CERPEN : LANGKAH SEIRING RESTU
ASSALAMUALAIKUM
layankan
CERPEN 'LANGKAH SEIRING RESTU'
“Kehidupan adalah satu pilihan yang kita sendiri memilihnya, atau kita
tidak diberi satu pun pilihan untuk meneruskan kehidupan ini”
Aku, seorang wanita yang berusia 30 tahun. Punya segala apa
yang diimpikan, kerjaya dalam hidup, rumah besar dan harta melimpah ruah. Aku
bahagia dengan apa yang aku ada, aku tenang menghabiskan masa muda dalam
keadaan begini. Aku bahagia dan aku gembira dengan apa yang aku usahakan! Namun
jauh disudut hati ini, aku akui sedikit sebanyak masa silam dahulu membuatkan
hati ini dipagut kesal yang bukan sedikit. Kerana kedegilan, kerana rasa ego dan
pentingkan diri sendiri aku kehilangan kasih sayang seorang ibu. Aku hilang
tempat bermanja bahkan aku hilang segalanya dalam sekelip mata. Semuanya kerana
mahu mengubah nasib keluarga!
Aku mahu keluar dari sempit golongan miskin seperti ini, aku
mahu bernafas dalam terang cahaya kemewahan bukan terlindung dan terkurung di
dunia yang kelam tanpa harapan. Aku mahu kehidupan yang menyenangkan dan aku
tidak mahu terus terusan mengecapi hidup sukar bersulam kedukaan!
Sesekali sebak yang datang ku hindar jauh, tidak mahu ku
kenang lagi. Kerana aku tahu aku bukan kuat untuk membiarkan sekeping hati
jatuh tersungkur di lembah kekesalan.
***
Musim demi musim berlalu, akhirnya aku kembali semula
bertemu insan yang lama aku tinggalkan.
Tanpa khabar dan tanpa berita, dan akhirnya kejutan yang ingin ku tunjukkan
memusnahkan hati kecil ini.
Apa yang tinggal kini hanyalah rangka sebuah rumah yang telah
hangus dan reput dimamah anai-anai,
semak samun memanjat memenuhi persekitaran rumah papan yang bukan lagi rumah!
Dimana ibu? Di mana wanita itu? Dan di mana adik-adik ku yang lain? Di mana
mereka?
Hati ini bersoal jawab, aku keliru? Mungkinkah mereka telah
berpindah dari sini? Tanpa pengetahuan aku anak sulung mereka?
“Cik, kenapa cik berdiri depan rumah ni?” persoal seorang
pemuda ramah bertanya. Seketika aku menoleh ke arah seraut wajah yang bersih,
senyuman itu mekar tersungging.
“Ini rumah Zaharah?Betulkan?” persoal ku meminta kepastian sesudah hampir
12 tahun aku menghilangkan diri dari perkampungan ini demi sebuah cita-cita.
Dan cita-cita yang telah ku tekadkan sekian lama kini telah ku gapai!
Dan seiring kehendak dan azam yang ku pegang kukuh, aku
hanya akan kembali ke sini andai semuanya sudah ku peroleh. Dan hari ini
menjadi bukti kata-kata yang ku pegang, janji yang ku lafaz dahulu! Detik dan
saat ini, aku menjejak semula perkampungan
dengan penuh rasa bangga dan dalam keadaan yang jauh berbeza!
“Ya ini rumah Makcik Zaharah? Ada apa ya?” persoalan dibalas
persoalan. Aku jatuhkan wajah mengangguk beberapa kali, kaca mata bewarna hitam
yang tersarung ku buka perlahan. Renek peluh di dahi ku seka dengan hujung
jari.
“Saya nak jumpa dia? Dia di mana sekarang?” pertanyaan ku
membuahkan kerutan di dahi pemuda yang langsung tidak ku kenali. Wajah itu
berkerut seribu, diam tanpa bersuara. Demi melihat keadaan pemuda itu, aku
hampiri tubuhnya dan dia yang masih berada di atas motosikalnya segera
mematikan enjin.
“Dah lama ke Makcik Zaharah berpindah?” persoal ku tanpa
mengesyaki apa-apa.
“Makcik Zaharah tak pernah berpindah! Ini rumah terakhir
dia, cik ni siapa?” sekali lagi aku ditebak dengan persoalan dari pemuda itu.
