JIKA MAWAR PUDAR WARNA 8
“Waalaikumussalam, baru sampai petang tadi. Ada apa Dila
telefon abang petang-petang ni?” Taufiq tersenyum menjawab panggilan telefon
dari pemanggil yang di sapa Dila ketika ini. Lemah lembut dan sopan santun gaya
bahasanya. Amira mencebik!
“Huh, kalau bercakap dengan awek! Lembut gigi dari lidah,
kalau bercakap dengan aku serupa guruh mahu berdentum di langit. Ceit!” cemuh
Amira tidak puas hati. Telekung dilipat dan sejadah di angkat kemudian
diletakkan ke dalam almari di dalam bilik. Usai menyimpan sejadah dan telekung,
Amira atur langkah kakinya ke tepi jendela yang terletak berdekatan ruang tamu
di mana Taufiq sedang berada.
“Nantilah... sabar dulu ya. Buat masa terdekat ni tak boleh,
abang ada hal. Dila janganlah paksa-paksa macam ni, bersabar okey.” Gumam
Taufiq memujuk buah hatinya.
“Yelah.... tapi Dila kena faham, kalau perkara kecil macam
ni pun Dila nak ambil hati. Susahlah...” meleret sahaja suara Taufiq. Amira
hanya diam, memasang telinga mendengar patah perbualan lelaki itu bersama
kekasih hati yang bernama Adila. Gadis yang pernah ditemui semalam, cantik dan
lemah lembut orangnya.
“Abang tahu... tapi boleh tak Dila bersabar dulu, umur Dila
baru 23. Muda lagi, habiskan belajar tu dulu. Dah habis baru kita fikir pasal
kahwin okey.” Pujuk Taufiq membuatkan Amira mencebik sekali lagi.
“Awek merajuklah tu!” bisik Amira meneka situasi Taufiq
berdasarkan perbualan bersama pemanggil disebelah sana.
“Entah apa yang jadi pada aweknya nanti, kalau tahu buah
hati pengarang jantung dah berumah tangga dengan perempuan lain? Kecewa atau
mengamuk?” Amira mula membayangkan kemungkinan yang terjadi sekiranya
perkahwinan tidak rela Taufiq dengan dirinya diketahui kekasih lelaki itu.
Pasti ada perang dunia ketiga meletus! Hatinya ketawa lucu
mendengar bisikan hati yang nakal bersuara.
“Abang tahu, tapi....” Taufiq menjeling ke arah Amira yang
sedang tersengih sendirian melayani perasaan. Lantas langkah kaki di atur
menjauhi tubuh yang sedang berdiri menghadap keluar tingkap. Mencari ruang yang
lebih privacy tanpa gangguan mana-mana pihak. Bilik itu dihampiri lalu pintu
ditutup rapat.
“Dila... Dila! Dengar apa yang abang nak cakap ni. Abang
faham tentang perasaan Dila, tapi abang tak selesa berkahwin dalam keadaan Dila
masih belajar dan nanti-nanti Dila juga yang susah. Mana nak kejar kuliah, mana
nak uruskan rumah... Dila faham tak dengan apa yang abang cakapkan ni?” suara
Taufiq kedengaran tegas. Amira mula berminat ingin tahu selanjutnya mengenai
perbualan lelaki itu, dengan langkah yang penuh berhati-hati, Amira dekati
pintu bilik yang sedang tertutup rapat. Mahu melekapkan telinganya di situ, dan
mengumpul maklumat mengenai kekasih Taufiq. Pasti sesuatu boleh dilakukan
dengan maklumat seperti ini, agendanya hanya satu. Memutuskan hubungan yang
baru sahaja mencecah seminggu! Tidak sanggup meneruskan hubungan yang dingin
seperti ini sedangkan lelaki yang tinggal sebumbung dengannya sedang mengayam
cinta bersama kekasih hati. Dia pula? Masih seperti dulu, tiada yang berubah!
