CERPEN: CURANG (Diterbitkan di Antalogi ILHAM.. Hujan Turun Lagi)
~
CURANG ~
Dulu
aku pernah menyangka, tanpa cinta isteri ku... aku akan tetap bahagia, gembira
dan hidup seperti biasa. Namun setelah kau pergi, segalanya berubah kini! Aku
kehilangan punca, aku juga kelukaan begini! Dan aku melalui kepedihan yang
berpanjangan! Aku kecewa kerana perbuatan aku, aku terkilan kerana kebodohan
diri.
“Siapa
dia bang?” Ima bersuara pagi itu. Aku hanya diam dan tidak sedikit pun mahu ku
ulas pertanyaannya. Air mata itu berderai lagi, namun hati ini sudah keras dan
jiwa ini sudah hilang rasa kasih padanya. Bukan aku tak cinta, namun sebahagian
hati ini telah menjadi milik seorang wanita lain. Bila dan bagaimana, aku
sendiri tidak menyedarinya! Perasaan itu datang tanpa aku sedari dan dengan
perasaan itu juga mengheret aku sejauh ini. Tegar menduakan kasih seorang
isteri! Jauh dari perhatian terhadap keluarga dan jauh dari tanggungjawab
sebagai seorang ketua rumah tangga.
Pernah
dulu aku lupakan Ima dan dua perwira yang sedang membesar, aku bohongi diri itu
dan aku gadaikan kepercayaan seorang isteri demi tuntutan kasih yang menular
jauh ke dasar hati. Ima menerimanya penuh sabar dan terbuka walau aku tahu hati
wanitanya remuk dan hancur berderai.
“Ima...
abang,” aku lepaskan keluhan ini. Sukar sebenarnya untuk mengungkap sebaris
kata yang bakal menusuk dan mencederakan hati itu. Namun selagi aku bertahan,
selagi itu Delia mendesak dan sehabis itu juga dia mempersoalkan! Lantaran
kasih untuk Delia ku anggap kasih tulus ikhlas! Ingin ku jadikan dirinya suri
untuk istana yang bakal ku bina nanti, walau hati Ima terpaksa ku tikam dan ku
toreh sedalamnya! Namun aku tiada pilihan, lantaran hati ini sudah menjadi
sebahagian milik Delia, insan yang ku kasih sepenuh hati. Sepenuh jiwa dan raga
melebihi rasa kasih pada Ima yang hampir lima tahun berdampingan dengan diri
ini.
“Abang...
Ima cuma mahu tahu, siapa dia bang?” soal Ima tidak memandang wajah ini. Sedari
tadi lagi, air mata itu merembes namun cuba ditahan dari gugur di hadapan mata
ini. Aku telan liur, keadaan ini sudah ku jangkakan dan ini reaksi dari Ima,
namun bila aku berhadapan dengan realiti... aku akui keadaan Ima yang terluka, menyentuh
sedikit rasa hati yang keras. Derai air mata itu sedikit sebanyak menerbitkan
rasa sayu dan kasihan padanya! Tapi apa daya ku lagi, kasih kepada Delia adalah
kasih yang aku sendiri tidak dapat nafikan dari hati ini. Dan rasa cinta buat
Delia melebihi rasa ehsan ku pada Ima.
“Dia...
dia...” begitu payah untuk aku luahkan namun aku harus dan perlu ungkapkan
juga. Demi bukti cinta ini terhadap Delia.
“Delia!”
sepatah ucap ku buat Ima terkedu. Semakin lebat pula air mata yang gugur.
Sungguh aku tidak keruan melihat deras air mata Ima. Aku tahu hatinya kecewa
bersalut duka, namun apa lagi yang harus aku lakukan! Lantaran poligami itu
dibenarkan dalam Islam. Jadi siapa Ima untuk menghalang andai segalanya dapat
aku tunaikan nanti?
“Delia
bang?” soal Ima perlahan hampir tidak kedengaran suara itu akibat disulam esak
sendu yang berlagu.
“Ya, Delia orangnya!” Sahut ku jujur.
“Delia...
sepupu Ima?” soalnya memohon kepastian. Aku mengangguk lemah, ya aku berhasrat
mengahwini Delia sepupu kepada isteri ku sendiri. Delia yang suatu ketika
dahulu pernah menginap di rumah ini dan pernah juga melayani aku persis aku ini
suaminya!
