PENILAI CINTA ( Sambungan)
Melihat
ketegangan di raut wajah suaminya, Nazira mengambil keputusan untuk meredakan
amarah itu. Dia harus ringan tulang dan membantu. Perlahan-lahan dia merangkak
mendekati suami yang sedang fokus melipat kain.
“Ira
tolong iya,” tawarnya seraya mengambil sehelai t-shirt di dalam bakul yang
masih penuh dengan pakaian.
Amer
Safuan senyap! Diam tanpa bicara! Namun anak matanya mencuri-curi pandang ke
arah isteri yang tidak tahu mengerjakan kerja-kerja rumah. Hingga pakaian juga
terpaksa dia yang cuci dan jemur. Dan kini dia sedang melipatnya pula. Nazira
pula hanya memerhati, dan kini sedang cuba mendekati dirinya. Mahu memujuklah
tu! Terbaik sangat!
“Saf...”
Nada itu lembut. Namun dia belum lagi tergoda! Dari ekor mata, dia melihat
isterinya sedang menarik sehelai baju di dalam bakul pakaian.
“Saf,
nak lipat ni macam mana eh? Kanan ke kiri.. atau kiri ke kanan?” Nazira cuba
memancing bicaranya dia yang masih lagi teruna. Bicara manusia yang tiba-tiba
sahaja terpaksa berkahwin demi kerana memenuhi permintaan kedua orang tua wanita
itu. Wanita yang kini adalah isterinya yang sah! Isteri yang tua bertahun-tahun
darinya.
“Saf...”
Sekali lagi namanya diseru dan dia masih lagi ligat melipat pakaian. Enggan menghiraukan! “Saf, dengar tak Ira
panggil saf ni?” Suara itu kedengaran merungut namun dihujung bicara itu, ada
senyuman yang cuba diukir mesra.
Wajah
dipanggung lalu raut berkerut isterinya direnung sekali lalu. Sesudah itu dia
tertunduk, kembali menyambung kerja-kerja melipat lalu menghambur bicaranya. “Saf
dengar... Ira nak apa?” Hendak tak hendak sahaja dia melayan.
“Ira
tak tahu,” dengan jujur pengakuan itu dilafazkan. “Ira minta maaf,” dia bimbang
suatu hari nanti suaminya mengubah angin lalu mencari perempuan muda untuk
dijadikan isteri. Apatah lagi, dia sudah berusia tetapi tidak pernah
menguruskan hal-hal rumah tanggnya. Ada dapur yang cantik, itu hanyalah hiasan
semata-mata. Dan apabila Amer Safuan muncul, lelaki itu yang pertama kali
merasmikan kabinet yang bersinar itu.
“Saf...
marah lagi ke?” Nazira menyoal. Wajah tegang suaminya direnung tanpa berkelip.
“Saf
dah penat! Tak larat nak buat kerja rumah, tapi kalau hari-hari macam ni, Saf
takut Saf tak sanggup nak hadap.” Gumamnya perlahan dan Nazira terus sahaja
mengetap bibir. Ah, segala firasatnya adalah benar!
“Lepas
ni, Ira minta tolong Kak Surti kemaskan rumah.” Dia mencadangakan agar orang
gaji di rumah mamanya dipinjamkan seketika.
“Jangan
harapkan maid mama untuk kemas rumah kira,” hambur Amer Safuan menolak cadangan
isterinya. Wajah sedari tadi lagi ditundukkan! Enggan melihat raut isteri yang
cuba meraih simpati darinya.
“Ira
tak biasa, lagi pun 33 tahun Ira hidup, orang gaji yang uruskan. Jadi, susah
Ira nak mulakan sendiri.” Ajunya memohon simpati.
“Kalau
Ira malas, terpulang! Saf malas nak tegur Ira lagi, lagi pun Ira dah besar
panjang! Boleh beza mana yang baik dan mana yang buruk!” Dalam dia bersuara,
tangan masih ligat melipat pakaian. Dan sebaik tangan menyentuh pakaian dalam
isterinya, Amer Safuan terdiam seketika.