“Dila....” kali ini Amira mendengar nada suara Taufiq bagai
meleret dan merayu lenggok bunyinya.
“Bergaduh kut!” teka Amira masih fokus memasang telinga.
“Abang faham, tapi Dila kena faham keadaan abang. Abang
sibuk, kerja.... macam mana nak hantar ke sana. Macam ni, apa kata Dila naik
teksi, nanti duit belanja... abang masuk dalam akaun macam biasa. Kita jumpa
hujung bulan nanti.” Kali ini Amira tersenyum senang. Apabila Taufiq menemui
kekasih hatinya, mudah untuk meminta lelaki itu melepaskan dirinya dan seperti
syarat yang telah dipersetujui bersama, mereka dilarang menjalin hubungan
dengan mana-mana pihak samaada suka atau tidak. Amira tersenyum, masih ada
sinar harapan untuk dia kembali meniti hari seperti zaman bujangnya. Kemenangan
pasti berada dekat bersamanya. Huh tak sabar!
“Ya... abang okey dekat sini. Dila jaga diri baik-baik,
study rajin-rajin eh.” Gumam Taufiq bagai mahu menamatkan panggilan lantas
Amira menyusun langkah kembali ke jendela memerhatikan dada langit yang semakin
kelam berpura-pura bagai tiada apa yang berlaku.Malam sudah melabuhkan
tirainya. Buat seketika, engsel pintu bergesel perlahan dan wajah Taufiq yang
agak murung terbias di ruang mata.
“ Apa pula masalah lelaki ini?” tadi lembut berbicara,
ketawa, senyum dan akhirnya mendung seperti ini.
“Kalau kau nak makan, ada dekat dapur!” tutur kata itu
kedengaran tinggi sahaja, Amira hanya diam menekur lantai. Bila agaknya Taufiq
akan berlembut dalam menutur bicara. Dia masih dengar dan belum mengalami
masalah pendengaran, tidak perlu menghabiskan tenaga dengan menuturkan patah
bicara dalam keadaan suara yang tinggi. Bibir di cebik sekali!
“Lepas makan, masuk tidur!” arah Taufiq sekali lagi lalu
menghilang disebalik kamar yang terbuka luas daun pintunya. Amira bergegas ke
dapur, mencari bungkusan nasi yang ditinggalkan oleh Taufiq. Nasi ayam di dalam polisterin diperhatikan
lama, sedih tatkala menu malamnya hanya sebungkus nasi ayam. Tiada chiken chop
mahupun KFC atau mana-mana fast food yang menjadi kegemarannya. Amira tahan
sebak dalam dada sambil menyuap butir-butir nasi ke dalam mulut.
Sesudah menghabiskan makan malamnya, Amira mencuci garfu dan
sudu lalu diletakkan semula ke tempat asalnya. Langkah di atur memasuki kamar
bilik yang tertutup rapat. Tubuh direbahkan sambil mata masih dibiarkan meliar
ke seluruh ruang bilik yang sudah kelam tidak bercahaya.
“Kau nak tidur dengan aku?” soal satu suara. Laju-laju Amira
tegakkan tubuhnya, tidak sedar Taufiq sudah berbaring di situ lebih awal lagi.
“Saya nak tidur dengan tilam, bukan tidur dengan awak.”
Gerutu Amira mencebik memandang Taufiq. Sesekali, pandangan tajam dilemparkan
ke arah Taufiq yang juga sedang melawan pandang dengan dirinya.
“Arrghhh.... apa tu? Apa tu???” jerit Amira mengesot lalu mendekati tubuh Taufiq yang beriak
selamba.
“Apa tu?” Amira menyoal sambil lengan Taufiq dipeluk erat
tanpa sedar. Taufiq tersenyum sinis, malas mahu melayan namun dibiarkan sahaja
tingkah Amira ketika ini.