“Kenapa
dia bang? Sejak bila?” pertanyaan Ima ku biarkan sepi seketika. Lantas ingatan
ini terarah ke peristiwa enam bulan lalu di mana kali pertama Delia di bawa ke
rumah ini.
-ENAM BULAN LALU-
“Abang
Haikal.... Delia dah masak! Abang makanlah,” gumam Delia sambil berdiri di sisi
meja makan. Senyuman ku ukir untuk membalas bicaranya, lalu langkah kaki ku
bawa mendekati meja makan. Kerusi dari jenis kayu jati itu, ku tarik cermat
lalu punggung ku labuhkan berhati-hati.
“Delia
ke yang masak semua ni?” soal ku bagaikan tidak mempercayai, apatah lagi
pelbagai jenis menu masakan terhidang dan penuh menyelerakan! Masih hangat dan
pasti sedap dijamah ketika panas-panas begini.
“Delia
lah yang masak, siapa lagi.” sahut Delia gembira dengan reaksi dari ku.
Senyuman itu mekar tersungging menyapa pandangan ini! Manis!
“Marilah
makan sekali,” pelawa ku buat Delia mengangguk laju. Aku lihat dia mengatur
langkah menuju ke kerusi berhadapan lalu melabuhkan duduknya bertentangan.
“Dah
lama abang tak makan di rumah, biasanya hujung minggu baru abang berkesempatan
makan! Itupun kalau Kak Ima cuti, kalau dia kerja memang abang makan di
kedailah jawabnya!” canda ku sekadar berbahasa basi.
“Oh
yeke, takpelah! Lepas ni biar Delia yang masak okey, lagipun Delia tak ada
kerja lagi.” luah Delia yang baru tiba ke rumah ini seminggu lepas. Gadis ini
masih mentah dan hadirnya di sini hanyalah sekadar mahu mencari sebuah
pekerjaan sementara menunggu keputusan peperiksaan STPM dikeluarkan.
“Eh,
tak bolehlah macam tu! Delia datang sini nak kerja kan? So takkan nak
jadi tukang masak dalam rumah abang?” luah ku menolak cadangan Delia. Mana
mungkin sepupu kepada isteri ku ini dijadikan tukang masak dalam rumah
sederhana besar ini! Tak mungkinlah, nanti apa pula kata ibu bapa Delia? Sudah
tentunya mereka memandang serong kepada kami sekeluarga!
“Habis
tu, Delia nak buat apa bang? Lagipun Delia tak tahu selok belok bandar ni, nak
keluar pun takut!” ujar Delia berterus terang. Aku mengiyakan kata-kata Delia, dia
masih baru di bandar besar ini. Dan masih
belum jelas dengan selok belok tempat yang ku huni. Untuk melepaskan dirinya
pergi bekerja diluar, bimbang pula andai berlaku apa-apa yang tidak
diingini! Pasti aku dan Ima yang akan
dipersalahkan oleh kedua orang tuanya nanti.
“Macam
ni... apa kata Delia bekerja di pejabat
abang! Tapi setakat buat kerja-kerja kerani, ganti pekerja abang yang sedang
bercuti. Macam mana?” cadang ku bila terkenangkan Shazi yang baru sahaja
bersalin. Sementara menunggu staf yang telah sepuluh tahun itu berkhidmat
kembali menyambung kerjanya, ada baiknya aku menggajikan Delia buat sementara
waktu. Sekurang-kurangnya Delia mendapat kerja, dan kerja-kerja yang
ditinggalkan oleh Shazi dapat diuruskan segera.
“Boleh!
Bila Delia boleh start kerja?” aku lihat anak gadis ini begitu teruja
sahaja tingkahnya.
“Esok
pun boleh!” ucap ku sambil menyambung suapan nasi ke dalam mulut. Delia
mengangguk gembira dan turut sama meneruskan suapannya.
Seiring
waktu yang berlalu, aku akui hampir setiap masa ini ku habiskan bersama Delia.
Di pejabat hinggalah sampai ke rumah, dan bila dirumah pula Delia terlebih
dahulu menyediakan makan malam buat aku sekeluarga! Manakala Ima yang bekerja
di Seremban terpaksa pulang lewat lantaran tuntutan kerjanya yang memaksa!
Manakala si kembar kami, Danial dan Danish juga akan tiba ke rumah ini bersama
mamanya. Jadi sepanjang hari-hari yang ku lalui, Delia sentiasa berada di sisi.
