MY NEXT HUSBAND 5& 6
BAB
5
“Kalau dah tak ada apa-apa, aku
balik dulu. Kau Sofrina, bila nak balik KL? Sebelum balik KL, datang rumah pak
long. Kami nak buat kenduri arwah untuk nenek dengan mama papa kamu sekali.”
Bicara pak long membuah senyum di
pinggir bibir. Dalam dia tidak sukakan diriku, orang tua itu masih lagi punya
hati untuk mengadakan kenduri tahlil buat semua yang telah pergi.
“Aik, baik sungguh abang long. Ada
apa-apa yang Mud tak tahu ke?” Pak Mud menyoal sinis. Soalan itu benar-benar
menyentak tenang di hati ini.
“Kau diamlah Mud. Ha, Sofrina jangan
lupa datang. Oh, sebelum pak long balik, ni pak long nak beritahu.”
“Beritahu apa ni pak long?”
“Ada orang datang meminang.”
“Hah? Datang meminang? Siapa?”
“Orang yang kemalangan dengan kamu
tempoh hari. Nama budak lelaki tu kalau tak silap pak long, Noah Safwan.”
“Eh, tak mahulah pak long. Sof tak
nak kahwin lagi. Sof nak belajar dan kejar impian Sof.”
“Kahwin sahajalah Sof, mak bapa
budak lelaki tu kawan baik arwah mama papa kamu. Takkan kamu tak kenal?”
“Siapa? Rasanya Sof tak kenal.”
“Dia laki bini baru balik dari Abu
Dhabi. Baru pindah ke Malaysia. Arya dengan Hardy namanya, kawan baik mama
dengan papa kamu sejak zaman universiti lagi. Takkan arwah mama dan papa kamu
tak pernah kenalkan kamu kepada mereka?”
Aku menggeleng. Memang arwah mama
dan papa tidak pernah mengenalkan aku dengan rakan baik mereka namun segala
cerita dan perkembangan individu yang dimaksudkan, selalu sahaja bermain di
pinggir bibir mereka. Bahkan mama juga pernah berpesan, andai berlaku sesuatu
ke atas dirinya, aku boleh sahaja menumpang kasih dengan wanita itu. Kata mama
lagi, rakan baiknya seorang yang luhur hati budinya. Sebab itu mama berani berkata
sedemikian. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
“Abang long, Mud tak setuju kalau
abang long nikahkan Sof dengan budak tu.” Suara Pak Mud membawa aku yang jauh
berkhayal, tersedar dari lamunan panjang.
“Kenapa pula tak setuju? Biar budak
tu bertanggungjawab. Dia yang buat Sofrina yatim piatu. Jadi biarlah budak tu
bertanggungjawab. Mak bapa budak tu dah setuju untuk kahwinkan mereka berdua.”
“Tapi bang, Sof ni baru je habis
SPM. Budak lagi, mentah! Mana tahu urus rumah tangga.” Mak Tijah pula
menyampuk, menyokong kata-kata Pak Mud.
“Memanglah mentah, tak matang, tak
tahu urus rumah tangga. Kalau dah kahwin nanti, tahulah dia uruskan kehidupan
dia. Kau orang berdua tak payah risau tak bertempat. Biarkan Sofrina kahwin, sekurang-kurangnya
ada yang menjaga.”
“Senanglah abang long bercakap. Mud
tak setuju. Biar Mud je yang bela Sof sampai dia betul-betul bersedia nak
kahwin.”
“Nak bela konon! Kau berdua pun
hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada hati nak bela anak
orang. Anak orang ‘ada-ada’ pula tu? Mampu ke kau berdua nak tanggung?”
“InsyaAllah bang, Mud mampu.”
“Sebelum merapu sesuatu yang kau tak
mampu, ni aku nak beritahu supaya kau berdua sedar yang kau sekarang ni
menumpang duduk di atas sekeping tanah pusaka milik adik beradik kau yang lain.
Jangan tambah beban membela anak orang, sedangkan nak suap mulut sendiri pun
kau kerah kudrat sampai habis daya, ada hati nak tambah masalah baru.”