“Tengok
ni.... yang ni pun Saf kena bersihkan! Kena jemur dan kena lipat.” Dia bersuara
tanpa mengalih pandangan ke atas ‘cermin mata’ bewarna merah jambu! Dan kerana
rasa segan dan malu, lekas-lekas Nazira merampas. Dan Amer Safuan terus sahaja
mengeluh perlahan. Tangan yang ligat bergerak, turut terhenti lalu raut
isterinya ditatap dalam-dalam.
“Sampai
bila Ira nak macam ni,” soal Amer Safuan lagi. Tidak membahasakan dirinya ‘orang’ lantaran rasa
amarah itu sudah berlalu pergi.
Kerana
sedar akan khilafnya, Amira Nazira segera memohon maaf. “Ira minta maaf!”
“Hurmm.”
Amer Safuan menyahut tanpa suara, terpaksa rela memberi maaf kepada isteri yang
sebegini.
“Saf
dah lipat, sekarang Ira pergi angkut dan susun dalam almari. Kemas elok-elok! Saf
tak nak rumah kita bersepah, macam tongkang pecah.” Arah Amer Safuan lagi. Sejurus
itu dia bangkit ke sofa dan alat kawalan jauh digapai. “Yelah, Ira pergi
sekarang!” Amira Nazira juga bangkit lalu melangkah ke kamar bersama baju yang
sudah berlipat. Sejurus selesai meletakkan pakaian tersebut, dia berura-ura
mahu bersama suaminya. Dia mahu berbual dan berbicara seperti selalu. Seperti dulu-dulu!
“Saf
tengok cerita apa?” Dalam keasyikan lelaki itu menonton rancangan TV, dia
datang mendekati lalu melabuhkan duduk di lantai, manakala lelaki berusia 23
tahun itu pula sedang berbaring di sofa.
“Perang!”
Tidak mahu diganggu, Amer Safuan menyahut ringkas.
“Saf,”
Nazira bersuara sambil mengesot mendekati sofa yang dihuni suaminya. Sejurus
itu lengan Amer Safuan digapai lalu disangkutkan ke bahunya.
“Saf....”
Serunya bersama nada lunak. Ada sesuatu yang membuatkan dia bertukar sebegini.
“Hermm?”
Malas-malas Amer Safuan menyahut. Mata masih menancap kaca TV.
“Malam
ni Ira tidur dengan Saf ya,” pintanya sambil menahan perasaan malu. Amer Safuan
yang pada mulanya acuh tak acuh, kini sudah terkedu dek permintaan isteri yang
kedengaran aneh. Hesyy betul ke apa yang dia dengar? Arghh tak sanggup!
“Tak
boleh, Saf nak bangun awal. Nanti Ira kacau Saf lagi,” dengan pantas dia
menolak.
“Ala..
please...” rengek Amira Nazira sudah
mulai kedengaran. Gedik bunyinya menampar gegendang telinga Amer Safuan.
“Tak
boleh,” Amer Safuan leretkan nada
suaranya. Berharap isterinya memahami.
“Kenapa?”
“Kan
Saf dah beritahu tadi.” Amer Safuan malas mengulangi bicaranya.
“Ala..
Saf sebenarnya gay kan?” Tanpa diduga, perkataan itu terpacul keluar. Amira
Nazria tekup mulut dan raut Amer Safuan diperhatikan lambat-lambat. Lelaki itu
berkerut!
“Gay???”
“Err
ha.. Saf gay! Betulkan?” Ulangnya perlahan namun ada tegasnya.
“Mana
Ira dengar gosip tak berasas ni?” Sambil melayani bicara isterinya, Amer Safuan
masih tekun menghadap kaca TV. Filem aksi Transformer yang diulang tayang,
ditonton penuh khusuk. Sesekali dia hela nafas, terasa berat dadanya bila
tuduhan serupa itu dilemparkan. Namun apabila sedar ianya mungkin satu
kesilapan yang tidak disengajakan, rasa yang tidak senang itu segera dilontar
ketepi.
“Ira
agak je..” Tanpa mengangkat wajah, Nazira menyahut perlahan.
“Ira...”