Pada perkiraan ku mungkin usianya masih lingkungan belasan tahun. Dari apa yang
diperkatakan pemuda itu, aku yakin Makcik Zaharah tidak kemana-mana, jadi
mengapa pula rumah ini ditinggalkan begitu sahaja. Pokok-pokok senduduk sudah
meliar di halaman, semak dan lalang juga memenuhi persekitaran bawah dan
belakang rumah. Jadi kemana perginya Makcik Zaharah jika bukan berpindah!
“Boleh akak tahu, Makcik Zaharah kemana?” sekali lagi aku
menyoal meminta kepastian dari pemuda yang mungkin juga salah seorang penduduk
kampung ini.
“Cik ni siapa? Apa kaitan cik dengan ibu saya?” pertanyaan itu dihambur kasar dan diri itu
bagai tidak selesa dengan persoalan yang ku lontarkan! Dan dalam kekasaran itu
aku menangkap sebaris ayat yang menggentarkan jiwa ini dengan tiba-tiba.
Jantung ini berdegup kencang tidak semena-mena! Jari jemari pula mnenggeletar
dengan tiba-tiba!
“Cik nak apa dengan ibu saya? Cik ni siapa? Apa kaitan cik dengan
keluarga kami?” curiga pemuda itu terbias melalui patah bicaranya!
Aku tundukkan wajah, mencerna segala ayat-ayat yang terlafaz
dari ulas bibir itu. Jika Zaharah ibunya. Pasti pemuda ini adalah adik kandung ku!
Tapi siapa? Zairil... Zakuan atau Zairi? Yang mana satu? Ya Tuhan.... tunjukkan
aku sesuatu yang benar!
“Kalau cik tak nak bercakap, tak pe la... saya balik dulu!
Saya sibuk ni,” gumamnya sambil melarikan jari jemari ke segugus kunci
motosikal. Perlahan-lahan anak kunci dimasukkan ke dalam ruangnya lalu dipusing
seketika. Sesudah itu, butang starter ditekan berkali.
Melihat akan pemuda yang tergesa-gesa mahu meninggalkan aku
ketika itu, aku juga bingkas mendekatinya. Lengan itu ku sentuh perlahan namun
apa yang aku dapat hanyalah sebuah tepisan kasar dari empunya diri.
“Eh, apa hal cik pegang-pegang saya ni? Kita bukan muhrim!
Ini kampung bukan bandar!” peringat lelaki itu membuatkan aku tersentak. Ya
adik kandung ku ini masih tidak mengetahui siapa aku pada mereka. Mereka juga
mungkin tidak langsung mengingati aku ketika ini. Lengannya ku sentuh sekali
lagi!
“Cik nak apa sebenarnya? Jangan ganggu saya, lepaskan tangan
saya!” amarah itu semakin jelas terpeta di air mukanya. Marah benar diri itu
terhadap ku! Dia masih adik ku dan aku hanya mahu tahu siapa dia di antara
ketiga-tigannya.
“Zairil, Zakuan atau Zakir?” persoal ku inginkan sebuah
kepastian. Sekali lagi wajah itu berkerut seribu. Mungkin tidak menyangka
soalan itu yang ku hamburkan.
“Cik ni siapa? Saya tak kenal cik, jadi lepaskan saya! Saya
nak balik!” lengan ku ditepis dan dengan segera enjin motosikal dihidupkan lalu
dipecut meninggalkan aku di sini. Tanpa berlengah, aku juga bergegas mendekati
AUDI yang ku biarkan terpasang enjinnya. Dengan pantas tubuh ku boloskan ke
dalam perut kereta dan pemuda itu ku jejaki kemana perginya!
****
“Saya tak kenal siapa cik! Jadi kenapa cik ikut saya sampai
ke sini?” omel pemuda itu buat aku terasa hati. Namun aku masih perlukan dia,
aku pasti dia adalah salah seorangnya daripada empat orang adik ku. Ya aku
yakin, cuma aku tidak pasti siapakah dia diantara adik-adik lelaki ku yang lain.
“Zakuan, apasal bising-bising ni?” satu suara menegur dari
dalam rumah. Aku masih menanti, melihat siapa pula di dalam sana.
Sesaat kemudian, lelaki yang bersuara itu muncul dihadapan
mata. Kali ini aku berdiri tegak berhadapan tubuh seorang pemuda yang mempunyai
iras wajah persis pemuda yang bernama Zakuan,
seperti yang disapa oleh lelaki ini. Mungkinkah di hadapan ku kini adalah Zakir?
