CINTA DIHUJUNG NODA BAB 45-46
BAB 45
Sudah sebulan masa berlalu, sakit yang ku hidap bagai tiada
tanda-tanda untuk sembuh seperti sedia kala. Waktu ini, aku perlu fikirkan
tentang keadaan insan yang masih menyayangi diri ini. Aku tidak perlu
pentingkan diri dan biar mereka menderita melihat aku yang semakin tiada upaya
meneruskan kehidupan. Kesedihan mereka pasti akan membuatkan aku bertambah
derita! Aku tidak rela mereka juga merasa perit yang terpaksa ku tanggung. Mereka
harus aku lepaskan, biarlah mereka menyimpan dendam dan biarkan juga mereka
salah menyangka. Tapi aku pasti jalan dan ketentuan yang bakal ku pilih ini
bakal memberi kebaikan kepada mereka, kerana aku tahu aku tidak betah melihat
ada air mata yang gugur andai derita yang ku tanggung ini, ku kongsi bersama.
Genap sebulan Nia cuba ku hindari, aku lebih selesa menghabiskan
masa bersendirian. Memujuk kata hati dan belajar meredhai ketentuan Ilahi.
Hampir subuh baru kelibat ini tiba di rumah. Dan sudah tentunya Nia menyambut
ke pulangan ku dengan sebuah senyuman tanpa syak dan wasangka. Memang Nia
seorang isteri yang didambakan oleh semua lelaki di dunia ini, jarang
menimbulkan amarah dan sukar juga untuk beremosi seperti kebanyakan wanita
lain. Sabar dan tabahnya Nia, buat aku kagum pada diri itu.
“Abang... dah subuh-subuh
macam ni baru abang balik, abang kemana?” tanya Nia sebaik aku menapak masuk ke
dalam bilik yang suram berteman cahaya lampu tidur. Aku diamkan sahaja
pertanyaan Nia, lantas langkah kaki ku atur mendekati almari. Tuala yang tersangkut
kemas ku gapai, lalu ku pusingkan tubuh untuk bergerak ke bilik air namun Nia
menahan. Pegangan lembutnya di lengan ini ku perhatikan sekilas sebelum ku
kalihkan pandangan ke arah lain.
“Abang kemana ni?” tanya dia sekali lagi. Aku tetap diam membisu,
berat untuk membuka mulut melontar bicara.
“Abang.... Nia tanya abang ni. Abang kemana? Abang dah solat subuh?”
sekali lagi Nia masih lembut bersabar dengan karenah ku. Aku batukan diri,
tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat ini.
“Abang, tadi Erin ada call! Dia tanya abang dah sampai rumah atau
belum? Abang dengan dia kemana?” pertanyaan itu berbaur curiga dan aku sedikit
lega dengan keadaan sebegitu.
“Nia rasa abang dan Erin kemana sepanjang malam?” aku tanya dirinya
kembali. Jelas raut wajah yang masih bersarung telekung itu kelihatan sedikit
tersentak. Aku sembunyi rasa bersalah di dalam hati kerana terpaksa melukai
sekeping hati itu untuk sekian kalinya.
“Abang keluar bual-bual dengan Erin ya? Takpe Nia tak kisah, Erin
kawan abang jugak!” Nia cuba menyedapkan hatinya sendiri dan aku pula hamburkan
ketawa sinis walaupun hati sedang menangis kerana terpaksa menghancurkan hati
Nia.
“Nia rasa abang Cuma berbual je? Tak rasa lebih dari tu?” sengaja
membakar hati yang masih tenang melayani sikap dan karenah ku yang semakin
menjengkelkan saban hari. Tidak betah duduk di rumah hatta pada hujung minggu
sekalipun, tiada lagi masa yang ku peruntukkan buat dirinya mahupun Neesa dan
si kecil bernama Qalisya. Dan tiada juga masa buat mama ataupun abah, masa yang
ada hanya ku peruntukkan buat diri ku sendiri. Mencari ketenangan dan mencari
petunjuk apa yang seharusnya aku lakukan saat ini.
“Suami Nia ni... bukannya manusia paling baik yang Nia pernah jumpa!
Abang ni perangai macam setan! Takkan Nia tak tahu lagi kemana abang pergi?”
usul ku menambah rasa curiga di pinggir hati itu. Nia ketap bibir,
perlahan-lahan dia menghampiri aku lalu berhadapan dengan ku.
“Abang, kenapa cakap macam tu? Nia tahu, abang dah berubah! Abang
tak buat benda yang bukan-bukan.” Luah Nia bersama sebuah senyuman seraya
lengan ku diusap penuh kasih! Aku sambut
senyumannya dengan pandangan sinis. Kening ku jongket sebelah, mahu melihat
reaksi Nia yang begitu yakin pada ku.
“Really?” soal ku seakan mengejek.
“Yup, Nia yakin abang tak buat semua tu.” Tutur bibir itu bersama
anggukan kecil.
“Whatever Nia, dahlah jangan pegang-pegang lagi! Nak mandi, panas!”
gerutu ku sebelum menolak sentuhannya.
“Abang, kenapa ni?” Nia tarik pergelangan tangan ini ketika aku mahu
melangkah pergi.
“Nak apa lagi? Tak faham bahasa ke?” Ucap ku kedengaran merungut!
Sejujurnya aku rasa bersalah kerana memperlakukan Nia sebegini. Ya, Allah
ampunkan aku.
“Abang, ni lipstik siapa? Nia tak pakai lipstik, dan ini bau perfume
siapa? Ni bukan perfume abang, ini perfume perempuan!” curiga Nia akhirnya
terserlah juga. Aku senyum sinis! Sengaja kemeja ini ku cemarkan dengan lipstik
dan perfume milik Erin.
“So, Nia dah tahu apa yang abang buat? Kenapa nak tanya lagi?” aku
tolak tangan itu dari melekap terus di tangan ini dan langkah kaki ku atur
memasuki bilik air. Nyata wanita itu tergamam dengan perubahan aku yang makin
kasar, dan bagi ku biarlah Nia berfikiran sedemikian. Aku ada sebab dan alasan
untuk semua itu!
Usai membersihkan diri, aku keluar dari bilik air dan menapak mendekati
almari pakaian. Semuanya sudah tersedia di atas katil namun aku enggan sama
sekali memakai pakaian yang disediakan Nia. Wanita itu entah dimana waktu ini?
Mungkin di bawah menyediakan sarapan seperti biasa. Aku dekati cermin solek,
aku perhatikan seraut wajah yang sudah mati serinya. Ya wajah ini tidak lagi
bercahaya seperti dahulu.
Keputusan sudah ku bulatkan, biar pun ada hati yang patah dan ada
insan yang membenci... aku tekad dengan keputusan ku! Ini jalan terbaik buat
aku dan dirinya, bahkan buat masa depan dia juga. Setelah keyakinan dan
kekuatan bersatu, aku gagahkan langkah kaki menuruni anak tangga. Kesemua mata
memanah tepat ke arah ku. Aku tetap selamba dan beriak tenang, sedang di dalam
hati resah dan pedih itu sudah bersatu.
Aku kini berdiri di hadapan Nia, dan seluruh isi banglo mewah tiga
tingkat ini. Aku perhatikan raut wajah mereka satu persatu. Ada sebak yang
bertamu, namun aku harus bertabah! Nafas ku tarik sedalam-dalamnya lalu ku hela
perlahan bersama satu keluhan berat. Bibir ini bergerak dan bakal melontarkan
sesuatu yang cukup payah untuk ku lontarkan. Cuba melakonkan watak yang penuh
ketenangan di hadapan mereka semua. Walaupun jiwa ini sudah bergelora menahan
rasa hati yang sudah separuh hancur.
“Attar, mari makan nak.” Seru mama. Aku hanya menggeleng.
“Kenapa tak nak makan?” Neesa pula menyoal. Aku tetap membisu.
“Attar... pucat je muka tu. Sini makan dulu,” panggil abah
bersahaja. Aku ketap bibir, aku harus segera melafazkannya. Aku bimbang, andai
aku terus di sini pasti hati ini kembali rapuh dan berat untuk bertindak.
“Nia, sebaik anak kita lahir.. jatuhlah talak satu. Kita berpisah!”
bicara ini akhirnya keluar juga dan seperti yang aku jangkakan, mereka semua
tergamam dan tersentak dengan keputusan mendadak ini.
“Attar, apa ni!” mama terjerit akibat terkejut dengan patah bicara
ku.
“Astagfirullahhala’zim!” abah pula beristghfar. Neesa pula terpempam
dengan ucapan yang keluar dari bibir ku seketika tadi.