Kali ini suara sudah dileretkan. Dari berbaring, dia turut bangkit dan duduk
memandang ke arah isterinya yang masih lagi bersimpuh di atas lantai berdekatan
sofa yang dihuni. Dia mahu menyatakan sesuatu!
“Jangan
mudah sangka yang bukan-bukan.. Saf bukan macam yang Ira fikirkan. Saf ni
lelaki normal, ada kehendak dan ada
perasaan. Cuma Saf belum bersedia lagi, Saf rasa Saf terlalu muda untuk
berkahwin.” Hamburnya perlahan, namun mengejutkan Nazira yang sedari tadi
tunduk menekur lantai.
“Habis tu, kenapa dulu
Saf kahwin dengan Ira? Kenapa?” Nazira rasa tercabar. Rupa-rupanya, Amer Safuan
masih belum bersedia untuk berumah tangga. Hessy.. sah dia perigi kejar timba!
“Sebab papa Ira minta
Saf terima Ira. Lagi pun papa risau Ira jadi anak dara tua. Maklumlah, umur dah
33, tapi calon suami tak ada! Sudahnya, Saf jadi mangsa! Huh kes naya!” Amer
Safuan geleng kepala. Seolah-olah dia kesal yang amat sangat! Mahu mengusik! Namun
dia sedar, pasti isterinya berkecil hati! Lihat sahaja raut yang sudah bertukar cemberut itu, dia
pasti Amira Nazira sedang dihambat kecewa.
“Fine,”
isterinya menyahut lantas bangkit dan terus sahaja berlalu ke dalam bilik.
“Eh..
Eh.. nak kemana pulak tu Puan Amira Nazira?” Amer Safuan bangkit berdiri, lalu
menyeluk tangan ke dalam poket. Tubuh gebu isterinya dikerling dari ekor mata.
Tak kurus tapi menyiurkan, tak gemuk tapi montok! Dia pula? Kurus melidi!
Alahai saiz badan, standard budak lepas SPM! Bila berjalan dengan si
Isteri, pasti ada yang menyangka dia berjalan dengan kakak kandungnya. Oh
kesian! Dia tidak mahu isterinya dipersenda!
“Ira
nak tidur!” Tanpa berselindung isterinya menyahut acuh tak acuh.
“Ehem..
tapi tu bilik Saf!” Sekali lagi dia senyum mengusik lalu melempar pandangan ke
arah luar. Pintu lungsur yang tidak berkunci di renung sekilas.
“Bilik
Saf ke... bilik Ira ke... sama aje! Kita dah sah, kalau Ira tidur dengan Saf,
bukannya berdosa pun.” Wanita itu menjawab hambar.
“Ala..
Tapi Saf tak selesa tidur dengan Ira. Katil Saf kecik aje! Mana muat,” dia
hambur alasan dan dengan segera isterinya menoleh. Berkira-kira mahu berbalas
hujah!
“So
Amer Safuan nak kata yang Amira Nazira ni gemuk ya?” Tebaknya bersama bibir
yang diketap rapat.
“Eh,
mana ada! Saf kata.. katil Saf kecik! Mana muat kita tidur sama-sama.” Ajunya
perlahan.
“Tapi...”
Suara itu bertukar syahdu. Perlahan-lahan Amer Safuan melihat isterinya datang
mendekati. Wajah itu berubah sayu dan sekian kalinya cuba meraih sisa simpati
yang ada di dalam dirinya. Wajah kembali ditundukkan dan nafas dihela lagi.
Lantas anak mata dihala ke arah raut wajah itu, dia mahu Amira Nazira meneruskan
bicara.
“Tapi
apa?” Untuk menutup hening bicara diperdengarkan. Kening sudah terjungkit
tinggi, dan dia sudah sedikit tertunduk cuba mengintai raut isterinya yang
masih lagi tertunduk.
“Tapi..
Ira nak tidur dengan Saf. Saf kan hubby Ira.. takkan tak boleh tidur
sama-sama?” Amira Nazira meminta. Dan kerana permintaan luar biasa itu, dia
kembali termangu.
“Boleh
ya Saf.. Ira nak tidur dengan Saf.” Pinta Nazira sambil mengelus lengan dia yang sudah
sejuk-sejuk dingin.