Adik ketiga ku? Atau Zairil kembar ku? Yang mana satu, aku sendiri tidak pasti
setelah bertahun aku tinggalkan mereka di sini.
“Awak siapa?” sekali lagi hati ku dipagut pilu. Diri itu juga
tidak mengenali siapa aku! Wajah ku tundukkan cuba menutup duka yang mula
merenggut ketenangan ini. Rambut yang lepas bebas ku bawa ke hadapan bahu, dan
ku elus perlahan.
“Abang Ril, sini sekejap! Cuba tengok ni, ada orang cari
ibu!” Zakuan menjenguk kebelakang rumah. Memanggil seseorang!
Aku panggung wajah buat seketika. Sebaris perkataan yang
bisa menggoyah hati dan perasaan ku kembali terluah dari pinggir bibir Zakuan.
“Siapa?” pendek namun suara itu bagai dekat dengan hati ini.
“Entah la... orang KL kut!” terang Zakuan lagi. Zakir di
muka pintu hanya diam memerhati,
mungkinkah diri itu sedang cuba mengingati diri ini? Aku biaskan senyuman
hambar untuknya, namun senyuman ini tidak berbalas bahkan diri itu segera
berlalu meninggalkan aku dihalaman rumah dibawah terik matahari hingga
membuatkan Zakuan terpinga-pinga seketika.
“Abang Kir... kenapa ni? Abang Kir kenal ke dengan cik ni?”
Zakuan juga berlalu meniti anak-anak tangga masuk ke dalam rumah untuk menuntut
penjelasan dari Zakir. Aku tundukkan wajah ini sekali lagi, begitu berat salah
ini hingga mereka tidak mengalu-alukan kedatangan aku di sini.
Aku masih lagi dibiarkan berpayung dibawah sinar mentari
yang hangat membakar kulit, namun suara Zakuan di dalam rumah sesekali
melenyapkan suasana sunyi dan ketengan yang baru aku rasakan. Jauh dari hirup pikuk kota besar Kuala Lumpur!
“Abang Kir, siapa kakak tu? Abang kenal ke?” persoalan demi
persoalan dilontar oleh Zakuan hanya semata-mata menginginkan sebuah penjelasan
siapakah aku pada mereka.
Demi mendengar pertanyaan Zakuan terhadap zakir, aku larikan
wajah ke arah lain! Mengapa kedatangan dan kepulangan ku ini disambut dingin
oleh Zakir? Nafas ku hela perlahan dan
satu keluhan ku lepas panjang.
Sesekali mata ini menancap batang tubuh seseorang yang baru
pulang dari sawah. Keadaan yang cukup kotor dan menjijikkan pada pandangan ku. Sekali
lagi aku menghela nafas, terkenang akan keadaan yang pernah dan terpaksa aku
lalui suatu ketika dahulu. Ah aku tidak mahu mengingati lagi segala kenangan
silam! Aku jijik dengan masa silam dahulu!
“Ya cik cari siapa?” tubuh yang sedang terbongkok meletakkan
perlatan mengerjakan sawah itu ku perhatikan lama. Diri itu masih membelakangi
aku, dan ketika ini dirinya sedang membersihkan kaki menggunakan air hujan yang
bertakung di dalam tempayan.
“Saya cari Makcik Zaharah!” aku luahkan keinginan dan rasa
hati ini. Bergetar jiwa dan berdetik hati ini melontar sebaris nama wanita yang
cukup tabah membesarkan kami adik beradik.
“Ada apa?” suara itu perlahan menutur bicara! Wajah itu
dipalingkan ke arah ku dan senyuman yang terukir mati dengan sendirinya! Suasana
sunyi dan senyap tiada berbicara, yang kedengaran hanyalah kicau burung yang
riuh menyambut kedatangan aku ke kampung itu. Sebuah perkampungan petani! Lama bertentang
mata, akhirnya lelaki itu membuang pandang ke arah lain.
“Zairil...” aku meneka dan tanpa sedar tubir mata ini berat
dengan tiba-tiba. Wajah itu tetap tidak berubah, yang berbeza hanyalah keadaan
itu. Penuh lumpur dan selut yang melekit!
Buat seketika, keadaan kembali sunyi... Zairil menundukkan
wajahnya bagai tidak sudi lagi memerhatikan aku yang tegak berdiri di hadapan
matanya.