“Abang,” panggil Nia seraya meninggalkan meja makan lalu mengorak
langkah mendapatkan aku. Wajah itu dipanggung melawan pandangan redup ku. Mata
itu kelihatan berkaca-kaca.
“Apa salah Nia pada abang, abang.....” suara Nia tersekat-sekat. Aku
tahan hati, jiwa ini luluh bila air mata itu kembali menghiasi pandangan ini.
“Abang.. tolonglah cakap... apa salah Nia? Kenapa abang ceraikan Nia?” soal Nia
menuntut penjelasan ku.
“Sebab abang tak cinta Nia!” bohong ku berusaha keras menutup rasa
sebak yang semakin menghimpit dada. “Kenapa sekarang? Kenapa bang?” Nia menyoal
lagi. Dia mendekati aku namun aku mengundur langkah!
“Kalau hati tak sayang, buat apa kita bersama lagi?” pertanyaannya
ku balas dengan pertanyaan. Aku tiada jawapan yang kukuh untuk menceraikan Nia
selain mahu melihat dia bahagia dengan hidupnya. “Abang... betul ke abang tak
sayangkan Nia lagi?” bibir itu memohon kepastian. Aku mengangguk lalu melempar
pandangan ke arah lain. Hati ini tidak kuat melihat raut wajah itu, aku terluka
sendiri!
“Abang,” panggil Nia menahan sendu. Lengan ku disentuh namun aku
menepis kasar. Menjadikan mata itu semakin berkaca-kaca. Aku tahu dia sedang
dipagut kesedihan yang bukan sedikit, namun kesedihan itu pasti akan membenihkan
bahagia buat dia di masa akan datang. Maafkan aku Nia!
“Kenapa buat Nia macam ni bang? Apa salah Nia,” raungan Nia buat aku
sebak dan sedih. Aku tidak sepatutnya berada di sini, hati ku tidak kuat
berhadapan dengan semua ini. Ini jalan yang terbaik untuk aku dan Nia dan lebih
tepat untuk Nia dan anak yang sedang dikandungkannya ketika ini.
“Attar apa ni? Talak bukan boleh dibuat main, Nia mengandung! Apa ni
Attar,” marah mama kuat bergema di ruang tamu. Abah juga begitu, dan Neesa yang
sedang memangku bayi yang berusia enam bulan itu juga turut terkedu. Perlahan-lahan
Qalisya dilepaskan ke lantai, lalu
merangkak menghampiri diri ini. Aku sambut tubuh kecil itu dan aku kucup pipi
gebu itu. Aku palingkan wajah lalu air mata yang bergenang ku tahan dari gugur
ke bumi! Aku tidak mahu mereka melihat aku terluka dalam keadaan sebegini.
Cukuplah andai aku seorang yang menanggung pedih ini sendiri.
“Anak daddy jangan nakal-nakal, jaga mummy dengan aunty Nia. Bila
dah besar nanti jadi anak yang solehah,” ucap ku berbisik di telinga kecil bayi
perempuan milik Neesa dan Shark. Namun aku tumpahkan kasih sayang kepadanya
persis dia adalah zuriat ku sendiri.
“Attar, apa yang you buat ni?” soal Neesa mendekati aku. Neesa masih
isteri ku dan mama mahukan dia terus tinggal di rumah ini setelah melahirkan
Qalisya, sekurang-kurangnya wujudnya Qalisya mengurangkan rasa sunyi mama
setelah Neesa keluar membantu aku di pejabat manakala Nia pula menguruskan
butiknya di Shah Alam.
“You tak happy Neesa? Bukan ini yang you mahukan?’ aku menyoal
dirinya tanpa memandang wajah itu. Hanya Qalisya yang singgah di hati dan minda
ku saat ini. Nia yang sudah lama rebah di dalam pelukan mama hanya diam dan
meratapi keputusan tiba-tiba ini.
“I tak pernah suruh you ceraikan Nia, kalau dulu... itu mungkin!
Tapi lepas I lahirkan Qalisya, I tak minta semua tu Attar. Cukuplah you
tumpahkan kasih sayang you pada Qalisya! Dia perlukan kasih seorang ayah,
tentang I.. semua tu dah tak penting.
Hanya Qalisya keutamaan I, tapi kenapa you buat macam ni?” tanya Neesa saat aku
masih enggan membuka bicara. Biarlah sebab ini hanya aku sahaja yang
mengetahuinya, tak perlu sampai ke pengetahuan Nia mahupun sesiapa sekalipun.
Ini rahsia aku, ini kesakitan aku... biarlah aku sendiri yang menanggungnya!
“Kenapa I buat macam ni?” aku tergelak sendiri mendengar soalan
Neesa. tawa ku sinis walaupun hati ku sedang menangis. “Attar,” tegur Neesa
keras.
“I serius, you tak sepatutnya main-main dalam hal macam ini Attar!”
tegas Neesa bersuara.
“You tahukan betapa peritnya ditinggalkan orang yang disayangi saat
diri tengah mengandung! I rasa semua tu Attar, I tahu perasaan sedih yang Nia
tanggung! Please, explain! Jangan buat Nia macam tu,” pinta Neesa lagi sambil
menarik lengan ku menjauhi ruang tamu.
“Tak ada apa yang perlu I explain Neesa! I tak cintakan Nia, dan I
tak pelukan dia lagi!” tutur ku bertegas dengan pendirian sendiri.
“Habis... kenapa you tak ceraikan I? You sayangkan I lah macam tu?”
soal Neesa tidak percaya. Sedikit sebanyak tutur bicara Neesa kedengaran
mengejek ku pula. Dan tutur kata itu juga sedikit sebanyak telah membuatkan aku
diam, mati akal untuk bersuara.
“Sudahlah Neesa, I nak naik atas! Jaga Qalisya elok-elok,” ucap ku
sambil serah Qalisya ke dalam pelukan Neesa. Bayi itu merengek tidak mahu
berenggang dengan ku, namun aku kuatkan semangat agar semua ini dapat ku
tinggalkan segera.
Langkah ku atur menuju ke bilik dan beg pakaian yang terletak di
atas almari ku gapai. Kemudian, beberapa helai pakaian ku masukkan ke dalam beg
lantas beg yang kempis tadi kembali kembung. Memastikan semuanya kemas teratur,
aku jinjing beg tadi lalu aku hampiri muka pintu, tombol ku pulas perlahan mahu
mengatur langkah keluar dari kamar yang banyak menyimpan kenangan aku bersama
Nia. Seketika langkah kaki terhenti, aku palingkan wajah menatap segenap ruang
bilik, rasa sebak singgah di hati namun segera ku usir pergi agar sedih dan
pilu itu dapat ku buang jauh dari hati yang bakal mati.
“Attar nak kemana ni?” soal mama cemas saat melihat aku menuruni
anak tangga sambil menjinjing beg pakaian.
“Attar nak keluar dari rumah ni, nak duduk sendiri!” tutur ku sambil
cuba pamer senyuman. Namun aku yakin senyuman ku tidak semanis mana, hambar!
Aku kerling mama, sudah jauh dan banyak berbeza! Sejak Qalisya lahir, mama juga
kembali pulih sepenuhnya. Mampu berjalan seperti biasa dan abah pula semakin
kerap datang melawat mama dan Qalisya. Tentang Nia, perut itu semakin memboyot
sedang aku tidak seharusnya meninggalkan dia dalam keadaan begini, namun aku
terpaksa lakukan semua itu demi dia. Ya,
demi dia dan masa hadapannya. Aku tahu, ada seseorang yang bakal membahagiakan
Nia suatu waktu nanti. Dan individu yang aku maksudkan, sudah tentunya Aiman. Ya,
lelaki itu adalah bekas tunangan Nia!
“Abang jangan tinggalkan Nia bang...” Nia merayu diri ku.
“Abang, abang tak sayangkan
Nia?” tanya Nia menapak mendekati aku. Aku geleng kepala dan aku tatap wajah
itu dengan pandangan kosong, sekosong hati ku yang sudah kehilangan sebuah rasa
bahagia. Ya, Allah tabahkan hati ku. Aku tidak mahu mereka derita melihat aku
sengsara.
“Kalau abang tak sayangkan Nia, tolong sayangkan anak ni bang... dia
perlukan abang!” pujuk Nia menyentuh lenganku. Air mata sudah merembes di pipi
mulus itu, jauh disudut hati ingin ku seka dan ku hapus air mata itu. Namun aku
tak terdaya! Biarlah ku kuatkan hati ini agar tidak mudah lemah dan berundur
dari keputusan yang sudah dibuat.
“Semua yang aku lakukan ini bersebab Nia, bukan kehendak aku. Aku
terpaksa! Tapi semua ni demi masa depan kau nanti!” aku pejamkan mata mendengar
bicara hati yang aku harapkan Nia juga dapat mendengar dan memahaminya. Namun
aku tahu, semua itu sia-sia. Nia tidak perlu tahu alasan disebalik semua ini.
