fail tebal. Pak long buka bicara tentang harta peninggalan papa
selepas tujuh hari papa meninggal? Ya Allah, tergamaknya pak long.
“Pak long bukanlah tak ada hati
perut. Ni, kamu tu anak perempuan, tak ada adik beradik lain atau adik beradik
lelaki. Jadi pak long dengan bapa saudara kamu yang lain ada hak ke atas
peninggalan arwah.”
Aku diam lagi. Memang benar kata pak
long. Suatau ketika dahulu, arwah papa juga pernah berbincang dan memaklumkan
hal sebegini. Jadi, apabila ia berlaku, tidaklah aku terkejut dengan tuntutan
yang dibuat oleh pak long. Lagi pula, untuk apa aku berasa bimbang kerana arwah
papa dan mama sedari awal lagi telah menyediakan keperluanku secukupnya. Rumah,
wang untuk menyambung pengajian di IPT dan duit belanja serta dua buah kereta
telah dipindahkan ke atas namanku. Cuma yang tinggal, dua lot ladang sawit, dua
buah rumah sewa di Kuala Lumpur dan juga satu lot tanah kosong.
Sesungguhnya,
aku bersyukur kerana arwah mama dan papa begitu peka dengan hal sebegini
seolah-olah mereka tahu kesulitan yang akan kutanggung sekiranya mereka tidak
menghibahkan harta yang ada ke atas namaku.
“Nanti kita ke pejabat agama dan
pejabat tanah. Ambil kuasa terhadap semua harta dan bahagi ikut hukum faraid.
Kamu tahu ke hukum faraid?”
Aku hanya mengangguk walaupun aku
tidak berapa arif dengan hukum syariah itu. Lagi pula papa awal-awal lagi telah
berpesan, jika suatu hari nanti, mereka menuntut maka serahkan sahaja mengikut
hukum. Kata papa lagi, ini adalah hadiah daripada dirinya untuk adik beradik
yang dikasihi walau kasih itu pernah terputus seketika.
“Kalau nak bahagi mengikut hukum
faraid, aku tak ada masalah. Tapi, kalau ambil harta si Sofrina ni, jangan lupa
ambil sekali tanggungjawab jaga dia. Dia dah tak ada sesiapa lagi dah. Jangan
ambil agama separuh-separuh. Harta mahu, tanggungjawab tak mahu. Yang itu aku
tak nak dengar.” Pak Mud beri amaran.
“Eh, Mud… kau jangan masuk
campurlah!”
“Aku tegur mana yang patut aje abang
long. Salah ke apa yang aku cakap ni?”
“Salah tu memanglah tidak. Aku ni,
sekadar hendak memudahkan urusan si Fairuz di dalam kubur sana tu. Kau nak buat
payah pula.”
“Suka hati abanglah!” Pak Mud sudah
tayang wajah menyampah. Manakala pak long pula kembali memandang wajahku.
“Itu je pak long nak bagitahu pada
kamu, Sofrina. Jadi, bila agaknya kita nak ambil kuasa ke atas semua
harta-harta tu?”
Aku tarik nafas lalu kuhela
perlahan. Pertanyaan pak long kujawab seringkas-ringkasnya.
“Ikut
pak long la, Sof tak kesah.” Malas aku mahu bertekak dengan orang tua ganyut
seperti pak long. Menyampah! Memang aku akui harta peninggalan papa bukanlah
sedikit, namun tidak bolehkah pak long bersabar sedikit? Biar rasa sedih aku
berkurang dan sesudah itu sebanyak mana harta peninggalan arwah sekalipun,
ambillah. Aku tak kesah!
Comments