Pak Mud dan Mak Tijah tergamam namun
mereka segera meneutralkan riak wajah agar tidak dikesani oleh pak long yang
bermulut lantang.
“Dah, aku nak balik. Nanti-nanti
lelaki yang pinang kau akan datang bawa cincin risik.”
Pin!!!
Pin!!! Pin!!!
Belum
sempat kubalas bicara pak long, sebuah kereta Proton Waja menjalar masuk ke
halaman rumah diekori oleh Mercedes hitam berkilat. Kurang dari dua minit,
empunya kereta keluar menunjukkan diri. Itu pak ngah dan juga mak ngah dan yang
lain-lain tu seperti pernah kulihat sebelum ini. Siapa dan di mana agaknya.
Setelah lama berfikir-fikir, mindaku dapat menangkap sesuatu.
Oh, itulah kawan baik mama dan papa. Dan mereka juga
individu serupa yang turut berada di depan bilik OT beberapa hari yang lalu.
Waktu itu, fikiranku kosong hingga keduanya tidak kukenali. Mungkin dalam keadaan
serabut serta risaukan keadaan ibu bapaku, akal tidak mampu berfikir perkara
lain selain memikirkan keadaan mama dan juga papa yang sedang bertarung nyawa
di dalam bilik Operation Theater. Mereka juga sama, turut tidak dapat mengecam
diriku yang merupakan anak kawan baik mereka sendiri.
“Ha ngah,
sampai pun kau.” Pak long terus bangkit berdiri di anjung rumah tempat diskusi
kami terjadi seketika tadi.
“Ha, aku
datang tunjukkan rumah untuk orang yang nak pinang Sof tu.
Gulp!
Pinang aku? Kata pak long mereka akan datang meminang nanti-nanti, ini belum
apa-apa, keluarga itu sudah tiba di perkarangan halaman rumah. Sedang aku ralit
melayan perasaan dan tanda tanya yang bermain di benak hati, tetamu yang tidak
diundang itu telah dijemput naik lalu duduk di kusyen kosong bertentangan
dengan kedudukanku. Ada sepasang suami isteri bersama anak lelakinya.
BAB 6
“Saya Hardy, ini isteri saya Arya dan anak kami Noah
Safwan.”
“Oh, inilah budak yang bawa laju sampai terbabas
melanggar kereta orang lain tu?!” Mulut pak ngah boleh tahan pedas walaupun pak
long sudah beri isyarat mata agar adik lelakinya itu menjaga patah bicaranya.
“Maafkan kami, semua berlaku kerana kesilapan anak
kami.”
“Memang semuanya salah kamu sekeluarga. Saya harap,
kamu ambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Jangan lepas tangan, kami
takkan biarkan kamu terlepas macam tu aje.” Tegas pak ngah buat semua orang
tidak senang.
“Ya, kami tahu. Sebab tu kami datang untuk tebus
kesalahan.” Lelaki hampir sebaya arwah papa menyahut tenang. Aku tebarkan
pandangan ke arah mereka satu persatu. Jelas, raut kesal terpeta di segenap
inci wajah mereka semua.
“Pak long, pak ngah, dan semua yang ada kat sini… maaf Sof nak
mencelah.”
Masing-masing senyap membisu menanti aku melontar bicara.
“Sebagai orang Islam, yang percaya rukun iman, kita mesti beriman dengan
qada dan qadar yang Allah aturkan. Dan seperti semua maklum, mama dan papa
ditakdirkan meninggal dalam kemalangan yang sesiapa pun tak mahu ia terjadi.”
“Memanglah kena beriman dengan qada dan qadar Allah. Tapi, kalau budak
muda ni ada otak, tak memandu membabi buta, semua ni takkan berlaku. Bila
kemalangan tak berlaku, mak bapak kamu takkan mati Sofrina oi!” Hambur pak ngah
keras.
Aku diamkan diri. Rasa lelah untuk bertegang urat dan bimbang andai aku
berkeras, aku dianggap seorang anak yang biadap.
“Bawa bersabar abang ngah. Kita nak bincang elok-elok, bukan nak
berkelahi.” Pak Mud mencelah cuba meredakan keadaan.
Aku hela nafas lalu menyambung kata.