“Abang tak sayangkan Nia, cinta abang pada Nia dah lama berlalu!
Abang dah penat nak tanggung semua ni, abang harap Nia terima dan redha dengan
semua ni!’ tutur ku keras. Sengaja mencipta benci di hati Nia. Dan aku mula
melangkah untuk beredar.
“Abang... jangan tinggalkan Nia bang! Kesiankan Nia bang,” rayu Nia
sudah melurut memeluk erat kaki ku.
“Sudah! Jangan menagis lagi, aku benci dengar kau menagis, aku benci!”
ucap ku semakin deras dan Nia semakin bertambah pilu dan air mata itu juga
semakin laju mengalir. Hati ini sebak, aku lemah dengan esak tangis Nia lalu
mata ku pejam erat agar kekuatan hati ini dapat ku pertahankan dan Nia dapat ku
tinggalkan segera!
“Sudah, jangan ganggu aku lagi!” pautan Nia ku rentap. Lalu aku
melangkah menjauhinya, tangis itu semakin kuat bergema.
“Attar, apa ni? Tak baik cakap macam tu!” tegur mama sudah berdiri
dekat dengan tubuh ku.
“Attar, kenapa ni nak? Apa yang jadi ni?” soal abah pula. Masih
berlembut dan tenang walau perbuatan aku sudah dianggap keterlaluan!
“Attar benci dia bah, sejak Attar kenal dia! Attar tak pernah rasa
bahagia, dia bawa malang dalam hidup Attar! Dan Attar tak perlukan perempuan
macam ni lagi! Tak perlu!” tutur ku lantang namun perlahan pula pada ayat-ayat
terakhir. Sungguh aku juga terluka menutur patah bicara seumpama ini pada insan
yang masih menjadi kesayangan ku. Aku juga sedang melukakan hati ku sendiri!
“Sampai hati abang, sampai hati abang!” esak Nia menyapa pendengaran
ku. Menjadikan aku dihambat rasa sakit dan pedih! Sungguh aku tidak tergamak
mengatakan ia di hadapan Nia, namun aku tahu ini pilihan yang aku ada. Hati itu
perlu ku patahkan walau dengan apa cara sekalipun!
“Sudah jangan nak menangis, aku benci kau Farhanatul Nadia! Aku
benci kau!” suara ku bergema lagi.
“Jangan ganggu hidup aku! Aku tak perlukan perempuan malang seperti
kau!” lancang mulut ku menghamburkan kata-kata penuh pembohongan itu.
Panggg! Satu tamparan tepat mengenai wajah. Abah melayangkan tapak
tangan tepat ke wajah ku. Aku gosok pipi yang terasa pijar dek tamparan kuat
dari abah. Aku senyum sinis, cuba menerbitkan rasa benci di hati mereka semua.
“Sedar sikit apa yang sedang Attar cakapkan! Dia tetap isteri Attar selagi
talak belum jatuh!” keras nada suara abah seaakan-akan mahu menyedarkan tingkah
ku. Aku tahan air mata yang mahu gugur. Biarlah abah salah faham, biarlah mama
bersalah sangka dan biarlah Nia memikirkan yang bukan-bukan tentang aku.
Sejujurnya, perit ini biar aku sahaja yang menanggungnya sendirian!
“Attar, shall we move right
now!”soal satu suara. Aku panggung wajah mencari pemilik suara itu, yang
lain juga lakukan hal yang sama. Shasha dan Erin berdiri di muka pintu mungkin
juga menyaksikan adegan tadi. Adegan aku ditampar oleh tangan bapa ku sendiri.
“Attar buat kerja lama tu lagi ya? Betulkan?” keras nada suara mama buat aku tersentak,
lambat-lambat aku jatuhkan kepala. Mengiyakan telahannya! Aku terpaksa berbohong
agar mereka tidak curiga dengan perbuatan ku ini.
“Astaghfirullahal a’zim! Attar, apa nak jadi ni? Apa nak jadi ni
Attar!” marah mama kuat. Abah juga sudah memicit kepalanya, hanya Neesa sahaja
masih tenang memerhatikan raut wajah ku dan wajah Shasha serta Erin silih
berganti.
“Attar dah bosan dengan cara hidup yang macam ni!” tutur ku pendek.
Mendengar patah bicara ku tadi, mama segera menggapai beg yang ku letakkan di
lantai lalu kembali tegak memerhatikan seraut wajah ku. Dengan pantas lengan
ini digapai dan ditarik hingga melewati pintu utama. Beg itu dicampak ke tengah
laman dan mama menolak tubuh ku keluar dari rumahnya hingga membuatkan aku
jatuh terduduk.
“Berambus, keluar dari rumah mama! Mama tak nak tengok Attar selagi
Attar tak kembali berubah!” gumam mama bersama amukannya. Aku terkesima, namun
aku bersyukur sekurang-kurangnya aku dibenci mama dan tindakan ini sedikit
sebanyak akan menjayakan rancangan yang ku atur lama.
“Mama... jangan buat abang macam ni mama. Nia sayangkan abang, ma!” Nia
berlari mendapatkan aku.
“Nia, masuk! Mama kata masuk, baik Nia masuk!” larang mama pada Nia.
“Tak ma, Nia sayang abang! Nia tak nak abang pergi, Nia tak nak
abang tinggalkan Nia!” ucap Nia mengharapkan pengertian mama. Pandangan itu
berkaca-kaca memandang aku dan mama silih berganti.
“Nia jangan berdegil, sini masuk!” arah mama keras. Lengan Nia
dilelar lalu tubuh itu diheret masuk ke dalam rumah. Melihat Nia diperlakukan
sebegitu, hati ku semakin rapuh untuk terus berada di tengah-tengah kemarahan
mama.
“Tolonglah mama, jangan pisahkan Nia dengan abang!” rayuan Nia
disusuli esak tangis namun mama tidak mengendahkannya. Mama, wanita besi yang
ku akui cukup tegas dan ego. Sudah tentunya tidak akan goyah dengan rayuan
seperti itu. Aku cukup kenal siapa Sharifah Azilah yang sebenarnya!
“Masuk Nia, mama tak izinkan Nia jumpa Attar selagi dia tak
berubah!” tegas mama seraya melepaskan pegangannya. Nia teresak lalu memandang
aku dengan pandangan yang sukar aku mengertikan.
“Attar, jom!” Erin mencelah tatkala merasakan keadaan semakin tidak
terkawal. Mungkin dia juga hairan dengan apa yang terjadi. Perlahan-lahan aku
bangkit, namun Nia sekali lagi meluru mendapatkan aku.
“Abang jangan tinggal Nia bang! Jangan bang.... Nia memeluk tubuh
ku. Namun saat itu, saat di mana semua mata tertumpu ke arah ku. Shasha dan
Erin datang membantu aku bangkit.
“Lepaskan!” ucap ku perlahan. Nia mendongak ke arah ku lalu aku
menggangguk perlahan. tidka tegar untuk terus mendera hati itu.
“Lepaskan abang!” ucap ku tegas namun perlahan.
“Kenapa?”
“Jangan tanya kenapa, yang penting... lepaskan abang!” rintih ku
menahan rasa.
“Tolong lepaskan abang!” ucap ku benar-benar mengharapkannya.
Perlahan-lahan Nia melepaskan pautan tangannya di tubuh ku.
“Sudah Nia, mama tak mahu Nia merayu Attar! Biar dia teruskan hidup
dia, selagi dia tak berubah! Mama takkan terima dia kembali ke rumah ni! Nia
tetap ada mama, mama akan jaga Nia walau Nia bukan isteri Attar lagi,” pujuk
mama meredakan sendu di hati Nia.
“Tapi Nia sayangkan abang, Nia mengandungkan anak abang! Mama please
halang abang, Nia sayangkan abang!” sedu sedan Nia merayu aku agar tidak
meninggalkannya cukup menyentap tangkai hati ini. Perit hingga membuatkan ada
air hangat mula bergenang di tubir mata ku.
“Aku tak sayangkan kau lagi, pergilah! Aku tak nak hidup dengan kau
lagi!” gumam ku dalam sebak yang semakin tidak tertahan.
“Nia tak kisah kalau abang tak sayangkan Nia, tapi Nia perlukan
abang! Anak Nia perlukan ayah!” rayu Nia memeluk tubuh ku kembali.
“Pergi, aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau! Aku benci kau!”
aku kalih pandangan ke sisi tidak kuat untuk melihat air mata yang semakin laju
gugur di pipi mulus itu.