Bergelak ketawa dan bergurau senda hingga tidak sedar hubungan itu semakin
akrab dari hari ke hari.
“Delia
jom makan sekali,” panggil ku bila melihat Delia tidak bersama setiap kali Ima
juga berada di rumah dan dekat di sisi ku.
“Delia
kenapa bang?” soal Ima yang pulang awal hari ini. Dan kelapangan yang ada,
isteri ku yang bernama Shasyima akan menyediakan menu makan malam buat aku
sekeluarga. Dan masakan Ima ku akui lebih sedap dan lebih menyelerakan jika
dibandingkan dengan masakan Delia. Cuma isteri ku ini jarang-jarang sekali memasak
melainkan jika dirinya pulang awal dari tempat kerja.
“Entah,
sekejap abang tengok!” ujar ku buat Ima tersenyum kecil lalu meneruskan kerjanya mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Delia,
tak makan ke?” soal ku sambil mengetuk pintu bilik yang tertutup rapat. Ketika
dia melintasi meja makan seketika tadi, Delia bagai cuba menjauhkan diri.
Teguran ku juga tidak bersahut bahkan detik ini Delia memencilkan diri di dalam
kamarnya.
“Tak
ada seleralah, abang dengan Kak Ima makanlah dulu. Nanti Delia lapar, Delia turun!”
jawab Delia tanpa membuka pintu. Aku angguk sahaja walau Delia tidak
melihatnya! Sesudah itu, aku atur langkah untuk kembali semula ke meja makan.
“Delia
mana bang?” Ima menyoal bila melihat aku keseorangan menuruni anak tangga.
“Dia
kata tak lapar lagi! Kalau lapar nanti, dia turunlah!’ jawab ku tenang.
“Jom
makan, abang dah lapar!” luah ku sambil menyambut huluran pinggan yang disua
oleh Ima.
“Makan
banyak-banyak ya, nanti cepat besar!” ucap Ima buat aku ketawa kecil.
Pesanannya persis aku anak kecil seperti perwira ku yang berdua ini.
Akhir-akhir
ini ku akui hubungan aku dan Delia berubah dingin setiap kali Ima berada di
rumah! Dan setiap kali isteri ku pulang dan setiap itu juga Delia akan
mengurung diri di dalam bilik hingga menimbulkan riak tidak puas hati Ima
terhadap sikap Delia yang sebegitu. Namun ku pujuk hati Ima dan ku katakan
mungkin Delia kepenatan bekerja di pejabat. Namun Ima menyangkal, dirinya lebih
letih dan memenatkan dengan menjaga anak di malam hari, juga bekerja di pejabat
seharian kemudian pulang pula harus menyelesaikan segala urusan rumah tangga.
Jadi dimanakan kelelahan yang Delia maksudkan!
“Ima....
janganlah macam tu. Biarkanlah Delia.” Pujuk ku bila Ima mula terasa hati
dengan sikap Delia yang mula berubah laku! Pandai pula menarik muka bila
bersua.
“Ima
tak faham bang, apa yang tak kena dengan Ima ni? Nak kata Ima paksa dia buat
kerja dalam rumah ni. Tak pernah sekalipun, nak kata Ima tak sediakan makan
minum! Mustahil,” luah Ima petang itu. Aku hanya diam, senyap dan cuba menjadi
pendengar setia. Sedang dalam hati ini, ku akui perubahan Delia hanyalah kerana
rasa cemburunya terhadap aku dan Ima.
“Ima
ni kejam ke bang?” tanya Ima tiba-tiba.
“Kejam
yang macam mana Ima maksudkan?” soal ku buat-buat bertanya. Agar perubahan aku
tidak dapat dihidu oleh Ima yang sudah lima tahun menjadi isteri ku.
“Taklah..
Ima rasa Ima dah beri segala yang terbaik untuk Delia. Sediakan semuanya apa
yang diperlukan, jadi kenapa setiap kali Ima bertembung dia melarikan diri.
Bila setiap kali Ima habiskan masa dengan abang dia tarik muka, takkan Ima nak
bermanja dengan suami Ima sendiri boleh buat dia jengkel pada Ima bang?”
bertubi-tubi Ima menyoal. Aku bungkam! Alasan apakah yang harus ku hamburkan
untuk membalas segala pertanyaan Ima?
“Ima...”
panggil ku lantas memeluk erat bahunya. Kaca TV bukan lagi fokus ku tetapi kini
fokus ku hanyalah pada Ima juga Delia kekasih yang cuba ku rahsiakan!