“Semua yang berlaku atas izin Allah. Sejauh mana kita berhati-hati,
secermat mana kita memandu, andai takdir tertulis sebegitu, sudah tentu itu
yang akan terjadi. Aunty, uncle... saya dah reda dengan apa yang berlaku. Saya
dah boleh terima takdir saya dan saya sedang belajar untuk terus bersabar dan
belajar untuk kawal emosi, supaya rasa sedih, rindu dan kehilangan ini dapat
saya hadapi dengan tenang.” Ucapanku membuatkan pandangan wanita itu
berkaca-kaca.
“Rindu Sofrina…”
“Panggil Sof aje aunty,” potongku agar dia menyebut nama panggilanku.
Lebih mudah dan lebih mesra bunyinya.
“Baiklah,
aunty panggil Sof ya?”
“Ya,
boleh!” Sahutku tertunduk sambil menyembunyikan kesedihan hati. Jujur, hatiku
rapuh tatkala perihal mama dan papa menjadi sebutan.
“Sof,
maafkan Noah. Kerana kecuaian dia dengan kawan-kawan, Sof jadi anak yatim
piatu. Dan aunty tahu Sof sedih dengan apa yang berlaku.”
Aku
angkat muka, cuba menguntum senyum. Namun senyumku bertukar sebak. Aku ketap
bibir sambil mengesat air mata yang mula bertakung di tubir.
“Tipulah
kalau Sof langsung tak rasa sedih, tanyalah pada sesiapapun, pasti kehilangan
insan tersayang beri kesan yang cukup besar. Tambah- tambah, Sof ni anak
tunggal, tak ada adik beradik yang lain.” Air mata ini semakin deras. Aku buang
pandang ke sudut lain sambil berkali-kali mengesat air mata yang berjuraian.
Mak Tijah yang melihat cepat-cepat mendekati lalu bahuku digosok, memujuk
hatiku yang hancur menahan rindu pada yang telah tiada.
“Ya
Allah, sedihnya aunty tengok keadaan Sof. Maafkan aunty, nak. Maafkan aunty.”
“Bukan
salah aunty.
“Tapi
salah anak aunty. Tak sangka, semua ni boleh terjadi. Di saat aunty sibuk di
luar negara, Noah di Malaysia tak habis-habis menimbulkan masalah. Kalaulah
semua ni tak berlaku, pasti Sof takkan sedih sebegini.”
“Semua
orang tak minta perkara begini berlaku. Sof cuba untuk terima dengan hati
terbuka dan Sof perlukan masa untuk pulihkan hati sendiri.”
“Untung
arwah punya anak sebaik Sof. Dulu masa Sof kecil-kecil, comel aje. Bila dah
besar, Sof bukan sahaja cantik, tapi teguh pendirian, tabah dan kuat orangnya.
Pandai arwah mama dan papa Sof didik, Sof.”
Aku
senyum hambar mendengar pujiannya.
“Aunty…”
“Ya
sayang?”
“Kita
pernah berjumpa ke aunty?”
Wanita
itu mengangguk dalam senyuman manis.
“Pernah
sayang. Sebab tu aunty pernah cakap pada arwah mama Sof, yang suatu hari nanti,
aunty nak jadikan Sof sebagai menantu. So, sekarang adalah masa yang sesuai.
Sebagai tanda kami minta maaf dan sebagai memenuhi janji pada arwah mama Sof.
So aunty harap Sof sudi terima pinangan kami. Biarlah Noah bertanggungjawab
atas kesilapan dia, dan kami harap Sof boleh jadi sebahagian daripada keluarga
kecil kami.”
Harapan
mereka cukup besar. Aku rasa terharu namun untuk menjadi isteri sesiapa di saat
aku masih muda sebegini, itu bukanlah pilihan yang tepat.
“Saya dah
maafkan semua ni dan saya dah reda. Tak perlu bertanggungjawab sampai ke tahap
tu aunty. Saya okey.” Aku cuba meyakinkan mereka.
“Kahwin
sajalah Sofrina. Ada juga yang jaga kamu dekat KL sana. Pak long dengan yang
lain-lain tak mungkin dapat beri komitmen untuk jaga kamu.”