“Nia. Ke sini! Ikut mama,”
mama datang menarik Nia menjauhi aku. Pegangan kejap Nia di lengan ini juga
dileraikan oleh mama. Pandangan mata antara aku dan mama bertaut seketika,
serta merta aku tundukkan wajah, hati ku tercalar pedih!
Dalam esak tangis dan titis air mata itu, guruh berdentum di dada
langit! Tidak semena-mena hujan turun selebat-lebatnya, aku angkat wajah
menatap dada langit yang hitam dan suram seperti hati ku kala ini. Dan air mata
lelaki ini akhirnya tumpah juga bersama derai hujan yang semakin mencurah-curah
ke bumi.
“Nia, bangkit nak! Mari masuk, nanti sakit pulak,” mama papah tubuh
Nia agar dapat bangkit dan berlalu ke tempat teduh. Aku curi pandang pada
seraut wajah yang cukup ku sayangi, namun sayang ini membuatkan aku tekad
meneruskan segalanya.
“Maafkan abang Nia, abang sayangkan Nia! tapi sayang yang abang beri
sering kali teruji dan sakitnya cukup hebat. Abang tak sanggup heret Nia
bersama kesakitan ini!” hati kecil ini berbicara lagi.
“Attar, mulai hari ni mama tak izinkan Attar sentuh walau satu sen
harta mama selagi mana Attar tak berubah! Mama haramkan!” ucap mama tegas. Aku
masih lagi berdiri, tubuh ini masih lagi disimbah air hujan. Kulit yang terasa
pedih ditimpa hujan ku biarkan begitu sahaja, kerana aku tahu hati ini
menanggung kesakitan yang lebih dahsyat dari itu!
“Sherry, apa ni? Tak baik cakap macam tu! Attar tu anak kita,” tegur
abah melarang mama membuat keputusan dalam emosi yang tidak terkawal.
“Sherry tak suka dia kembali kepada perangai lama dia bang, dapat
isteri sebaik Nia diceraikan semata-mata nak buat kerja jahat tu! Sherry tak
izinkan!” gumam mama menyebut perkataan itu buat kali kedua.
“Astaghfirullahal a’zim! Apalah nak jadi dengan semua ni. Neesa
ambil Qalisya bawak masuk ke dalam, nanti demam pulak!” arah abah saat melihat
Qalisya merangkak sampai ke muka pintu. Tempias hujan juga sudah mengenai wajah
mereka yang berlindung di bawah gazebo berhampiran muka pintu. Tentang Qalisya,
mungkin bayi perempuan itu mahu mengucapkan selamat tinggal kepada papanya ini.
Saat Neesa mencempung tubuh kecil itu, Qalisya menagis kuat, bagai
enggan melepaskan aku pergi, tangan itu bagai menggapai-gapai mahu mendapatkan
aku. Nia pula masih teresak di bahu mama meratapi tindakan nekad ini. Aku
pandang tubuh yang kebasahan disimbah hujan, berat hati untuk melangkah pergi
namun aku tahu tiada lagi tempat untuk aku di sini dan aku juga tahu ini adalah
satu-satunya rancangan yang ku atur namun kepedihan diusir oleh ibu sendiri
cukup menikam hati ini walau ia sudah lama ku jangkakan.
Aku angkat kaki yang terasa berat lantas kunci kereta ku letakkan di
sudut meja kecil di sudut garaj, lalu beg yang sudah basah disimbah hujan ku
capai dan ku jinjit perlahan menuju ke arah kereta Erin yang diletakkan di luar
pagar.
“Jangan kembali selagi Attar tak berubah!” peringat mama melawan
bunyi hujan yang menderu turun.
“Ya, Attar akan kembali! Akan kembali, bila tiba masanya kelak!
Hanya jasad tanpa nyawa!” bisik ku perlahan.
**
“Attar, apa yang jadi sebenarnya ni? Aku tak fahamlah!” tanya Erin
tenang memandu. Shasha yang pernah tertangkap dengan perbuatan kejinya bersama
papa tiriku dahulu sudah banyak berubah bahkan lebih baik dari sebelum ini
hanya memandang ku sekilas.
“Nah, ambillah tisu ni! Kalau kau nak sarung jaket tu ambiklah!”
ucap Shasha sambil hulur kotak tisu ke arah ku. Aku sambut namun untuk membuka
cerita tentang kisah sendiri terasa berat untuk dilafazkan.
“Tak apalah Attar, aku tak paksa! Kalau ada apa-apa yang kau
perlukan, just contact je, kitorang datang! Mana yang boleh kitorang bantu,
kitorang buatlah! Aku harap kau sabar ya!” gumam Erin tenang. Hati itu mungkin
tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi, biarlah mereka meneka sendiri.
Tidak sesekali untuk aku membuka bicara tentang hal ini lagi.
“Thanks Erin thanks Sha, nanti hentikan aku dekat sana ya!” unjuk ku
ke arah sebuah pondok perhentian bas. “Kau nak kemana ni Attar?” Erin menyoal.
“Eh, biarlah kitorang yang hantar kau!” protes Shasha buat aku
tersenyum kecil.
“Entah! Biar ajelah kitorang yang hantarkan kau Attar!” sokong Erin
bersungguh-sungguh.
“Tak perlulah Rin. Aku rasa
cukup sampai dekat situ, selebihnya pandai-pandailah aku!” aku tolak pelawaan
Shasha dan Erin dengan baik.
“Up to you. Aku tak nak paksa kau!”
“Thanks Sha,” balas ku perlahan.
Setelah kereta di hentikan, aku menapak lesu menuju ke pondok
menunggu bas. Ingin mendapatkan teksi. Seketika teksi yang ku tahan berhenti
dan aku melangkah mendekati kenderaan itu.
“Encik nak kemana?” soal pemandu teksi itu saat aku sudah duduk di
tempat duduk penumpang.
“Wangsa Maju, apartment Kristal!” tutur ku dan dia angguk sahaja
lantas memecut menuju ke destinasi yang ku katakan tadi.
Hari ini 25 May 2012, aku kembali semula ke rumah ini. Rumah yang
bertahun aku tinggalkan dahulu dan kini aku kembali untuk menetap di sini lagi.
Beg pakaian ku letakkan di atas kusyen yang kelihatan berhabuk, dan dihujung
deretan kusyen ini kelihatan sebuah kabinet kayu yang tersusun buku-buku sejak
zaman persekolah ku lagi.
Sedang aku membelek buku-buku itu, terasa pandangan mata ku berpinar
dan terasa bagai ada cecair mengalir melalui rongga hidung. Mungkin aku sudah
selsema terkena hujan sejak tadi lagi. Aku seka cecair yang mengalir dengan
sapu tangan yang pernah dihadiahkan oleh Nia. Apa yang ku jangkakan meleset
sama sekali. Cecair merah itu sedang mencemarkan warna putih sapu tangan ini.
Aku berpaling lantas aku dekati beg pakaian. Bekas kecil yang terkandung
butir-butir pil bewarna warni itu ku gapai.
BAB 44
Aku hela nafas yang terasa berat menghimpit dada, sakitnya hanya
tuhan yang tahu. Ya Allah, kuatkan dan tabahkan hati ini. Semoga aku dapat
terus bertahan sehingga sampai masa untuk aku kembali kepadaMu. Berikan aku
kesempatan untuk aku melihat zuriat ku sebelum KAU jemput aku pulang kepadaMU.
Kerana aku benar-benar rindukan kehadirannya dan aku amat ingin sekali mengendong
darah dagingku walaupun untuk sekali itu.
Guruh masih berdentum di dada langit, aku perhatikan langit yang
kelam. Hujan masih mencurah-curah membasahi bumi yang beberapa hari ini kering
kontang, sesekali rindu terhadap insan yang pernah bersama ku dahulu datang
menjengah. Apa khabar agaknya Nia dan buah cinta kami, Qalisya dan Neesa, mama
juga abah. Semuanya insan yang amat ku rindu dan amat ku kasih hingga mendorong
aku lakukan semua ini. Apa yang ku harapan nanti, agar mereka tidak terlalu
bersedih dan berduka berhadapan takdir itu. Aku mahu mereka redha akan
kepergian ku nanti! Dan ketika itu, aku mengharapkan agar mereka semua memahami
sebab disebalik keputusan yang ku ambil.
Keputusan telah ku buat, sebaik Nia melahirkan zuriat aku nanti
secara automatiknya akan jatuh talak yang ku lafazkan padanya. Ini yang terbaik
buat Nia, aku mahukan anak ku nanti berayah dan Nia dijaga dan disayangi oleh
seorang lelaki yang sudi dan ikhlas menerimanya setelah ketiadaan ku nanti. Dan
Aiman mungkin dia lelaki yang terbaik buat Nia kerana lelaki itu cukup serba
serbi. Ya dia sempurna pada perkiraan ku berbanding aku yang serba kekurangan
ini.