“Hurmm?”
Ima membalas sambil memeluk sebelah tangan ku yang bebas.
“Mungkin
dia malu tengok kita macam ni, so next time kita tak boleh peluk-peluk
macam ni! Tambah-tambah depan Delia. Mungkin dia tak selesa!” ucap ku penuh
teratur. Ima pada mulanya menolak, namun akhirnya diri itu mula menerimanya
dengan terbuka! Mungkin juga Delia tidak berapa menyukai situasi mesra aku dan
Ima sedang hakikat sebenarnya, Delia
kecewa dan terluka melihat kemesraan ini. Maafkan aku Delia dan maafkan aku
juga Shasyima.
Hari
itu Delia masuk ke dalam bilik pejabat ku dalam raut wajah yang kelat! Pasti
ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
“Kenapa
ni sayang?” soal ku memanggilnya dengan panggilan sayang! Panggilan bila aku
berdua bersama dengannya!
“Delia
dah tak tahan! Bila lagi abang nak cakap pada Kak Ima? Sampai bila Delia kena
berpura-pura bahagia depan abang dan Kak Ima?” soal Delia petang itu.
“Delia
sabarlah sekejap... abang nak buat macam mana lagi? Kalau abang ceraikan Ima,
apa pula kata mak mertua abang, mak saudara Delia juga!” luah ku berharap Delia
sanggup bersabar untuk seketika.
“Delia
tak peduli, kalau abang tak nak cakap! Biar Delia yang cakap! Delia sanggup
berdepan dengan Kak Ima!” ucap Delia berani namun aku menegah! Ini bukan
masanya! Tambahan pula Ima sedang berbadan dua, menunggu masa untuk melahirkan
anak ketiga ku. Hasil perkongsian hidup yang masih baru dan masih lagi hijau
usianya!
“Delia..
sabarlah sayang! Tak lama pun, sebulan dua lagi kita beritahu semua orang ya.”
Pujuk ku mencuba agar Delia bertahan untuk seketika.
“Sebulan
dua tu lama bang? Sampai bila abang nak simpan Delia ni macam Delia ni
perempuan simpanan abang?” luah Delia kedengaran kesal!
“Delia....
abang tak pernah anggap Delia perempuan simpanan abang! Abang akan jadikan
Delia isteri abang yang sah! Sabar ya sayang,” pujuk ku lagi. Delia mendiamkan
diri, bungkam untuk terus melawan bicara ini.
“Kita
balik dulu ya, Kak Ima tengah tunggu kita dekat rumah!”
“Lagi-lagi
Kak Ima.... lagi-lagi Kak Ima! Delia meluatlah... Delia menyampah balik ke
rumah tu lagi! Abang pun satu, nak tunjuk mesra depan Delia? Agak-agaklah!” bentak
Delia marahkan aku bermesra dengan Ima. Aku menggeleng lemah, bagaimana harus
ku pujuk hati Delia yang merimaskan dengan sikap cemburu butanya itu.
“Delia....
sabar sikit boleh tak?” aku masih lembut menyusun bicara.
“Abang
nak Delia bersabar macam mana lagi? Delia dah habis sabar tahu tak!” jawab
Delia enggan mengalah.
“Okey,
esok Delia pindah dan tinggal dekat apartment abang! Tapi abang tak boleh ke
sana setiap hari.” Luah ku harap ini menjadi penyelesaikan terhadap masalah
kami yang sering kali berlarutan sejak seminggu dua ini.
“Betul
ni? Delia tinggal di apartment abang?” kali ini nada suara itu kembali ceria
dan pandangan itu juga tampak bercahaya.
“Ya,
sayang! Tapi abang tak boleh datang selalu tapi abang janji akan jenguk Delia
setiap kali ada masa terluang,” sahut ku tenang!
“Sungguh?”
soal Delia memohon kepastian. Aku hanya mengangguk dan senyuman ku ukir. Lega
bila melihat Delia tidak lagi menarik muka seperti awal-awal tadi. Sedikit
sebanyak, ku akui hati ini kembali tenang bila dapat mengembalikan Delia yang
asal!
*** **** ****
“Sejak
tiga bulan lepas!” satu suara mencelah dan kali ini aku benar-benar rasa
terjerat! Delia berada di ruang tamu rumah sederhana besar ini menjawab
pertanyaan Ima tentang hubungan cinta antara kami.