“Saaaff...”
Suara itu sudah bertukar lunak. Panjang pula bila namanya yang seketul itu
disebut oleh isterinya. Kerana dia diam membisu, wanita itu mendongak
memerhatikan raut wajahnya.
“Oh
a’ha... Ira nak apa?” Dia gugup seketika.
“Ira
nak tidur dengan Saf!” Ujarnya perlahan namun ada nada manja yang terselit. Isterinya
mahu menggoda dan digoda namun dia tidak
rela digoda seawal ini. Dia mahu fokus pada kerjaya dan membina nama terlebih
dahulu.
Dan
dia harus berterus terang, kemana hala tujunya pada esok hari. “Tak boleh
Ira... esok Saf nak bangun pagi! Nak ke airport!?”
“Airport?”
Hampir terjerit isterinya seketika tadi.
“Ha..
airport!” Apa ke peliknya airport? Hessy...!
“Buat
apa kat sana? Tak boleh.. Ira tak mahu pramugara yang gay tu dekat-dekat dengan
Saf.” Amer Safuan terpempam dan Amira Nazira pula sudah tayang muncung itik
saiz 1 inci.
“Mana
ada gay? Hessy... mengarut! Lagi pun, bila pula Saf nak mengurat gay-gay tu?
Saf ke sana nak pergi Dubai. Ada date!” Ujarnya bersahaja dan sekali lagi isterinya
terjerit.
“Dengan
siapa pulak?” Soalnya tidak puas hati.
“Dengan
business partner la sayang!” Dia masih tidak puas mengusik dan akhirnya
meleraikan pegangan tangan isterinya lantas berlalu ke pintu lungsur. Mahu
dikunci sebelum dia bergegas ke bilik tidur.
“Habis
tu, Ira macam mana?” Dia menyoal tidak puas hati.
“Ira
duduk rumah.. jaga diri jaga badan! Saf nak kerja, semua ni untuk masa hadapan
kerjaya Saf. Ira takpelah, anak orang kaya! Saf ni, anak ketua kampung aje! Ada
harta pun, Saf tak dapat nak waris. Sudahnya, Saf kenalah cari sendiri! Iya kan
?” Dia jungkit kening sambil pamer senyuman mesra.
“Tapikan
Saf.. buat apa Saf nak kerja susah-susah! Ira kan ada, Ira boleh tanggung Saf.”
Aju wanita itu segera merapati suaminya. Tubuh itu dipeluk dari belakang. Untuk
menolak dia tidak sampai hati, untuk membiarkan, dia yang tidak keruan.
Perlahan-lahan pelukan isterinya direnggangkan dan tubuh dipusing menghadap
batang tubuh isterinya.
“Ira..
Saf kahwin dengan Ira bukan sebab harta!” Luahnya menyusun bicara.
“Habis
tu sebab apa?” Soalan berbalas.
“Sebab
Ira dah hampir expired... jadi Saf amik Ira sebagai wife Saf dan
tinggal dengan Saf. Saf akan tanggung Ira, bagi duit untuk Ira shopping,
bagi kereta untuk Ira merayap, bagi rumah untuk Ira selerakkan. Semua tu
tanggungjawab Saf.. Ira tak perlu galas
tanggungjawab yang bukan diwajibkan ke atas Ira. Semua tu Saf yang kena
sediakan!
“Tapi
Saf..” Isterinya masih mahu membangkang!
“Tak
ada tapi.. tapi... Saf akan pergi ke sana dua bulan!”
“Dua
bulan! Mak aih... lamanya! Kerja ke kahwin ke?” Amira Nazira mula curiga.
“Mana
ada gay kahwin!” Dia mengusik.
“Jangan
Saf.. dekat sana tu bersepah tau manusia kahwin sesama jantina!” Isterinya
sudah berfikir jauh sampai ke Amerika, sedangkan dia hanya mahu ke Dubai. Mengikuti
kursus, Real Estate untuk mendapatkan kemahiran dalam sektor hartanah sekaligus
berpeluang membina kerjaya dimana sahaja dia mahukan. Dia mahu memiliki gelaran
SR, surveyor! Sepertimana engineer mendapat gelaran IR, dan seperti mana
seorang doktor mendapat gelaran DR.