Jam peringatan berdering ketika aku sedang melayani khayalan ini.
Mengingatkan aku pada temu janji yang pernah dibuat.
“Encik Attar, kami memerlukan persetujuan encik untuk teruskan
pembedahan mencegah penyakit yang encik tanggung sekarang ini. Apa yang pihak
kami perlukan, encik harus memenuhi syarat yang ditetapkan. Jika tidak,
pembedahan ini tidak dapat dilaksanakan dan kemungkinan risiko penyakit encik
merebak akan bertambah tinggi, dan pada tahap ini kami berharap agar encik
dapat berbincang dengan ahli keluarga tentang apa yang kami cadangkan. Kami
hanya mampu bertindak jika encik bersetuju, jika tidak kami tidak mampu melakukannya
sendirian.” Kata-kata doktor pakar itu terngiang-ngiang sekali lagi. Dari mana
dan bagaimana mencari ia dalam masa terdekat ini? Pada siapa untuk aku
bergantung harap? Pada mama? Semua itu tidak mungkin, harta dan wang ringgit
tak mampu mengembalikan kesihatan aku seperti sedia kala. Jika dahulu aku
lumpuh, aku sakit dan kembali pulih kerana kekayaan yang membuatkan aku boleh
lakukan apa sahaja, namun kali ini Allah membuka mata aku. Harta dan kekayaan
melimpah ruah bukan jaminan sebuah kesihatan. Dan aku akur dengan ketetapan
yang telah tersurat buat ku.
“Doktor tak ada cara lain lagi ke? Tolonglah doktor, usahakan sesuatu
untuk saya.” Rayu ku benar-benar berharap hingga terlupa doktor juga manusia
biasa, bukan Tuhan yang mampu memberi segala apa yang ku pinta.
“Encik Attar, maafkan kami. Kami hanya mampu berusaha, cuma ini
sahaja jalan yang boleh menyelamatkan Encik. Kami harap encik bersabar dan
boleh memberi keputusan dalam masa yang terdekat. Berbincanglah dengan ahli
keluarga, dan dapatkan sokongan mereka. Insyaallah encik lebih bersemangat
meneruskan hidup,” gumam doktor itu lagi.
“Doktor, saya tahu ini jalan terakhir yang saya ada... tapi dari
mana dan dari siapa untuk saya dapatkannya? Saya buntu doktor!” jawab ku terus
terang dan doktor yang sudah berusia awal lima puluhan itu diam seketika. Aku
tahu, dia juga buntu apatah lagi penyakit yang ku alami bukan penyakit yang
akan sembuh hanya apabila aku memakan ubat. Hanya pembedahan sahaja mampu
mengurangkan risiko dan kesan buruk penyakit ini.
“Maaf encik Attar, pihak kami hanya mampu menasihati Encik. Segala
keputusan yang berkaitan adalah dibawah tanggungjawab Encik sendiri. Nasihat
saya, Encik balik dan tenangkan fikiran, dan bila Encik ada jawapannya nanti,
sila maklumkan kepada pihak kami. Dan kami akan bertindak secepat mungkin demi
kesihatan pesakit dibawah kendalian pihak hospital kami.” Aku mengangguk sekali.
Faham dengan patah bicara doktor itu dan aku juga tahu serta mengerti
bahawasanya harapan aku untuk hidup sihat seperti sedia kala amat tipis.
Penderma organ yang ada tidak bersesuaian dengan kondisi tubuh ini, pada siapa
lagi harus aku taruhkan harapan itu? Wajah ku raup, mengumpul kekuatan untuk
terus bertahan lalu nafas ku helan perlahan. Bicara ku atur semula.
“Baiklah doktor, kalau macam tu saya balik dulu!” ujar ku seraya
bangkit dan berjabat dengan doktor itu. Dia pamerkan senyuman seraya menepuk
belakang tubuh ku.
“Banyakkan bersabar dan bedoalah kepada Allah,” pesan doktor itu
tenang berbicara.
“Insyallah doktor,” balas ku bersama anggukan kecil. “Saya keluar
dulu,” tutur ku lagi.
“Baiklah, silakan!” mesra layanan doktor itu buat hati ku kembali
tenang dari resah yang sedari tadi datang bertandang.
Aku atur langkah yang lemah dan tiada semangat ini menyusuri koridor
yang terbuka luas. Kanak-kanak bermain di padang permainan ku perhatikan lama,
senyuman ku ukir di bibir. Keletah dan tingkah si kecil bersama pengawasan ibu
bapa ku perhatikan dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Mungkin Qalisya
juga begitu bila di bawa ke padang permainan dan mungkin juga zuriat ku nanti
akan ketawa keseronokan sebegitu. Namun jauh disudut hati, masih adakah ruang
dan peluang untuk aku nikmati semuanya nanti? Kali ini aku tertunduk menekur
lantai, hati ini semakin dihambat rasa pilu yang mencengkam. Rasa bersalah juga
menghimpit dada bila Nia ku tinggalkan saat wanita itu memerlukan aku! Ya
Allah, ampunkan segala dosa ku pada Nia dan pada semua yang masih menjadi
tanggungjawab ku! Aku lari dari amanahMU. Ampunkan aku Ya Allah!
Langkah kaki terus ku atur satu persatu menyusuri trek pejalan kaki
menuju ke hentian teksi. Beberapa ketika, kelibat teksi yang ku tunggu berhenti
di hentian itu.
“Nak kemana ni encik?” pemandu teksi tenang bersuara sebaik melihat
aku masuk ke dalam perut teksinya.
“Wangsa Maju pakcik,” gumam ku perlahan.
“Muka encik pucat, sakit ke?” aku angguk sahaja sebagai respon
persoalannya.
“Sakit apa?” tenang diri itu berbicara, menjadikan suasana sunyi
tadi terisi dengan perbualan.
“Kanser hati pakcik,” jawab ku cuba mengikis sebak yang singgah.
Sebak kerana menghidapi penyakit yang berbahaya seperti penyakit kanser ini.
Tertunduk seketika memerhatikan jari jemari yang semakin membengkak. Masihkah
ada hari esok untuk aku terus menghirup udara segar dan mendengar kicau burung
seperti hari-hari lepas?
“Sabar ya encik, Insyallah Encik selamat! Doa banyak-banyak
Insyallah, Allah akan perkenankan doa hambaNya. Pohonlah pada yang Maha
Penyayang dan Maha Pengasih! Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap
hambaNya,” bicara lelaki pertengahan usia 40-an itu buat aku rasa tenang dari
sebak yang hadir. Ya, doa satu-satunya cara yang aku ada selain usaha dan
bertawakal.
“Pakcik tolong doakan untuk saya iya,” pinta ku bersama satu
senyuman.
“Insyallah Encik, kalau boleh pohonlah doa dari ibu bapa. Doa
seorang ibu mudah makbul, doa seorang ayah juga mudah ditunaikan.” Ucapnya
lagi. Sejenak itu, ingatan ku berlabuh pada dua insan yang membawa aku ke dunia
ini. Mama, juga abah!
“Selagi Encik ada ibu dan ayah, mohonlah pada mereka agar mendoakan kesejahteraan
Encik. Berkat doa ibu dan bapa penentu kebaikan anaknya di dunia. Dan apabila
mereka telah tiada, doa si anak pula ditagih oleh mereka di alam sana.” Ucap
pemandu teksi itu. Aku tekun mendengar!
“Tapi umur saya tak panjang pak cik.” Luah ku perlahan.
“Encik takut pada kematian?” pertanyaannya buat aku tersentak.
Melihat perubahan raut wajah ku, pemandu teksi itu tersenyum lagi.
“Mati itu pasti, jangan takut kepada kematian. Takutlah pada amalan
yang bakal dibawa ke sana nanti!” bibir itu melontar kata. Ya, kematian itu
pasti! Namun bersediakan aku? Amalan aku? Terlalu banyak cacat celanya!
“Saya tak bersedia lagi, amalan saya tak cukup! Tapi penyakit saya
dah teruk!” sahut ku perlahan.
“Sabarlah Encik, Allah bersama hambaNya yang sabar.” Gumam pemandu
teksi itu lagi.
“Terima kasih pak cik, sejuk sikit hati saya dengar kata-kata pak cik!”
tutur ku ikhlas.
“Sama-sama, pak cik harapkan encik akan kembali pulih seperti dulu.”
Gumamnya lagi.
“Terima kasih sekali lagi pak cik, semoga kata-kata pak cik menjadi
doa untuk saya! Pak cik, tolong turunkan saya di situ.” Unjuk ku ke hentian bas
yang lengang.