“Delia!”
seru Ima sekali. Aku pula sudah meraup wajah meramas rambut yang tadinya kemas
tersisir.
“Delia
cintakan abang Haikal! Tolong tanda tangan borang ni, Delia mahu berkahwin
dengan abang Haikal.” Ungkap Delia kedengaran bersahaja namun sudah cukup membuatkan
Ima semakin kesedihan dipagut duka. Borang kebenaran poligami itu diletakkan di
atas meja kopi benar-benar di hadapan wajah Ima. Dan ku lihat, jari jemari Ima
bagai terketar-ketar menyentuh helaian putih yang bertinta dakwat hitam
“Delia....
abang Haikal ni suami Kak Ima. Ayah kepada
Danial dan Danish. Juga ayah kepada anak dalam perut Kak Ima ni. Delia
tak kesiankan kak Ima?” soal Ima dalam sendu dan air mata yang semakin galak
menuruni lekuk pipi. Deras air mata itu dibiarkan tidak berseka. Basah berjuraian
ke pipi hingga menitis jatuh ke ribaannya! Aku raup wajah ini, rasa sebak mula
hinggap ke hati namun aku tiada upaya untuk menafikan rasa cinta yang kian
membara terhadap Delia. Sebahagian cinta dan hati ini telah ku berikan kepada
Delia, sepupu isteri ku sendiri!
“Abang,
kenapa buat Ima macam ni bang? Abang tak sayangkan Ima? Tak sayangkan rumah
tangga kita? Tak sayangkan anak-anak kita?” soal Ima dalam esak tangisnya. Aku
hanya diam, sesungguhnya lidah ku kelu untuk berbicara.
Sesungguhnya
aku menyayangi mereka namun sayangku pada Delia mengatasi segalanya hingga hati
Ima tergamak aku lukakan sebegini sekali.
“Ima,
abang sayangkan Delia.” Ucap ku perlahan namun aku sedar Ima kesakitan dengan
sebaris ayat yang ku lafazkan tadi.
“Kenapa
abang buat Ima macam ni? Kenapa bang? Apa salah Ima? Apa dosa yang Ima dan buat
pada abang! Cakap bang? Ima akan perbetulkan tapi jangan mintak sesuatu yang
tak mampu Ima beri! Tolonglah bang, kasihankan Ima! Tolonglah kasihan Ima,”
rayu Ima yang duduk melutut di hujung kakiku. Ketika ini Ima pandang wajah ku
dengan mata berkaca-kaca. Jernih salju yang menuruni lekuk pipinya ku pandang
sekilas.
“Abang
cintakan Delia! Izinkan abang kahwini Delia.” Kata-kata keramat itu ku lafaz
lagi walau hati Ima sudah remuk dan sudah hancur.
“Sampai
hati abang! Sampai hati abang!” tangis Ima berlagu pilu.
“Sekarang,
Kak Ima tolong tanda tangan borang ni!” Delia pula bersuara memecah esak tangis
Ima yang rancak berlagu.
“Delia,
tolonglah kasihannya Kak Ima! Jangan buat Kak Ima macam ni, apa salah Kak Ima
pada Delia. Kasihankan Kak Ima, Delia. Tolonglah jangan kejam pada Kak Ima.”
Rayu Ima sambil memeluk kaki Delia.
“Sebab
Delia kesiankan Kak Ima, Delia minta Kak Ima tanda tangan borang ni. Kalau
Delia tak kesiankan Kak Ima, dah lama Delia minta abang Haikal ceraikan Kak
Ima.” Jawab Delia celupar. Pautan Ima dikaki Delia hanya dibutakan sahaja oleh
gadis yang menjadi kesayangan ku, dan wajah Ima langsung tidak dipandang! Delia
benar-benar tegar melukai hati itu. Dan aku juga sanggup mengguris hati isteri
ku sendiri!
“Abang,
jangan tinggalkan Ima. Ima mengandung anak abang! Tolong kesiankan Ima,” rayu
Ima dalam pandangan berkaca-kaca. Aku ramas rambut yang semakin kusut, Ima
tidak mungkin aku tinggalkan dan Delia pula tidak mungkin ku lepaskan!
“Sampai
hati abang!” luah Ima bersama esak tangis.