“Hesyy..
Saf bergurau ajelah! Sudah, pergi tidur dulu... Saf nak tidur ni. Ira pergi
bilik, tidur sampai subuh, dan esok tolong hantar Saf ke airport.” Ajunya
bersama senyuman.
“Tak
nak....!” Entah mengapa Amer Safuan mula tersedar isterinya sudah pandai
membentak sambil menghentak kaki. Ni 33 tahun atau 3 tahun? Dia confiused!
“Amira
Nazira... jangan degil!” Luahnya perlahan.
“Nak
ikut...” Ucapnya memohon.
“Ira
kan kerja? Mana boleh ikut!” Dia terpaksa menolak.
“Ala...
nak ikut jugak! Ira sanggup berhenti kerja!” Keputusan segera dibuat.
“Ira....
jangan macam ni! Saf pergi sekejap je, dua bulan! Lagi pun papa Ira yang hantar
Saf. Ira kenalah reda,” mohonnya bersama pandangan mengharap.
“Tak
nak... Ira tak mahu jauh dengan Saf.” Luahnya mula hendak menangis. Tiba-tiba
sahaja air mata bergenang! Hisssss.....
“Shhhh....
Ira jangan menangis macam ni. Saf nak kerja, demi masa depan kita!” Lantas
tubuh isterinya dihampiri dan belakang kepalanya diusap perlahan.
“Saf
pergi sekejap aje! Bukan lama pun,” dia senyum cuba meredakan gundah di hati
isterinya. Sejurus itu tangan dijatuhkan dan wajah itu direnung lagi.
“Betul?”
Dia cuba menyoal.
“Insyallah!”
“Janji
tak curang?”
“Insyallah!”
“Janji
tak kahwin lain?”
“Insyallah!”
“Tengok
tu... Insyallah aje. Cubalah cakap betul-betul! Janji dengan Ira,” isterinya
cuba meminta sesuatu yang dia tidak pasti.
“Ira..
dengar sini ya.” Dia berbicara lalu terdiam seketika sebelum kembali menyusun
bicara.
“Jodoh,
ajal, maut, rezeki kita tak tahu dimana bermula dan berakhirnya. Tentang jodoh,
Saf tak tahu siapa jodoh Saf hingga Saf bertemu Ira. Tentang jodoh kedua dan
seterusnya, itu pun Saf tak tahu. Andai suatu hari, tertulis takdir Saf untuk
berkahwin lain. Apa tindakan Ira?” Dia cuba menyelami hati isterinya.
“Ira
akan bunuh Saf!” Itu jawapan mudah seorang wanita berpaksikan emosi.
“Ajal
Saf bukan ditangan Ira. Walau berkali Ira mahu bunuh Saf, walau berkali Ira
cuba memaksa roh Saf meninggalkan jasad sendiri, namun andai malaikat maut
belum ditugaskan mencabut nyawa Saf... bermakna Saf takkan mati. Dan kalau
jodoh Saf tertulis dengan orang lain, Ira ada dua pilihan sama ada Ira redha
atau Ira mengalah! Hanya itu sahaja pilihan yang ada! Ira pilih mana?” Soalnya
perlahan.
“Kalau
Ira sayangkan Saf.. Ira terpaksa redha! Kalau Ira kecewa dan bencikan Saf...
Ira akan tinggalkan Saf.” Ucapnya lantas menjarakkan diri dan terus sahaja
berpusing lalu meninggalkan ruang tamu yang sedikit hangat dengan topik paling
panas di hati seorang wanita.
Dan
kerana respon isterinya, Amer Safuan menghela nafas sambil menggeleng perlahan.
Tidak sangka, dari Dubai mereka berlari ke topik perkahwinan! Topik paling
sensitif di hati di dalam diri setiap wanita! Dan kerana wanita itu adalah
isterinya, sesungguhnya dia tidak tergamak untuk melukakan!
Comments
>><<
but its fun to read. lain dari yg sebelum ni.