Teksi dihentikan di tempat yang ku maksudkan tadi. Perlahan-lahan
beg duit ku gapai lalu not sepuluh ringgit ku keluarkan darinya setelah jumlah
sebenar tambang di meter teksi terlihat
diruang mata.
“Nah pakcik, lebihnya pakcik ambillah!” ucap ku sambil serah kepada
lelaki yang kemas dalam penampilan kemeja putih dan berseluar hitam itu. Dengan
kudrat yang semakin lemah aku melangkah keluar dari perut teksi.
“Encik, bakinya.” Pemandu teksi itu mengunjuk baki namun aku
isyaratkan tangan kepadanya agar dia mengambil sahaja baki itu, lalu pintu
teksi ku rapatkan kembali.
“Terima kasih, assalammualaiku..” bibir itu mengungkap kata
penghargaan. Aku sekadar mengangguk lalu menyahut salamnya.
Sesudah itu, aku atur langkah menyusuri laluan tidak berbumbung
menuju ke arah lif di tengah bangunan,
lalu pintu lif yang terkuak ku bolosi masuk ke dalamnya. Butang tertera nombor
15 ku tekan dan serentak itu lif mambawa aku naik ke tingkat tersebut.
Tiba sahaja diperkarangan koridor menuju ke rumah bernombor 5A,
telefon bimbit yang terletak di dalam poket seluar bergetar beberapa kali. Laju
sahaja aku seluk dan keluarkan gajet itu untuk melihat siapakah yang sedang
menghubungi aku? Tangan kanan ku biarkan menyentuh telefon manakala tangan kiri
pula ligat menolak gril setelah tubuh ini betul-betul berdiri di hadapan pintu
rumah! Pandangan ku jatuhkan ke atas permukaan skrin telefon dan sebaris nama
yang cukup ku kenali timbul di situ.
“Neesa???” aku tekan butang hijau lalu suara itu kedengaran
sayup-sayup dalam masa yang sama langkah
ku atur masuk ke dalam rumah lalu daun pintu ku rapatkan semula.
“Attar, you dekat mana ni? Tak nak balik ke? Qalisya rindukan you,”
aku dengar suara Neesa jauh di sebelah sana. Qalisya? Aku juga rindukan anak
kecil ku itu.
“Buat masa terdekat ni mungkin tidak Neesa, sampaikan peluk cium I
pada Qalisya. Pesan pada dia yang daddy sayangkan dia.” Gumam ku lagi sambil
duduk termangu di kusyen yang terletak di tengah ruang tamu. Dengan tiba-tiba,
di dalam dada ini merasakan kesakitan yang amat sangat! Perlahan-lahan tapak
tangan ku tekap dan ku gosok lembut agar kesakitan ini berlalu pergi.
“Baliklah Attar, you tahu tak Nia sekarang ni tengah sakit! Dia nak
bersalin!” tutur Neesa buat hati ku berderau dan berdebar. Risau, gembira dan
keliru datang menyerbu. Semuanya bersatu!
“Bersalin?” soal ku pendek dan kedengaran cemas. Tubuh yang tadinya
bersandar ke kusyen ku tegakkan semula.
“Entahlah, dah berapa hari dia tak ada selera makan. Badan pun dah
kurus sedikit, mungkin kena tahan di wad!” ucap Neesa buat aku tidak senang
duduk. Ya Allah, selamatkan Nia isteriku.
“Siapa hantar Nia ke hospital?” soal ku bersama perasaan yang sukar
ku mengertikan. Bimbang dan gundah bercampur baur.
“Abah baru hantar ke hospital! You tak nak tengok dia?” aku senyap,
perlukan aku melihat Nia yang bakal menjadi ibu tunggal itu?
“Attar, Nia still isteri you selagi dia belum lahirkan baby you.
Pergilah jenguk dia, dia perlukan you waktu-waktu macam ni!” aku hanya pasang
telinga mendengar nasihat Neesa agar aku sudi melawat Nia di hospital. Wanita
itu sedang berperang dengan kesakitan untuk melahirkan zuriat ku. Aku raup
wajah, perlukah aku ke sana?
“Attar, you dengar ke tidak? Datanglah jenguk Nia!” ucap Neesa
sedikit tinggi nada suaranya. Aku hela nafas ini perlahan-lahan. Menyusun kata
sebelum semuanya ku luahkan pada Neesa di hujung talian.
“Boleh ke I ke sana?” soal ku tidak yakin aku dibenarkan melawat Nia
tanpa pengetahuan insan lain. Aku tidak mahu terserempak mahupun bertemu mama
dan abah! Apatah keadaan aku ketika ini
amat-amat berbeza dengan aku yang dulu. Susuk tubuh ku sudah susut, perut pula
semakin membuncit dan seluruh kulit sudah bertukar kekuning-kuningan. Aku tidak
sanggup mereka melihat aku dalam keadaan sebegini. Pasti rahsia yang ku
sembunyikan akan terbongkar begitu sahaja.
“Apasal pulak tak boleh? Nia isteri you!” ucap Neesa menjelaskan
hubungan aku dan Nia. Suaranya yang nyaring menyedarkan aku dari lamunan yang
datang bertamu seketika tadi.
“I tahu dia isteri I, tapi sebaik dia lahirkan anak I.... dia bukan
lagi isteri I! Dan I tak nak jumpa mama dan abah!” gumam ku perlahan berharap
Neesa memahami keadaan ku. Keadaan aku yang tidak mengizinkan!
“Entah la.... I tak tahu nak cakap apa!” Neesa juga bagai tiada apa
untuk diperkatakan kepada ku lagi.
“Betul ni, you tak nak tengok Nia?” sekali lagi Neesa meminta
kepastian. Aku membisu seketika, antara keinginan dan kebimbangan... aku harus
memilih satu di antara dua.
“Attar,” panggil Neesa setelah aku senyap tidak membalas
pertanyaannya.
“Eh, orang cakap dengan dia... boleh pulak dia senyap aje! Mohd
Fiqri Attar! Dengar ke tidak?” jerit Neesa membentak kuat.
“Hello.. ha hello!” aku tersedar.
“You dengar ke tidak?” soal Neesa kasar.
“Dengar!” sahut ku sepatah. Masih berkira-kira.
“Nak jumpa atau tidak?”
“I rasa....” aku memikirkan kembali keputusan yang harus ku ambil.
“Cepatlah!” gerutu Neesa tidak sabar.
“Neesa, sejujur-jujurnya.... I betul-betul nak ke sana. I nak jumpa
Nia... tapi I tak mahu terserempak dengan mama dan abah!” ungkap ku menyuarakan
isi hati.
“Tapi you kena tolong I,
cover line untuk I boleh?” pinta ku pada Neesa. Lama berbicara akhirnya dia
bersetuju membantu aku bertemu Nia. Aku raup wajah lalu kata syukur ku
panjatkan kepada Maha Pencipta.
“Thanks Neesa, you’lah sahabat merangkap isteri I yang paling
memahami.” Aku puji wanita itu. Dia masih lagi isteri ku walau perasaan sayang
itu sukar untuk ku beri kepadanya semula.
“Banyaklah!” bebel Neesa sebelum mematikan talian.
**
Dengan menumpang teksi, aku gagahi langkah kaki memasuki kawasan wad
bersalin. Kelibat Neesa ku perhatikan, wanita itu masih tidak kelihatan. Persekitaran
hospital itu juga ku tinjau agar aku sama sekali tidak bertembung dengan mama
dan abah! Aku tidak bersedia lagi untuk menemui keduanya! Biarlah aku
sembunyikan diri dari ditangkap oleh kedua pasang mata tua itu!
Lama menunggu, Neesa ku hubungi dan tidak lama kemudian dia muncul
bersama Qalisya. Laju sahaja bayi kecil ini menyua tangan ke arah ku minta
didukung. Aku kucup pipi montel itu bertalu-talu, melepaskan rindu setelah
hampir tiga minggu tidak bersua.
“Qalisya rindu daddy tak?” aku soal bayi itu bagai ia pandai
berbicara sedangkan hanya rengek dan tawa halus sahaja yang kedengaran.
“Attar, cepatlah! Nia tengah tidur sekarang!” gumam Neesa
mengingatkan aku.
“Siapa lagi yang ada?” aku bertanya tentang keadaan Nia di dalam
bilik rawatan itu.
“Tak ada sesiapa, mama dan abah dah lama balik! Sekejap lagi diorang
datang bawa barang-barang Nia, I yang jaga Nia sekarang! Apa kata you jumpa dia
dulu,” cadang Neesa ku angguk sahaja. “Jom!” ucap Neesa lalu mengorak langkah
menuju ke bilik rawatan Nia. Aku pula hanya mengekori langkah itu dari arah
belakang.