“Apa tu awak? Macam mana boleh ada dalam rumah awak?” soal
Amira tidak puas hati bila mana objek bewarna hitam dan berbulu lebat itu
sedang melintasi ruang bilik.
“Saya nak balik! Nak balik!” jerit Amira sedikit kuat.
Taufiq mencebik dengan permintaan Amira. Tubuh ditegakkan melihat apa yang
sedang dilihat oleh wanita yang sedang ketakutan di sisinya. Tiada apa yang
kelihatan! Tikus konon!
“Setakat tikus mondok macam tu pun kau nak balik?”
pertanyaan Taufiq dibiarkan berlalu. Apa yang pasti, Amira ingin tahu dari mana
haiwan berkenaan datang hingga ke tingkat 15 flat yang sedang diduduki oleh
mereka berdua ketika ini.
“Itu tikus bukan hamster! Tikus mondok pulak tu!” gerutu
Amira masih enggan melepaskan pegangan di lengan Taufiq walau Taufiq sudah memberi
isyarat minta lengan sasa itu dikembalikan segera.
“Tikus mondok tu haiwan peliharaan aku!” gumam Taufiq
selamba. Amira ketap bibir, tidak takutkah Taufiq berkenaan virus kencing
tikus? Jika sesuatu terjadi pada dirinya, persalahkan Taufiq kerana memelihara
haiwan sebegitu di dalam rumah sendiri.
“Patutlah gemuk dan sihat tikus awak tu!” Amira lepaskan
pautan tangan Taufiq.
“Dari mana dia datang?” tanya Amira ingin tahu. Membahasakan
tikus yang dilihat dengan ganti nama ‘dia’.
“Manalah aku tahu, kau tanyalah pada dia sendiri!” jawab
Taufiq selamba.
“Awak ni, saya tanya betul-betul, dari mana tikus tu
datang?” Amira menyoal sekali lagi. Taufiq masih beriak selamba bagai tidak
mengerti dengan pertanyaan Amira yang bersungguh-sungguh ingin tahu.
“Manalah aku tahu, aku bukan berkawan dengan dia.” Tutur
Taufiq beri jawapan yang bukan jawapan. Amira ketap bibir, geram dengan tingkah
Taufiq yang sedang bergurau tidak kena masa.
“Macam mana dia boleh ke sini?” sekali lagi Amira bertanya,
masih tidak putus asa.
“Ikut suka dialah, kalau dia rasa malas dia naik lif. Kalau
dia rajin dia naik tangga.” Amira tahan marah yang mula membakar hati. Sakit
hati mendengar jawapan yang terlontar keluar dari bibir lelaki ini.
“Itu baru tikus, ada ular... lipas.... ada anakonda. Anak
gajah pun ada!” ujar Taufiq menarik semula lengannya setelah Amira melepaskan
pautan itu.
“Aku nak tidur, jangan kacau aku!” gumam Taufiq merebahkan
semula tubuhnya ke tilam. Amira mencebik, dia tolak bahu Taufiq sedikit kuat.
Geram dengan lelaki yang tidak langsung menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang
pelindung wanita. Tahunya marah dan beri
jawapan yang bukan jawapan. Dia geram!
“Saya nak tidur juga...” gumam Amira berlembut, agar Taufiq
sudi menumpangkan dia tidur di tilam itu walaupun tipis. Dia rela berkongsi
asal tidak disuruh tidur di lantai.
“Tidurlah!” sepatah tutur bicara Taufiq memberi respon pada
persoalan Amira.
“Di mana?” Amira pura-pura bertanya.
“Eh, ikut suka kau la nak tidur dekat mana pun. Kau ni....”
Gedebukkkk!!!!! Belum sempat Taufiq menghabiskan ayat yang
ingin dilafazkan kepada Amira, dia menyeringai kesakitan. Tubuh Amira sudah
jatuh ke atasnya, wanita itu sedang ketakutan.