“Betul
tu, kahwin aje. Orang dah buat salah, memang patut bertanggungjawab.” Sokong
pak ngah pula.
Aku
bungkam, malu pun ada apabila akhlak dan perlakuan sebegini yang bapa saudaraku
tunjukkan di hadapan kawan arwah mama dan papa. Berbeza benar sikap arwah papa
dengan adik beradiknya. Sikap papa yang soft
spoken, menjaga bicara dan berhati-hati dalam berkata-kata tidak serupa
langsung dengan pak long dan pak ngah. Hanya Pak Mud seorang yang kulihat
mempunyai sikap hampir sama dengan sikap arwah papa.
“Mud
boleh jaga Sof.” Sekali lagi Pak Mud menegaskan namun kata-kata Pak Mud itu
menjemput senyum sinis pak ngah.
“Mud, kau
nak hidup pun tak berapa nak lepas. Ada hati nak jaga anak orang. Ingat Mud,
yang kau duduk ni rumah pusaka. Ada hak kami, kalau kami menuntut hak, di mana
kau mahu duduk selepas ni?”
Kali ini
bapa saudaraku bertelagah sesama mereka. Ya Allah malunya aku dan kasihannya
Pak Mud.
“Apa pun
terjadi, aku tetap nak jaga Sofrina.”
“Boleh,
kau kena berhambus dari rumah ni. Itu syaratnya.” Pak ngah yang lebih keras
orangnya, memberi konklusi yang agak kejam bunyinya. Ah, jika mereka menghalau
Pak Mud dan Mak Tijah, aku akan bawa keduanya tinggal bersama di rumah
pemberian arwah mama dan papa. Aku akan jaga mereka dan aku akan sayang mereka
sama seperti aku sayang arwah mama dan papa.
“Rumah ni
rumah pusaka yang emak serahkan pada aku sebab aku yang jaga arwah hingga ke
akhir nafasnya. Abang long dan abang ngah kenalah ikut wasiat.”
“Ada
hitam putih? Kalau tak ada hitam putih, sesiapa pun boleh buat pengakuan. Kau
jangan nak bercakap guna air liur Mud, tak ada gunanya.” Pak long pula berpesan
meredakan pertelingkahan adik-adiknya.
Tetamu
yang hadir saling berpandangan. Aku segan. Noah pula sudah hilang ke halaman
rumah. Dari anjung terbuka, lelaki itu kelihatan sedang berdiri di tepi parit
sambil memerhatikan permukaan air yang dilitupi teratai berbunga merah jambu.
“Sudah,
jangan bertekak lagi. Malu kat orang. Kita nak bincang soal Sofrina, bukan nak
berebut harta.” Pak long bersuara. Masing-masing diam membisu.
“Aku
setuju kalau Sofrina dikahwinkan. Macam aku cakap awal-awal tadi, bila dia
berkahwin adalah juga yang boleh tengok-tengokkan dia di KL. Aku tak rasa
Sofrina hendak tinggal di kampung ni.” Ujar pak ngah meneka apa yang
pernah bermain di pinggir hatiku.
“Betul ni
Sofrina kamu tak nak tinggal di kampung ni? Kalau kamu hendak tinggal dengan
kami, tak perlulah kamu berkahwin. Kalau kamu pilih untuk tinggal jauh daripada
kami, kamu mesti terima pinangan mereka. Kami takkan lepaskan kamu seorang diri
tanpa pengawasan sesiapa.”
“Saya tak
nak tinggal di sini, pak long. Tapi saya juga tak mahu berkahwin di usia muda.”
“Kamu
kena pilih satu di antara dua. Keputusan pak long muktamad.”
“Kahwin
ajelah Sofrina oi, mak ngah tak nak bela kamu. Maklumlah, anak mak ngah dah
sememangnya ramai. Kalau tambah kamu seorang lagi, makin serabutlah rumah mak
ngah tu!” Mak ngah yang tadi mendiamkan diri, akhirnya membuka mulut. Awal-awal
lagi wanita itu sudah memaklumkan pendiriannya.
“Sungguh ni
kamu tak mahu tinggal dengan kami?” Pak long pula menyoal lanjut.