“Pergilah masuk, dia tengah tidur!” Ucap Neesa sebaik sahaja aku dan
dia tiba di muka pintu bilik rawatan bernombor U-13.
“You?” soal ku pendek.
“I tunggu dekat depan ni. Kalau mama dan abah datang, I inform you!”
gumam Neesa lagi.
“Thanks!” ucap ku seraya memulas tombol pintu masuk ke dalam kamar
rawatan Nia. Wajahnya yang sedang tertidur ku perhatikan tanpa lepas. Ada
sedikit kesayuan yang terbias di raut wajahnya itu walaupun dia sedang terlena
ketika ini. Dari alis, aku kalihkan pandangan ini ke batang hidungnya sebelum
jatuh pada seulas bibir yang merah pucat lalu singgah pula ke perutnya.
“Abang cintakan Nia!” bisik hati ku di dalam diam. “Abang sayangkan
Nia, abang perlukan Nia.... abang akan doakan Nia dan anak kita selamat.”
rintih hati ku memanjat doa buat dirinya.
“Abang akan tetap sayangkan Nia!” ucap ku perlahan lalu aku jatuhkan
kucupan di dahi itu. Sesudah itu, aku sentuh perutnya yang memboyot dan satu
kucupan kasih ku beri buat si kecil di dalam sana agar dia mengerti mengapa aku
lakukan semua ini pada ibunya. Pada insan yang aku cinta!
“Sayang.... daddy doakan sayang selamat lahir ke dunia! Semoga
membesar sebagai anak yang soleh!” doa ku untuknya. Aku tegakkan tubuh ku
semula, raut wajah Nia ku perhatikan tanpa lepas.
“Nia, abang sayangkan Nia
hingga hujung nyawa abang. Walau apa yang terjadi selepas ini, abang harap Nia
akan tabah dan terima ketentuan ini dengan hati yang terbuka. Semua yang
terjadi ada jalan ceritanya sayang, tak mungkin untuk abang sakiti hati Nia
andai hati abang juga turut terluka.
Sayang, abang kena pergi dulu! Doa dan harapan abang akan sentiasa
iringi Nia selagi Allah mengizinkan
abang bernafas. Selagi Allah membenarkan jantung ini berdenyut! Abang akan
tetap cinta dan kasihkan Nia! Semoga Nia selamat melahirkan zuriat abang!” aku
kucup dahi itu sekali lagi lalu aku bangkit meninggalkan Nia sebelum dia tersedar
dari lenanya.
“Attar, mama dan abah dah sampai!” Neesa hampiri aku dan laju sahaja
dia khabarkan tentang kedatangan mama serta abah kepada ku.
“You tunggu dekat situ, bila abah dan mama dah lepas nanti. You
keluar perlahan-lahan ikut jalan sana!” cadang Neesa sambil meredakan rengek
Qalisya yang mahu mengikut aku. Aku kucup pipi si kecil itu, lalu ku alih
pandangan ke arah tempat yang dimaksudkan oleh Neesa.
“I pergi dulu! Kalau ada apa-apa berita tentang Nia, jangan lupa
maklumkan pada I!” aku berpesan pada Neesa lantas bergegas menyembunyikan diri
dari tertangkap oleh pandangan mama dan juga abah.
“Nia, bangun nak.... mama dah sampai ni. Makan sikit ya, dari
semalam Nia tak makan.” Pujuk mama sambil menarik kerusi yang disediakan di
sisi katil pesakit. Aku hanya memerhati, melihat situasi Nia dari jauh sambil
menunggu peluang untuk melepaskan diri.
“Nia nak abang, abang mana ma? Nia rindu abang, tadi abang datang
jumpa Nia.” tutur Nia bersulam sebak dan serak menahan rasa sedih yang singgah
ke hati. Aku mengerti perasaan itu
kerana aku juga terseksa dengan keadaan yang harus ku tempuh.
“Abang juga rindukan Nia,” bisik hati kecil ini melontar rasa hati.
“Mana ada Attar datang. Sudah tu, Nia makan dulu iya... sikit pun
jadilah.” Pujuk mama sambil menyudukan bubur. Namun Nia menepis perlahan.
“Janganlah macam ni nak, mama risaukan keadaan Nia. Nanti tak ada tenaga
nak lahirkan baby,” gumam mama masih tenang memujuk Nia yang enggan menjamah.
Waktu ini aku akui, kesedihan hati mula menjerut perasaan, dan aku tidak
sanggup berada lama di sini. Sedih itu semakin kuat mencengkam hati dan aku
seharusnya segera beredar pergi.
“Abang mana ma? Nia rindukan abang.” Rintih Nia bersama sendu.
“Mama dah cari Attar, tapi tak jumpa! InsyaAllah kalau mama jumpa
mama bawa dia kemari jumpa Nia!” pujuk mama walau aku tahu mama tidak pernah sekalipun
mencari aku. Hati ku kembali sebak! Ya Allah, kuatkan hati ku.
“Nia nak jumpa abang sebelum Nia bersalin ma, Nia nak minta ampun
dan maaf! Nia nak peluk abang kuat-kuat dan Nia nak cakap yang Nia sayangkan
abang ma. Nia tahu lepas Nia lahirkan baby ni, Nia bukan lagi isteri abang!
Mama, tolong carikan abang untuk Nia.” suara bersulam esak dan tangis itu seakan-akan
mencengkam erat ulu hati ku. Sakit!
“Ma... tolonglah Nia!” suara itu kembali menyedarkan aku. Aku kalihkan pandangan ke arah Nia, jari
jemari itu memegang erat lengan mama.
“Nia, jangan macam ni. Tolong la sayang!” aju mama memeluk erat
tubuh Nia.
“Tolonglah Nia ma, sekali ni je... Nia janji, Nia takkan minta
apa-apa lagi pada mama. Nia nak minta ampun pada abang, Nia sayangkan abang
ma!” Nia bertegas di dalam sendu.
“Nia, abang juga sayangkan Nia! Jangan risau, abang akan sentiasa
ampunkan kesalahan Nia. Abang akan doakan Nia hingga ke hujung nafas abang!”
bisik hati ku sebak. Entah bila ada air jernih bergenang di tubir mata, sungguh
hati ini sebak dengan keadaan sebegini.
“Mama, bila Nia boleh jumpa abang? Nia janji bila Nia jumpa abang, Nia takkan sakitkan hati abang lagi.” Ucapnya
sambil menyeka air mata. Aku semakin pilu, sungguh Nia tidak pernah melakukan
kesalahan terhadap aku selama ini. Hanya aku, ya hanya aku yang tegar
membuatkan hatinya terluka berulang kali.
“Nia, sayangkan abang... anak Nia pun sayangkan ayahnya.” Ucap Nia
perlahan namun masih sempat menerpa halwa telinga ku.
“Nia, jangan mcam ni nak.” Pujuk mama.
“Betul tu Nia, jangan terlalu banyak berfikir! Rehatlah, Insyallah
bila jumpa Attar... abah janji akan bawa Attar jumpa Nia.” kini giliran abah
pula memujuk hati Nia yang rawan.
“Betul ke bah?” soal Nia memandang abah dengan pandangan penuh
bercahaya.
“Insyallah Nia,” abah tersenyum. Nia menyeka air matanya seraya
menyentuh perut yang memboyot. Seakan-akan memberi harapan kepada anak kami.
“Nia betul-betul nak jumpa abang,” bisik Nia lagi. Aku berasa lega
melihat keadaan Nia yang semakin tenang. Hati yang gusar kambali reda dan raut
wajah itu ku renung dari jauh. Sebaik ketenangan ini menghalau resah ku tadi,
aku kembali dipagut gundah melihat riak Nia yang sudah berkerut-kerut itu.
“Nia kenapa ni?” soal mama cemas.
“Ma, perut Nia sakit ma! Aduh, sakit sangat ma,” aku dengar suara
Nia merintih kesakitan.
“Nia kenapa?” mama panik melihat Nia mengaduh sakit.
“Perut Nia sakit ma,” jawab Nia menahan sakit yang tiba-tiba datang.
Aku yang melihat juga dihambat perasaan bimbang, bagaimana harus Nia
menghadapinya bersendirian sedang aku tidak dapat bersama dengannya nanti.
“Nia nak bersalin ke?” mama menyoal Neesa yang senyap sedari tadi. “Tadi
doktor kata baru terbuka dua sentimeter, sekejap Neesa panggil nurse ya ma.”
Neesa menyerahkan Qalisyakepada abah.
“Cepat sikit ya, Neesa!” gesa
abah pula.