“Cik Zara ke sini untuk apa?” akhirnya sebaris ayat menyapa
jua pendengaran ku. Aku hampiri tubuh itu, namun dia berginjak menjauh. Dan
kali ini aku tahu, aku tidak diterima oleh mereka setelah 12 tahun aku
tinggalkan kesemuanya.
“Akak nak jumpa mak, mak
mana dik?” aku luahkan rasa hati yang sarat kerinduan pada seraut wajah tua
itu. Zairil menggeleng kepalanya, senyuman kecil diukir seketika dan wajah itu
masih lagi tertunduk menekur tanah yang bersih tanpa sebarang rumput liar.
“Untuk apa Cik Zara cari emak saya?” pendek lantunan ayat
yang dilontar namun cukup menghiris sekeping hati milikku.
“Akak rindukan mak,” gumam ku perlahan.
“Rindu? Setelah 12 tahun cik Zara pergi?” kali ini Zairil
mempersoalkan kepergian ku yang terlalu lama.
“Tapi akak dah balik, akak dah capai cita-cita akak! Akak
dah ada semuanya, dan kita tak perlu hidup miskin lagi Ril. Akak dah janji akan
ubah nasib keluarga kita dan bahagiakan hidup keluarga kita! Dan sekarang akak dah
datang, akan nak bawa mak dan adik-adik akak ke KL.” Gumam ku penuh bersemangat
mahu membawa dan membela nasib mereka.
“Cik Zara ingat dengan kemewahan dan harta benda boleh beri
kebahagian kepada semua orang?” kata-kata ku tidak bersambut bahkan aku ditebak
dengan sebuah persoalan itu.
Aku kematian kata-kata, bagaimana untuk aku terang dan
jelaskan niat di hati ini. Aku kembali untuk membawa mereka jauh dari
kemiskinan ini, bukan membiarkan kemiskinan ini menyekat dan merantai seluruh
kehidupan kami sekeluarga!
“Cik Zara baliklah, orang yang cik Zara cari dah tak ada di sini.
Saya sibuk, ada kerja nak buat!” tutur Zairil sambil menggapai kembali cangkul
dan sabit. Perlahan-lahan langkah kaki diatur menuju ke batas sawah berdekatan
rumah. Aku bingkas mengekori tubuh itu, walau tidak rela namun aku terpaksa jua
menurut!
“Ril... akak datang nak jumpa mak! Mak mana?” pertanyaan ku
dibiarkan sepi, Zairil masih lagi terus-terusan melangkah tanpa berpaling. Demi
menuntut sebuah kepastian, aku kuatkan semangat meredah batas kecil di
tengah-tengah sawah yang sedang menguning. Burung kelicap berterbangan di sana
sini, sarang tempua pula bergantungan di pohon nyiur yang lembut
melambai-lambai. Suasana yang cukup ku rindukan saban hari, namun tidak
sesekali ku akui di dalam hati ini. Egokah aku?
“Ril, tunggulah sekejap! Akak nak jumpa mak, mak mana dik?”
persoal ku sambil terus melangkah meredah rumput-rumput setinggi paras betis.
Sesekali lecak dan selut dari tanah bendang melekat ke kasut, dan ku akui keadaan
yang terpaksa ku tempuh saat ini cukup menjengkelkan! Aku jelak dengan semua
ini!
“Baliklah cik Zara, dah tak ada apa-apa untuk cik Zara di
sini! Baliklah, jangan ganggu kami lagi. Kami dah cukup bahagia dan jangan
sesekali rosakkan kebahagian kami! Jangan hiris hati kami lagi, jangan tambah
luka dekat hati kami. Kami dah lupakan cik Zara sepertimana cik Zara lupakan
kami!” Zairil hamburkan kata-katanya. Aku yang mahu meneruskan langkah, kaku
tidak mampu lagu berganjak. Luka dan kepedihan apa yang ku berikan kepada
mereka? Mengapa aku tidak lagi diperlukan dan kenapa aku dihalau pergi. Aku
mahukan penjelasan!
“Ril, akak nak jumpa mak! Akak nak jumpa mak, akak nak
bagitahu yang akak dah berjaya! Akak nak buktikan pada mak, segala kata-kata
mak dulu salah! Akak dah berjaya sekarang,” aku teruskan langkah mengekori
Zairil dan sesudah ayat itu ku hamburkan Zairil mematikan langkahnya. Tubuh itu
dipusingkan dan aku dipandang tajam!