Dengan
lambat-lambat, aku mengangguk. Ya, memang aku tak mahu tinggal bersama mereka,
baik pak long mahupun pak ngah, kedua-duanya cukup asing bagi diriku. Untuk
tinggal bersama Pak Mud pula, itu sesuatu yang mustahil kerana orang tua itu
juga hidup menumpang di rumah pusaka nenek. Oleh itu, tinggal bersama bapa
saudara atau menjadi menantu kepada kawan baik mama dan papa, kedua-duanya
tiada beza.
“Kalau
itu pilihan kamu, bermakna kamu akan terima pinangan mereka bukan?!”
Aku tarik
nafas lalu kuhela perlahan.
“Pak
long, pak ngah, tolong beri sedikit masa untuk saya buat keputusan. Please…”
“Masa
untuk apa lagi? Orang dah pinang, terima ajelah. Banyak songeh pula budak ni.
Nak berdalih apa lagi? Tak faham betullah aku dengan anak si Fairuz ni!” Pak
ngah membentak dan pak long pula segera melarang.
“Bawa
bersabar sikit ngah, biar Sofrina buat keputusan. Jangan dipaksa-paksa.”
“Berapa
lama masa yang Sof perlu, uncle dengan aunty sedia menunggu.” Celah Uncle Hardy
membisukan keadaan yang haru-biru seketika tadi.
“Terima
kasih uncle.”
“Kalau
boleh, kau beri jawapan secepat mungkin, tak payah melengah-lengahkan waktu.
Buang masa semua orang aje!” Gesa pak ngah lagi.
“Pak
ngah, saya…”
“Sof,
soal nikah kahwin ni, Sof fikirlah masak-masak. Apa pun keputusan Sof, Pak Mud
dengan Mak Tijah akan sentiasa berada di belakang Sof.” Pak Mud potong bicaraku
sambil cuba mententeramkan perasaan gundah yang mula bermukim di sudut dada.
Namun di
hujung kusyen sana, pak ngah sudah menghambur tawa sinis. Tidak cukup dengan
itu, nada dan setiap patah kata yang melantun daripada bibir itu cukup-cukup
merobek hati keduanya.
“Amboi,
baiknya kau Mud! Baik sebab nak harta peninggalan Fairuzlah tu. Bukannya aku
tak kenal perangai kau berdua tu! Kaki songlap, kaki bodek dan sesuailah
perangai kau orang berdua. Sebab tu orang dah terbang, kau berdua tetap duduk
di takuk lama, tak maju-maju sampai ke hari ini.”
“Abang
ngah, kalau bercakap tu boleh tak jangan nak samakan diri sendiri dengan orang
lain? Mud rasa, abang ngah yang tak sabar-sabar nak tuntut semua harta
peninggalan arwah. Yalah, abang ngah sejak dulu lagi mengidamkan ladang sawit
si Fairuz tu kan?!” Pak Mud menghambur amarah lalu pak ngah yang sejenis
manusia panas baran terus sahaja bangkit mahu mengerjakan Pak Mud.
Mujur ada
pak long yang menjadi pelerai dua insan yang bertelagah. Aku sudah pening
kepala. Serabut dengan tingkah orang-orang tua yang tak sedar diri. Makin tua,
semakin menjadi-jadi pula perangai tidak semenggah mereka.
“Bawa
bersabar. Malulah sikit kat orang.” Getus pak long perlahan namun ditekan-tekan
intonasinya.
Aku?
Bukan setakat malu bahkan segan serta kecewa melihat keletah bapa saudara yang
bertindak seperti anak kecil berebutkan mainan.
“Kalau
beginilah keadaannya, berkelahi dan tuduh menuduh, ada baiknya pak long, pak
ngah dan Pak Mud segera uruskan pernikah Sof. Tolong kahwinkan Sof supaya semua
orang tak bergaduh lagi.” Ajuku terus bangkit lalu menapak masuk menuju ke
dalam bilik. Suasana yang hingar bingar bertukar menjadi sunyi sepi seperti
sepinya sekeping hati ini yang ditolak ke sana dan ke sini.
NEXT entry tunggu pukul 10 okey.
Comments