“Apa
kurangnya Ima bang? Apa kurangnya Ima? Ima beri abang zuriat, Ima jaga rumah
tangga, jaga hati mak ayah abang... adik beradik abang lagi. Dan korbankan masa sendiri untuk beri
semuanya pada abang! Apa lagi yang kurangnya!” soal Ima bertalu. Aku bungkam
sekali lagi! Apa kurangnya Ima? Sejenak aku berfikir, Ima tiada kurangnya,
segala urusan rumah tangga diuruskan sebaiknya, cuma layanan dan masa untuk ku
sahaja yang tiada!
“Sudahlah
Kak Ima, kalau Kak Ima jenis mamahami... pasti kak Ima sedar, kalau benar-benar
abang Haikal sayang pada Kak Ima,
dan benar-benar cintakan Kak Ima,
tak mungkin hati abang Haikal boleh berubah arah!” gumam Delia menambah luka di
hati Ima.
“Apa
yang Delia maksudkan ni?” soal Ima mengesat air matanya dengan belakang tapak
tangan. Wajah Delia yang beriak selamba di tatap dalam, dan tajam!
“Abang
Haikal dah tak sayangkan Kak Ima, kalau abang Haikal sayang.... sudah tentu dia
tak menduakan Kak Ima dan tak pasang skandal dengan seppupu kak Ima sendiri!
Dah tiga bulan lebih Delia bercinta dengan abang Haikal!” Delia pula sengaja
mengeruhkan keadaan.
“Abang!
Sampai hati abang buat Ima macam ni!” luah Ima bangkit dari terus melutut di
hadapan ku dan Delia. Air mata itu merembes lagi.
“Ima...”
seru ku cuba meredakan keadaan.
“Abang
Haikal.. sekarang ni Delia nak abang bertanggungjawab pada Delia. Delia pregnant!”
ungkap Delia buat dunia ku kelam dan gelap gelita. Ima terpempam dan aku juga
sudah melurut jatuh ke sofa, benarkah ketelanjuran sekali itu membuatkan Delia
mengandungkan benih aku? Ah.... apa semua ni.
sedangkan aku hanyalah terbuai pada nafsu yang dihambat oleh bisikan
syaitan! Ya Tuhan, apa yang sudah aku lakukan!
“Ima...”
aku mula menyedari Ima yang sedang merenung ku dalam pandangan berkaca dan
penuh hampa. Kesedihan di raut wajah itu tidak dapat disembunyikan lagi.
“Pergi!
Pergi! Ima benci abang! Pergi!” jerit Ima memecah hening. Borang poligami itu
dicapai lalu dikoyak dan dilempar tepat ke wajah ku!
“Pergi!
Pergi dari sini! Ima benci abang! Pergi!” jerit Ima sambil menekup kedua
telinga. Enggan mendengar apa jua alasan yang ku luahkan selepas itu. Tubuh itu
sudah terduduk dan aku lihat Ima memeluk erat kedua lututnya bersama air mata
yang semakin deras.
“Pergi!
Pergi! Tolong pergi dari sini! Tolong pergi!” Ima sudah hilang rasa, jeritannya
semakin perlahan disusuli sendu! Nyata kecewa Ima bukan sedikit hingga aku
lihat anak mata itu sudah kemerahan dan tangis itu sudah berlarutann.
“Ima....maafkan
abang! Maafkan abang, Ima! Maafkan abang!” ujar ku memohon sebuah kemaafan dari
Ima. Diri itu ingin ku sentuh dan kemaafan ingin ku ungkap namun Ima mengelak!
Ternyata, hati Ima sudah hancur dan berderai!
“Cukup!
Ima jijik dengan abang! Ima jijik! Jijik!!!!” jerit Ima bersulam esak, dari
lantang nada suara itu bertukar hiba disulami esak tangis yang tidak mampu
disembunyikan lagi. Danial dan Danish hanya memerhati, dan perlahan-lahan aku
lihat mereka mendekati Ima lalu memeluk ibunya yang kesedihan! Diusap bahu itu
persis memujuk Ima yang telah ku lukakan sekeping hatinya!
“Haikal...”
satu suara menyeru nama ku dan serentak itu juga satu tumbukan padu hinggap ke
wajah.
“Aku
dah dengar semuanya! Tak guna kau! Tak guna!” tubuh ini dilayak dan dibantai
bertubi-tubi oleh abang ipar ku juga abang kepada Ima serta abang sepupu kepada
Delia.
“Kau
buat apa pada adik aku hah? Kau buat apa?” kali ini tumbukan Saiful ku biarkan
sahaja. Memang aku yang bersalah! Memang aku yang menduakan dan mencurangi Ima.