“Oi.... bangunlah! Sakit tahu tak!” bentak Taufiq lalu
menolak tubuh Amira menjauhi tubuh yang sedang
menghempap batang tubuhnya.
“Tikus....! dekat sana tu ada tikus! Nak balik rumah mama,”
rayu Amira menyembunyikan wajah dari di pandang oleh Taufiq. Jari telunjuknya
masih dihala ke arah hujung bilik. Decit tikus berlari menarik perhatian Taufiq, nafas di hela panjang.
“Nak balik....” esak tangis Amira kedengaran serak menyapa
pendengaran Taufiq. Buat seketika Taufiq bangkit lalu menapak keluar dari
bilik. Amira juga bangkit, dia tidak rela andai tikus yang montel itu
menampakkan diri sekali lagi di hadapan matanya. Dengan apa pula dia ingin
menyelamatkan diri.
“Awak, saya nak balik.” Gumam Amira sambil kesat air mata.
Taufiq diam tidak membalas.
“Takut tikus mondok!” ucap Amira meraih simpati Taufiq.
“Kau duduk dekat sini sekejap, jangan nak ikut aku! aku nak
lawat haiwan peliharan aku, kalau kau nak tengok, dijemput dengan segala
hormatnya!” gumam Taufiq sengaja menakutkan Amira.
“Saya tunggu di sini, awak kuncilah sangkar haiwan
peliharaan awak tu. Jangan bagi terlepas lagi,” ungkap Amira memohon agar
Taufiq mengunci sangkar yang menempatkan haiwan milik lelaki itu agar tidak
terlepas lagi.
“Tak nak!” balas Taufiq enggan menunaikan permintaan Amira.
“Okey fine, esok saya report pada dewan bandaraya, biar
mereka dakwa awak yang suka membela binatang dalam rumah!” Amira mengugut
Taufiq namun lelaki itu tetap bersahaja bahkan tenang menyusun langkah menuju
ke bilik yang dimaksudkan. Amira mencebik, tatkala ugutan yang diluahkan tidak
menakutkan Taufiq. Huh! Nafas dihela kasar.
“Nah, ambil toto ni kau tidur dekat luar! Banyak tikus
mondok lalu lalang dekat sini. Pandai-pandailah kau nanti!” gumam Taufiq sambil
campak toto bewarna hijau ke lantai.
“Awak tidur di mana?” soal Amira risau andai ditinggalkan di
ruang tamu yang menjadi laluan tikus-tius peliharan Taufiq. Seram, lengan
digosok berkali.
“Aku tidur dengan haiwan-haiwan peliharan aku, apasal? Kau
nak join sekali?” sakat Taufiq dalam raut wajah tegasnya. Kening di jungkit tinggi bagai menanti
jawapan dari Amira.
Amira ketap bibir, not sepuluh ringgit yang dihulur oleh
Taufiq diperhatikan lama. Tidak puas hati dengan jumlah sebanyak itu.
“Ambillah!” arah Taufiq enggan tunggu lama.
“Ambillah, aku dah lambat ni.” Bebel Taufiq membuatkan Amira
sambut wang bernilai sepuluh ringgit itu ke dalam pegangan tangan.
“Cepat ikut aku, aku perkenalkan kau dengan staf-staf dekat
sini. Lagi satu, aku tak nak kau merungut itu ini. Datang dengan aku, balik
dengan aku dan rehat dengan aku juga. Ingat kad pengenalan kau, ada dengan
aku.” ujar Taufiq tegas. Amira mencebik, geram angkara Taufiq bagai tahu-tahu
sahaja dengan rancangan yang diatur sejak semalam. Namun rancangan hanya
tinggal rancangan, Taufiq lebih dahulu mengetahui. Kad pengenalan miliknya
disimpan lelaki itu, ini bermakna dia tidak sewenang-wenangnya untuk keluar dan
berjauhan dengan lelaki itu. Ah kejam!