“Memang, ya memang kata-kata mak salah! Semua nasihat dan
pesan mak pada cik Zara salah! Saya harap Cik Zara puas hati? Sekarang Cik Zara
boleh balik, dan tinggalkan kami!” tegas bicara Zairil, namun aku masih belum
mahu mengalah selagi tidak ku temui insan yang ingin ku temui.
“Akak nak jumpa mak, dan akak nak cakap sendiri pada mak! Akak
dah berjaya walaupun mak melarang akak pergi! Tengok apa yang akak ada? Akak
ada kerjaya, ada harta dan ada pangkat! Semuanya atas usaha akak sendiri,
kalaulah akak ikut cakap mak dulu! Semua ni pasti hanya mimpi semata-mata,
tegok diri Ril sendiri! Kotor, berlemus dengan selut dan lumpur! Akak
tak nak, sampai bila-bila kita tersepit dalam kemiskinan! Akak tak nak!”
lantang aku hamburkan bicara. Biar Zairil sedar, dengan menurut telunjuk ibu ku
dahulu diri itu telah dijauhkan dari sebuah kesenangan. Pasti aku juga seperti
dirinya, andai aku juga buta dan hanya mengikut telunjuk ibu ku dahulu!
“Cukup! Cukup Kak Zara!” aku terpempam saat satu suara
memintas pendengaran ini. Lambat-lambat aku kalihkan pandangan ke arah
belakang. Zakir sedang memandang ku tajam dan sarat dengan kebencian!
“Kalau tak kerana abang Ril yang sanggup kotorkan tangan dan
tubuh dia dengan selut dan lumpur ni! Kami, kami ni...” Zakir genggam jari
jemarinya lalu dibawa rapat ke dada.
“Kami ni takkan mampu hidup lagi! kalau bukan kerana
bodohnya abang Ril mengikut telunjuk emak dulu, memang kami akan mati kebuluran!
Memang kami takkan habiskan sekolah! Dan memang kami.....” Zakir hela nafasnya
perlahan. Dada itu kelihatan berombak menahan sebak dan amarah yang datang
menerpa ke hati. Wajah dipalingkan ke sisi, buat seketika suasana kembali sunyi
hanya kicau burung yang kedengaran.
Aku perhatikan Zairil ketika ini, kembar ku yang sama-sama
mendapat tawaran belajar ke menara gading. Ya hanya aku seorang yang pergi
tanpa restu, diri itu hanya menurut kata ibu ku agar tidak kemana-mana, bekerja
dan menyara keluarga! Itu sahaja yang ibu mampu bayangkan! Tidak terlintas
langsung di hati ibu tentang pentingnya pendidikan yang mampu mengubah kehidupan
miskin kami ketika itu. Aku dilarang pergi namun kedegilan ini tetap mendahului
segalanya.
“Kir.... cukuplah! Jangan ungkit lagi hal lama. Abang ikhlas
buat semua ni, abang tak minta apa-apa!” perlahan nada suara Zairil berbicara
dan kali ini aku lihat dia kembali menegakkan tubuhnya mahu melangkah menyusuri
batas sawah.
“Kir nak sedarkan Kak Zara! Nak sedarkan dia yang sombong
dan berlagak ni bang!” gumam Zakir masih menahan rasa yang menyerbu ke hati.
“Apa yang Kir nak sedarkan pada akak? Apa dia?” persoal ku garang tidak mahu
mengalah.
“Kalau bukan kerana abang Ril, Kir dan Zakuan takkan sampai
ke universiti! Kak Zurina juga takkan jadi doktor dan kerana kebodohan abang
Kir juga, dia korbankan dirinya untuk
kami. Untuk kami, bukan macam Kak Zara pentingkan diri! Menghilang
bertahun-tahun dan kembali untuk beri bahagia!
Bahagia konon!
Bahagia apa yang akak nak bagi kalau emak pun dah lama
pergi! Bahagia apa yang akak nak bagi pada kami! Cakaplah!” herdik Zakir
membuatkan aku terpempam. Air mata ini melurut jatuh dengan tiba-tiba!
“Cakaplah kak! Bahagia apa yang akak nak bagi pada kami!
Akak dah rampas satu-satunya kebahagian kami!” lantang bicara Zakir dalam sebak
dan lirih yang mula memagut tangkai hati.