“Hei,
Haikal! Kau memang kurang ajar!” kali ini tamparan Saiful buat aku jatuh
tersungkur ke lantai. “Kurang ajar!” jerkahnya sekali. Perlahan-lahan aku
rasakan cengkaman Saiful di kolar baju
ku terlerai sebelum aku lihat Saiful mendekati Delia yang mula berundur
menjahui aku.
“Delia!
Saudara jenis apa kau ni? Jual maruah! Rampas suami orang, runtuhkan rumah
tangga orang! Mengadung anak haram pulak tu! Perempuan jenis apa ni?” amarah
Saiful tidak dapat dibendung lagi. Satu tamparan sudah melekap di pipi itu!
Aku
yang sudah luka berdarah dibelasah oleh Saiful cuba bangkit dan wajah Ima ku renung
Iama, sedikit pun rasa kasihan Ima tiada pada ku saat ini, hanya renungan tanpa
kasih yang ku lihat, benarlah perbuatan ini menjadikan kasih sayang Ima
terhapus buat ku.
***
“Sekarang
aku nak kau bertanggungjawab pada anak aku! Kahwin dengan dia!” aku tertunduk
mendengar hukuman yang dijatuhkan atas perbuatan hina ku terhadap Delia. Ima
hanya mendengar, syarat yang diberi cukup sudah membuatkan aku berada dalam
keadaan dilema yang bukan sedikit!
Ima
tidak sudi berkongsi dan tidak rela dilepaskan! Tetapi jika aku memilih Delia
bermakna ikatan lima tahun yang disimpul rapi akan terlerai ikatannya.
Sedangkan aku tiada pilihan selain bertanggungjwab pada kebodohan sendiri.
“Saya
minta maaf pak cik! Saya minta maaf!” aju ku memohon kemaafan bapa Delia.
“Aku
tak peduli, kau nak minta maaf ke apa ke... yang aku tahu, kau dah buntingkan anak
dara aku! Sekarang bertanggungjawab!” arah bapa Delia membuatkan air mata Ima
kembali gugur, tiada apa yang mampu ku lakukan kini. Sedangkan Ima yang sarat mengandungkan
zuriat ketiga ku sekadar mendengar. Wajah itu murung dan riak itu keruh tidak
bercahaya seperti dahulu. Sesungguhnya dalam keadaan terpaksa memilih sebegini,
aku akui bahawasanya aku tidak mampu melepaskan Ima jauh dari hidup ku! Satu
persatu wajah Danial dan Danish ku renung, mereka juga melihat ku dalam
pandangan yang sukar ku mengertikan.
Pulang
sahaja dari dijatuhi hukuman oleh orang tua Delia, aku memandu menuju ke suatu
tempat. Mencari Ima yang menghilangkan diri, mungkin Ima berada di situ! Tempat yang menjadi pilihannya
setiap kali hati itu aku lukai!
“Sekarang, abang
lepaskan Ima.” Pinta Ima sambil mengesat air mata yang gugur,
“Ima... tolonglah
jangan buat abang macam ni. Abang minta ampun dan minta maaf! Abang tak mampu
lepaskan Ima pergi dari hidup abang! Tolong jangan beri pilihan yang abang tak
mampu pilih.” Luah ku kesal namun hati Ima lebih kesal bersuamikan aku yang
tidak menjaga maruah dan air mukanya sebagai seorang isteri.
“Abang
pilih Delia... abang perlu lepaskan Ima. Pernah abang berjanji abang akan
sehidup semati dengan Ima.... tapi semuanya janji kosong! Luah Ima kembali menyeka air mata yang gugur,
pandangan itu masih terarah ke pandangan kota Kuala Lumpur dari bukit yang
sering dikunjungi Ima setiap kali hati itu terluka.
“Abang
minta maaf Ima.” Pinta ku namun tiada reaksi dari wanita yang ku sayang.
“Andai
abang sayang.... tolong lepaskan Ima. Mungkin dengan cara ini, Ima lebih
bahagia!” pinta Ima buat aku sebak. Melepaskan sebuah cinta yang bersimpul hampir
sedekat lamanya.
“Ima
bencikan abang... sumpah Ima akan bencikan abang sampai mati!” luah Ima
melontarkan rasa hatinya, cuba membunuh rasa cintaku padanya.
“Ima,”
seru ku agar dia berpaling dan melihat wajah ku untuk seketika.