“Sepuluh ringgit mana cukup.” Akhirnya Amira bersuara kerana
merasakan jumlah wang sebanyak itu tidak mencukupi untuk perbelanjaannya
sepanjang hari. Kurang-kurang sekalipun, seratus ringgit pasti melayang untuk
tempoh sehari.
“Cukuplah, aku dah taja sarapan pagi kau. Dah la bersiap
lambat, bangun pun lambat!” gerutu Taufiq tidak puas hati. Segalanya terlewat
hari ini hingga tiba di pejabat juga terlambat lima belas minit.
“Awak ni kedekut! Mentang-mentang saya jatuh miskin! Awak berkira!”
rungut Amira perlahan. Semalam dia tidak tidur angkara Taufiq yang sengaja
meninggalkan dia sendirian di ruang tamu. Entah kemana lelaki itu pergi, ingin
menjenguk ke dalam bilik dirinya gusar andai terlihat si tikus berbadan montel
itu. Sudahnya dia tidak tidur semalaman, menjengah subuh barulah matanya layu lalu tertidur. Dan tidur
yang sepicing itu dikejutkan dengan sergahan Taufiq yang sudah bersiap untuk ke
tempat kerja.
“Cepatlah sikit!” ucap Taufiq yang sudah jauh kehadapan.
“Sabarlah!” jawab Amira cuba mengejar langkah lelaki yang
berkemeja biru lembut dan disinsing hingga ke paras siku.
Sebaik langkah kaki memasuki perkarangan bilik pejabat,
kesemua mata tertumpu kepada keduanya. Amira menyembunyikan diri di belakang
Taufiq, terasa kekok berada di situ walau hakikat sebenar syarikat tempat dia berada kini adalah syarikat milik
keluarganya yang tidak pernah dikunjungi walau sekali pun.
“Maaf saya terlambat, sebenarnya tiada apa yang penting
berkenaan perjalanan syarikat kita. Cuma di sini saya perkenalkan, Puan Amira
yang merupakan staf di bahagian pengurusan. Saya harap semua yang berada di
sini, tidak kekok dan tidak segan-segan untuk memberi tunjuk ajar kepada
beliau.” Gumam Taufiq tenang.
“Puan Amira sila beri sepatah dua kata pada kakitangan di
sini,” ujar Taufiq mempersilakan Amira berucap. Amira telan liur, getar mula
menguasai diri.
“Er... Er...” suara bagai tersangkut. Amira telan liur,
nafas kembali tidak teratur.
“Okey, saya rasa tiada apa yang ingin diperkatakan oleh Puan
Amira. Jadi ada siapa-siapa ingin bertanya?” Taufiq menyelamatkan keadaan Amira
yang nyata tidak bersedia sama sekali.
“Encik Taufiq, errr... saya rasa bahagian pengurusan dah
penuh. Jadi perlu ke kita ambil kakitangan baru?” gumam salah seorang yang
berada di sudut hujung meja bujur itu.
Amira mencebik, tidak puas hati bila kehadirannya di persoal
oleh salah seorang daripada mereka.
“Hei tak tahu ke ni syarikat bapak aku? suka hati akulah nak
masuk bahagian mana pun!” gerutu hati kecil itu.
“Alisya, saya terlupa suatu perkara. Puan Amira akan diletakkan
di bawah unit pengurusan walaubagaimanapun saya sendiri yang akan pantau kerja beliau,
jadi awak jangan risau sebab saya tak letak Puan Amira di bawah jagaan awak.” Gumam
Taufiq lagi. Alisya menjeling tidak puas hati, mudah benar Taufiq meletakkan
pekerja baru seperti Amira di bawah jagaannya.
Comments
sian Pn mira..
huhuhu
-miss A-
jahat laa taufik nie kesian kat amira......
jahat laa taufik nie kesian kat amira......
Jahat sangat ke Amira itu dik..