“Sudah la tu... jangan bergaduh dekat sini!” Zairil
bersuara, dan perlahan-lahan cangkul yang dijinjing di bahu, dijatuhkan ke
tanah.
“Kir nak sedarkan perempuan yang tak sedar diri ni bang!
Kerana dia, mak pergi tinggalkan kita! Abang tengok betapa seksanya mak
rindukan dia, tapi dia ada hati? Ada perasaan nak balik jenguk mak? Jenguk kita
waktu tu? Tak ada kan! Jadi kami tak perlukan Kak Zara! Sila pergi dari sini!”
usir Zakir memalingkan wajahnya dari menancap seraut wajah ini. Aku diam seribu
bahasa, hati ini berdegup kencang! Benarkah dengan apa yang ku dengari ketika
ini? Perlahan-lahan wajah ku panggung menentang pandangan Zairil.
“Zairil, betul ke mak dah tak ada?” aku lontarkan bicara
menagih sebuah kepastian dari kembar yang berkongsi satu rahim. Dan hati ini
luluh dengan sendirinya tatkala anggukan Zairil menikam pandangan mata.
“Tak, akak tak percaya! Akak tak percaya!” jerit ku sambil
jatuh melutut ke batas kecil ini.
“Akak tak percaya! Tak percaya!” aku lontarkan kata hati.
Sungguh aku tidak mahu mempercayai perkhabaran ini. Ah semuanya palsu! Semuanya
bohong! Aku tak percaya! Wajah yang basah dengan air mata ku raup berkali,
rambut yang panjang mengurai ku ramas kasar. Aku tidak mahu mempercayai berita
dan patah bicara yang diucapkan oleh Zakir! Sungguh aku tidak mahu
mempercayainya!
“Cakap semua ni bohong! Bohong!” jerit ku dalam esak tangis.
Wajah ku tundukkan menancap tanah sawah yang berselut! Perlahan-lahan tanah itu
ku genggam bersama kepedihan yang sarat dihati!
Zairil yang jauh berdiri di sana mula menapak menghampiri
tubuh ku, dan langkah dihentikan saat tubuh itu sudah berada dekat dengan diri
ini! Ketika ini aku mendegar keluhan kecil yang menyapa pendengaran. Dia
tundukkan tubuhnya lalu kedua bahu ku disentuh,
dan dibawa tubuh ku kembali tegak berdiri.
“Cakap dan beritahu akak yang semua ni bohong! Cakap dan
tolong katakan semua ni tak betul...” rayu ku perlahan memohon simpati Zairil
agar dia sudi berterus terang dan menyatakan hal yang sebenarnya bukan
pembohongan ini yang ingin ku dengar! Wajah yang basah dengan air mata ku seka
dengan belakang tangan, masih menunggu Zairil berbicara!
“Sudah la kak, akak balik la... tak ada apa lagi untuk akak
di sini! Kami tetap macam ni, dan kami bahagia dengan apa yang kami ada. Akak
balik ya,” lembut Zairil memujuk namun aku yang dingin dan keras hati ini tidak
sedikit pun terpujuk!
“Akak nak jumpa mak,” tutur ku dalam esak tangis. Zairil
palingkan wajahnya ke arah lain, ada rasa yang cuba disembunyikan dari
pandangan mata ku.
“Akak nak jumpa mak, bawa akak jumpa mak! Akak nak beritahu
mak yang akak dah berjaya!” gumam ku mengharapkan pengertian Zairil dan
perlahan-lahan kepala dijatuhkan, mengangguk lemah menurut kehendak ku ketika
ini.
“Baiklah, Ril bawa akak jumpa mak!” aku lepaskan nafas yang
panjang, perasaan sedih ini kembali reda namun pandangan Zakir masih seperti
tadi. Sarat dengan kebencian teramat!
***
“Kita nak kemana ni Ril?” persoal ku tatkala kereta yang
dipandu Zairil sudah memasuku kawasan perkuburan. Namun pertanyaan ini hanya
dibiarkan sepi tidak berbalas. Adik lelaki ku masih tenang memandu, sedikit pun
tidak menghiraukan aku yang dipagut keresahan.
“Kita nak lawat kubur arwah ayah kan? Emak pun ada dekat
sana ya?” tebak ku lagi. Mungkin ibu ku sedang menziarahi pusara arwah ayah,
dan kali ini Zairil memandang ku sekilas. Ada senyuman hambar yang terukir di
pinggir bibirnya.