“Lupakan
Ima.... Ima mahu bina hidup baru bersama anak-anak Ima. Tolong jangan pisahkan
Ima dengan anak-anak Ima. Hanya mereka yang Ima ada.” Rayu Ima dalam sendu. Aku
hampiri tubuh itu, lalu kedua tangannya ku sentuh! Dia membiarkan namun
seketika kemudian, lembut tolakan tangan itu buat aku dipagut sebak. Ima
menolak sentuhan ini! Maafkan aku Ima, kerana mencipta luka di hatimu.
“Ima...
Tolong maafkan abang! Abang curang pada Ima.” Luah ku dalam kesal menggunung.
Bodoh kerana membiarkan sekeping hati jatuh dan terpalit dengan dosa zina
bersama Delia.
“Ima
akan tetap maafkan abang walau sebesar mana salah abang....” gumam Ima tanpa
sedikit pun menoleh ke arah ku. Aku terluka dengan penolakan Ima. Renunglah
wajah ku Ima, tataplah aku untuk seketika.
“Abang...
Ima minta halal dan minta ampun dan maaf atas segala kekurangan Ima dan
kesalahan Ima sepanjang bergelar seorang isteri kepada lelaki seperti abang.
Mungkin kekurangan Ima mendorong abang ke arah itu. Maafkan Ima,” luah Ima
kesedihan dan aku adalah insan yang dirundung sebuah kepiluan mendengar bicaranya
itu. Sesungguhnya aku yang bersalah
kerana tidak bijak menangani nafsu yang bertuankan syaitan! Hingga yang halal
tidak ku manfaatkan dan yang haram itu ku puja dan ku cinta!
“Ima
pergi dulu.... dan lepaskan Ima. Dan Ima janji dan sumpah takkan ingat dan
kenang semula walau secebis ingatan terhadap abang selepas ni.” gumam Ima tekad
untuk minta dirinya dilepaskan pergi dari ikatan yang menjerat hati itu.
Maafkan aku Ima!
p/s: terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entry ni :)Untuk pengetahuan, cerpen ini akan diterbitkan di dalam antologi ilham :)
Comments
kita tinggal menumpang dirumah, nanti
di goda suami. ^_^
E3 yg betul betul membuat kita terfikir nasib seorg wanita yg begelar isteri..sebaik mana ..kita menjalankan tanggung jawab kita sebagai seorg isteri ..ibu..kepada anak anak dan juga berkerjaya ..kita mampu melakukannya kerana erti sebuah cinta yg kita telah perjuangkan bila ijab dan qabul dilafazkan oleh jejaka yg mengusik jiwa kita..untuk memberikan yg terbaik dan mencipta syurga rumahtangga untuk suami ..dalam lelah nya waktu mengejar masa untuk menyempurnakan tanggungjawab harian..kita kadang kadang terleka untuk mewarnakan semula kisah cinta kita bersama suami..menyebabkan diri mereka terasa terpinggir dan jiwa mereka kosong..dan kerana itu mereka mencari sebab dan ruang untuk mengulam cinta baru tanpa memikirkan perasaan dan hati isteri yg berkorban untuk membahgiakan sebuah rumahtangga sehingga tiada ruang masa untuk diri kita berjimba jimba ..kan..
Akak suka plot citer ini..menyedarkan kita ..bahawa cinta ada musim pasang surutnya..dan perkawenan mestilah ada tolak ansurnya diantara pasangan..memberi dan menerima dan bukan dikhianati pasangan kita yg telus sayangi diri kita seadanya ...
sebagai contoh selalu kita dengar ayat begini "NAMA JE SEKOLAH AGAMA, PERANGAI MACAM HAMPEH' tahu tak, budak2 baik macam tu la... dugaan paling hebat! jangan salahkan mereka.
dan kalau boleh elakkan membawa individu lain ke rumah anda hatta orang gaji sekalipun hahaha.... peace :)
betul kak ida... dari pembacaan dan kes penceraian sekarang ni memang kebanyakan melibatkan individu ketiga. ermmmm dan kebanyakan komen pasangan ni firstly dikatakan tak serasi, kenapa tak serasi? sebab tak pernah luangkan masa bersama... macam mula2 bercinta dulu. tapi lelaki sepatutnya sedar dan faham kenapa perempuan sibuk. tangan ada dua je pun, nak buat semua benda! SO TOLONGLAH... ni tak, sedap2 je curang! cehhh... emosional! haha :)
tq