“Ya, Neesa pergi ni bah!” balas Neesa berlari-lari anak mendapatkan
bantuan. Aku di sini benar-benar lemah melihat keadaan Nia. “Ya Allah
selamatkanlah Nia, permudahkan segalanya tentang Nia!” hati kecil ku berdoa dan berharap agar Nia dapat
melalui semuanya dengan tabah.
“Ya, Allah.. tolonglah selamatkan Nia dan anak ku. Pindahkan segala
kesakitannya kepada aku, aku redha! Selamatkanlah dia, Ya Allah! ” rintih hati
ini. Perlahan-lahan air mata ku kembali merembes.
Lima minit berlalu, pintu bilik wad terkuak dari luar. Neesa muncul
bersama seorang jururawat yang memakai seragam bewarna biru.
“Nurse, macam mana ni? Betul
ke kawan saya ni dah nak bersalin?” pertanyaan Neesa buat aku berdebar menunggu
jawapan dari jururawat yang memeriksa.
“Mengikut pemeriksaan kami, pintu rahim sudah terbuka. Puan Farhana
boleh dibawa ke bilik bersalin. Puan dan encik semua sila beri laluan ya,”
katil Nia digerakkan dan mula disorong
keluar dari bilik wad itu.
Dari celehan tingkap kaca yang terbuka sedikit, aku lihat Nia
disorong keluar dari bilik rawatan menuju ke wad bersalin. Mama dan abah turut
ada, Neesa juga turut bersama mengiringi Nia, cuma aku.. ya aku yang masih di
sini. Hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa! Aku tekap tapak tangan di
dada, di sini perasaan sebak itu sudah bersatu dengan restu serta doa. Agar
Allah sentiasa bersamamu, Nia!
**
“Mama dengan abah
kemana?”bisik ku dekat ditelinga itu.
“Attar! Terkejut I...,” aku senyum lalu Qalisya ku ampu di atas riba.
“Mama dengan abah pergi solat zohor, dah pukul tiga. Nia pulak entah
pukul berapa nak bersalinnya, biasalah anak sulung. Lambat sikit,” komen Neesa
sambil tersenyum nipis.
“You dah solat?” Neesa menyoal diri ku semula.
“Dah, baru je tadi!” ulas ku sambil kucup pipi Qalisya yang sudah
pandai memasukkan apa sahaja barang yang dijumpai ke dalam mulut.
“Baguslah!” Neesa tersenyum. Sedang aku membalas bicara dan
pertanyaan Neesa, pintu bilik pembedahan terkuak. Seorang jururawat yang
lengkap dengan uniform khas berdiri berdekatan muka pintu.
“Siapa suami puan Farhanatul Nadia?” Neesa menoleh ke arah ku .
“Pergilah,” suruh Neesa seraya mengambil Qalisya di pelukan ku.
“Saya,” aku bangkit lalu hampiri jururawat itu.
“Isteri encik dah bersalin, anak lelaki. Jadi bolehlah encik azan
dan iqamatkan anak encik nanti. Oh ya, ini semua maklumat isteri encik, encik
boleh dapatkan apa-apa maklumat tentang kesihatan isteri encik di sana ya.
Kaunter pengurusan kelahiran diunjuk ke arah ku, aku mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah,” kata syukur ku lafazkan penuh makna. Aku sudah
bergelar bapa! Ya seorang bapa, gelaran yang cukup didambakan oleh lelaki yang
mendambakan kelahiran zuriat dari darah dagingnya sendiri.
“Tahniah encik,” tutur jururawat itu lembut.
“Terima kasih nurse,” ucap ku sambil meninggalkan jururawat yang
masih berdiri di muka pintu. Neesa ku hampiri, ingin ku kongsi berita gembira
ini bersama Neesa!
“Neesa, Nia dah bersalin. I dapat anak lelaki, so maknanya I dah ada sepasang anak!” tutur ku dalam rasa
gembira yang membuatkan kesakitan yang ku deritai selama ini seperti hilang begitu sahaja.
“Tahniah Attar, Qalisya dan dapat adik.” Balas Neesa juga teruja.
“I nak jumpa Nia dan anak I sekejap, nak azan dan iqamatkan baby
boy.” Ucap ku teruja.
“Cepatlah, nanti mama dan abah datang pula.” Bisik Neesa
mengingatkan aku.
“Okey, I pergi dulu. Kalau mama dan abah datang tolong sedarkan I. I
takut terlupa,” pesan ku dianggukan sahaja oleh Neesa.
“Okey, jangan risau! I akan cover line untuk you. Dah, baik you pergi sekarang!” arah Neesa menolak bahu ku
agar aku segera berlalu menemui Nia di dalam sana.
Dalam langkah berhati-hati itu, aku pulas tombol pintu
perlahan-lahan agar tiada bunyi yang kedengaran. Nia sedang tertidur keletihan!
Mungkin kehabisan tenaga ketika melahirkan si kecil tadi. Raut wajahnya ku
tatap penuh kasih, rasa rindu dan cinta itu berpadu. Untuk menyentuh dirinya,
aku tahu di mana kedudukan diri ku ketika ini. Nia bukan milik ku lagi!
“Terima kasih sayang, kerana lahirkan zuriat untuk abang!” ucapan
itu hadir bergema di dalam hati. Tubuh itu ku hampiri dan saat ini mata
menancap tubuh si kecil yang berbalut selimut biru yang ku beli bersama Nia
dahulu. Perlahan-lahan ku sentuh pipi montel yang sedang terjaga bersebelahan
Nia yang masih terlena, mata itu hanya separuh terbuka.
Aku ampu tubuh kecil ini dan ku kucup ubun-ubunnya berkali-kali.
Wangian syurga! Harum semerbak si kecil ini. Sedang aku memerhatikan raut si
kecil, kerutan di dahi itu mula kelihatan. Esak dan rengek perlahan itu singgah
ke pendengaran.
“Shhh... jangan menangis sayang! Daddy ada ni,” ucap ku saat
memangku bayi lelaki yang masih belum diberi nama. Aku tahu mungkin dia
kesedihan tatkala lahir dirinya ke dunia ini menjadikan ayah dan ibunya
terputus hubungan kasih.
“Sayang... shhh.. sayang anak daddy! Jangan menangis sayang, daddy
akan sentiasa doakan anak daddy membesar sebagai anak yang soleh!” pujuk ku
perlahan. Pipi itu ku usap dengan hujung jari.
“Sayang... daddy sayangkan anak daddy. Jangan menangis macam ni,
baby boy kena kuat! Siapa nak jaga mummy kalau baby boy lemah?” aku berbicara
dengan si kecil yang ku harapkan suatu hari nanti akan menjaga Nia dan
melindungi wanita itu dari sebarang duka dan bahaya yang mendatang. “Beritahu
mummy, daddy akan cintakan mummy hingga hujung nyawa daddy!” bisik ku lagi.
“Daddy azankan sayang!” gumam ku bersama senyuman. Terbit rasa
syahdu yang sukar ku gambarkan dengan kata-kata. Lantas ku bawa tubuh sekecil
ini di mendekati jendela menghadap kiblat, dan aku alunkan azan di telinga
kecilnya.
Usai segalanya, ku kucup dahi
itu penuh kasih lalu ku letakkan zuriat ku ni disebelah Nia. Tidak sanggup
rasanya mahu berjauhan dari satu-satunya buah cinta milik aku dan Nia. Namun
aku tidak berdaya, aku tiada kekuatan untuk berhadapan Nia setelah hakikat yang
tersurat, telah selesai menceritakan perjalanan hubungan ini. Hubungan aku dan Nia telah terputus, dan
hanya umur dan jodoh yang ada sahaja akan pertemukan aku kembali.
“Nia, abang sayangkan Nia! Bertabah dengan dugaan ini dan doa abang
akan sentiasa iringi Nia dan bayi kita. Abang sayangkan Nia, abang sayangkan Nia seikhlas hati abang!” aku bisik kalimah
ini di telinga Nia dan aku kucup ubun-ubun bayi kami sebelum aku berlalu pergi
kerana aku tahu sebentar lagi mama dan abah akan datang ke sini. Aku juga tidak
sanggup berhadapan dengan mama dan abah dalam keadaan aku yang sebegini, pasti
hati mereka akan hancur melihat aku yang semakin berubah kurus dan cengkung
tidak bermaya.
“Nia, jaga diri baik-baik sayang!” ucap ku lirih lalu aku atur
langkah bersama titis air mata yang gugur di lekuk pipi, meninggalkan dua insan
yang teramat aku cinta sepenuh hati.
dah baca, mohon2 la tinggalkan jejak (komen) pembaca dekat beribu, yang komen xde pun hikhikhik
jangan marah. Happy reading. Beli novel AI yg lain ok. tqvm :)
Comments