“Turunlah Kak Zara,” pelawa Zairil setelah kereta Nissan
Sunny jenis lama itu dihentikan di bahu jalan. Perlahan-lahan aku menurut dan
langkah yang sudah jauh ke hadapan ku ekori perlahan. Zakir dan Zakuan juga
ada, mereka datang menaiki motosikal milik arwah ayah ku dahulu.
“Mana satu kubur ayah?” persoal ku perlahan. Terlalu lama aku tinggalkan semuanya hingga
pusara ayah yang ku cintai juga sudah terhapus dari ingatan!
Zairil hampiri salah satu kubur yang bernisan putih, diusap
perlahan dan seketika itu aku lihat jari jemarinya dilarikan di tanah yang mula
ditumbuhi rumput-rumput kecil yang baru tumbuh, dan pantas jarinya mencabut
pohon kecil itu. Namun keadaan pusara dihadapan ku masih elok terjaga, tiada
rumput liar bahkan bersih dari daun-daun kering pohon kemboja yang subur
berbunga lebat!
“Akak nak jumpa mak kan?” pertanyaan Zairil ku anggukan
sahaja. Zakir dan Zakuan datang mendekati, turut duduk bertentangan dengan aku
dan Zairil. Wajah keduanya murung dan keruh, hanya aku yang kelihatan teruja
untuk bertemu emak. Namun kelibatnya masih tidak kelihatan!
“Mak mana Ril? Akak nak jumpa mak!” ucap ku dalam rasa yang
tidak sabar lagi mahu bertemu wanita itu. Zairil tundukkan wajahnya, tidak
langsung memerhatikan aku saat ini! Zakir juga begitu, hanya Zakuan yang masih
tenang memerhatikan aku yang comot dengan kesan maskara akibat air mata yang
gugur merembes tadi.
“Mak mana dik?” aku persoalkan sebaris ayat itu dihadapan
Zakuan. Perlahan-lahan Zakuan menundukkan wajahnya menancap pusara di hadapan
mata ku lama. Dan seketika kemudian dia kalihkan semula wajahnya menancap wajah
ku. Aku perhatikan dirinya penuh tanda
tanya, mungkinkah emak sudah pergi dulu? Dan perlahan-lahan dia mengangguk
mengiyakan kata hati ini.
“Tak mungkin!” aku bingkas bangun dan berdiri. Serentak itu
mereka yang masih duduk di tepi pusara bernisan putih ini, mendongak
memerhatikan seraut wajah ku yang sedang keliru ketika ini.
“Kak... ini pusara mak! Pusara mak kita,” gumam Zairil
perlahan menyusun bicara!
“Diam! Tak mungkin! Tak mungkin!” aku tekup kedua telinga
ini dari terus terusan mendengar kata-kata mereka.
“Tak mungkin! Emak belum mati!” aku lepaskan jeritan ini
bila Zairil mendekati aku dan cuba meleraikan pegangan ini.
“Kak Zara, bertenang kak! Sedih mak tengok akak macam ni!”
pujuk Zairil mendapatkan aku. Segera aku dibawa menjauhi kawasana perkuburan
ini.
“Bohong, emak belum mati! Belum mati,” pekik ku kuat tanpa
menghiraukan keadaan.
“Akak mengucap kak !mengucap!” pujuk Zakir pula.
“Tak, emak belum mati!” pekik ku lagi. Air mata dan esak
tangis ini ku biarkan jatuh berlinang. Sungguh aku tidak mahu mempercayai
kenyataan yang terbentang di hadapan mata ku ketika ini. Mana mungkin emak
pergi begitu sahaja!
“Mak belum mati... belum mati....” dari lantang bersuara
nada suara ini bertukar kendur dan sayu. Aku tahu satu-satunya ibu yang aku ada
masih belum mati. Masih ada bersama aku!
“Kita balik dulu ya,” dengan pantas tubuh ku yang tidak
bermaya dibawa masuk ke dalam kereta.
***
Sudah seminggu aku di sini, di sebuah perkampungan yang
cukup membuatkan aku kekesalan. Kesal kerana kebodohan diri, menghilangkan diri
tanpa khabar berita, menjauhi keluarga sendiri! Sungguh aku kesal dengan
perbuatan silam yang menjadikan aku anak derhaka.
Derhaka kerana ingkar pada nasihat dan kata-katanya, tanpa
sedar air mata ini kembali merembes. Sungguh aku kesal dengan perbuatan lalu,
andai diberi kesempatan pasti akan ku pohon restu itu dan pasti akan ku turut
kata-katanya!
Mata ku pejam erat, wajah ku tekup dengan tapak tangan!
Pulang ku ke sini hanyalah untuk mengkhabarkan kejayaan yang telah ku peroleh,
membuktikan kata-kata ibu ku dahulu hanyalah satu kesilapan! Namun setelah apa
yang ku inginkan tercapai, aku kehilangan sebuah kasih sayang seorang ibu.
“Kak, Ril nak sampaikan pesanan arwah emak pada akak!”
Zairil datang menghampiri aku yang termangu di anjung rumah papan ini. Rumah
papan ehsan jiran tetangga kami! Kasihannya adik-adik ku membesar tanpa kasih
sayang dan tanpa keupayaan!
“Emak dah maafkan akak, mak dah restu segala perbuatan akak!
Mak tak marahkan akak, tapi mak bangga dengan akak!” tutur Zairil perlahan.
“Tapi akak lupakan keluarga bertahun-tahun Ril, sampai mak
meninggal pun akak tak tahu!” ucap ku lirih dalam kesal yang bukan sedikit.
“Masa dah berlalu kak, Ril pernah cari akak tapi tak jumpa!
Hanya khabar dari orang kampung yang pernah nampak akak di KL je yang kami
dengar. Tapi mak tak marah, mak pesan supaya akak jadi anak yang solehan!
Mendoakan arwah mak tenang di sana. Itu je permintaan mak pada akak!” ucap
Zairil masih tenang menyusun bicara. Sedikit sebanyak aku kagum dengan
ketabahan Zairil
membesarkan ketiga-tiga
adik ku yang lain, sedangkan aku anak sulung keluarga ini melepaskan
tanggungjawab itu hanya dibahu Zairil seorang.
“Maafkan akak Ril, maafkan akak!” tutur ku meraup wajah
menghapus kedukaan.
“Sudah la kak, mak mesti suka tengok kita kembali bersatu! Lupakan
hal ni, kita bina hidup baru!” Pujuk Zairil menyentuh bahu ku perlahan.
“Kita mulakan hidup baru ya kak!” aku hanya mampu
mengangguk. Syukur kerana mereka menerima diriku kembali! Dan ketika ini Zakir
dan Zakuan juga datang menghampiri aku!
“Maafkan Zakir kerana kurang ajar dengan akak!”
“ Dan maafkan adik-adik akak yang lain! Sebab kami langsung
tak kenal siapa akak!” sapa Zakuan yang ku tinggalkan ketika usianya mencecah lima
tahun. Begitu juga Zurina yang masih lagi dibangku sekolah rendah ketika aku
nekad larikan diri ke kota Kuala Lumpur demi menyambung pengajian ke menara
gading.
“Semuanya salah akak! Maafkan akak!” pohon ku dalam esak
tangis yang tidak mampu lagi aku sembunyikan. Mereka menerima diri ku kembali
walau aku sudah melupakan kesemuanya bertahun lamanya!
Pengajaran cerita:
Pohonlah restu dari ibu bapa kerana restu dan doa mereka
akan mengiringi setiap langkah dan kejayaan seorang anak.
P?S: KISAH SEBENAR YANG TELAH DIGARAP SEMULA
Dan sekeras serta sebenci mana pun hati seorang ibu, kasih
kepada anak tetap terutama. Tidak sanggup melihat anak diheret kepayahan dan
kedukaan dalam menempuh liku hidup. Begitu jugalah Zaharah yang pada mulanya
tidak merestu, akhirnya kasih mengatasi segalanya. Zara direstui, dan langkah
anak sulungnya diiringi dengan doa dari kejauhan hingga berjaya mengecap
kejayaan yang diimpikan.
Comments
pelajaranlah yg memisahkan kita antara hidup dalam keperitan seumur hidup atau berjaya melakarkan kehidupan yg berjaya dari kemelut kemiskinan..kan..
Hati akak sedih bila..adiknya menggalas tanggung jawab membesarkan adik adiknya yg lain dan akak rasa tindakan kakaknya mmg melampaui batas.. kan..selama 12 tahun meninggalkan keluarga tanpa menoleh dan kembali kepada keluarganya mmg zalimkan..