JIKA MAWAR PUDAR WARNA 4
“Baiklah, Mira setuju kalau itu yang ibu mahukan. Tapi Mira
ada syarat....” Amira telan liurnya seketika. Hembusan nafas kedengaran
perlahan sambil anak mata bewarna coklat itu masih tidak lari dari memerhatikan
keduanya. Firdaus dan Salmah masih senyap membisu menanti patah bicara yang
akan dilontar keluar oleh kedua ulas bibir merah merekah kepunyaan Amira.
“Syaratnya...” Amira hembus nafasnya sedikit kuat. Mencari
keberanian untuk meneruskan patah bicara lewat petang itu.
“Syaratnya apa Amira?” potong Salmah ingin segera mengetahui
syarat yang ingin diletakkan oleh Amira bagi memastikan hubungan Taufiq dan
Adila berjalan seperti biasa.
“Syaratnya mudah sahaja, Amira mahu Taufiq lupakan Adila untuk
tempoh setahun!” tegas Amira menyusun kata. Dia tahu pasti Taufiq akan kalah
dengan syarat yang baru sahaja diletakkan ketika ini. Senyuman kemenangan
terukir di bibir, manakala Salmah pula hanya diam membisu. Firdaus pula senyap
tidak terkata!
“Kalau syarat tak dipatuhi, Amira berhak tentukan jalan
hidup Amira dan Amira mahu Taufiq bebaskan Amira dan lepaskan jawatan yang
sedang disandang ketika ini. Ini permintaan Amira sebagai memenuhi kehendak
Taufiq yang tetap mahu peristerikan Adila.” Gumam Amira bersama senyuman yang
mekar. Pasti Taufiq akan mengalah lalu melepaskan dirinya kerana dia tahu
Taufiq pasti mahu membina hidup bersama Adila buah hatinya itu.
“Aku takkan lepaskan kau, aku sahut cabaran kau Amira!”
celah Taufiq yang entah dari mana munculnya. Amira menoleh ke muka pintu,
lelaki yang hanya mengenakan jeans dan T-shirt bewarna merah hati itu sedang
tegak berdiri menghadap dirinya.
“Terlalu banyak syarat yang aku kena patuhi dan ikuti
semata-mata menerima jawatan yang ayah kau berikan pada aku, Amira. Syarat yang
mudah ni, tak mungkin boleh halang aku dari menerajui Kristal Property. Dan
syarat aku pada keluarga kau juga harus kau patuhi, kita sama-sama sudah
sepakat dan setuju!”gumam Taufiq melangkah naik ke atas rumah. Wajah Amira yang
bertukar serabut itu di pandang sekilas.
“Syarat? Syarat apa?” soal Amira ingin tahu. Berkerut
dahinya tatkala dia juga dikenakan syarat dalam perjanjian yang dia sendiri
tidak ketahui isi kandungannya. Pasti semua ini datangnya dari mama dan abah
serta ahli keluarganya yang lain. Mereka mempergunakan aku sebagai galang
gantinya!
“Salah satu syarat yang termaktub dalam perjanjian kita...
kau dilarang sama sekali tinggal bersama ahli keluarga kau tanpa persetujuan
aku.” Taufiq ketawa kecil, terasa lucu dengan perkahwinan yang pelbagai syarat
ini.
“Dan apa yang pasti, aku akan pastikan perkahwinan ini
menjangkau sekurang-kurangnya setahun. Jika dalam tempoh setahun ini, kita berpisah
disebabkan korang ketiga. Bermakna semuanya yang tertulis dalam perjanjian tersebut
akan menjadi milik salah seorang dari kita. ” Ucap Taufiq lagi. Lega dengan
syarat yang menyebelahi dirinya, sekurang-kurangnya dalam tempoh perkahwinan
ini mereka terikat untuk tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana
individu lain sebagai menjaga reputasi dan nama baik keluarga masing-masing.
“Astaghfirullahalla’zim,” Firdaus dan Salmah beristighfar
tatkala mendengar perjanjian yang sedang terlafaz ketika ini.
“Fiq, ibu tak pernah ajar Taufiq sampai macam ni sekali.
Taufiq permainkan agama nak, sedarlah!” tegur Salmah berharap Taufiq sedar akan
ke khilafan dirinya.
“Bu, ingat mudah sangat ke Taufiq terima perempuan ni bu?
Dia bukan perempuan baik bu, tapi Fiq terpaksa terima dia... terima bersyarat!” terang Taufiq mengendurkan
sedikit nada suara yang pada mulanya kedengaran keras bergema di ruang tengah
rumah papan peris pondok buruk ini.
“Abang, perkahwinan tu bukan sesuatu yang boleh dibuat main.
Tak baik bang, ini dah macam permainkan agama!” protes Firdaus keras.
“Kalau tak baik, Fiq perbetulkan dia. Bukan ambil kesempatan
nak. Sekarang Fiq dah terima Amira dan Fiq kata nak kahwin dengan Adila. Yang
mana satu ni Fiq? Jangan buat ibu serabut!” marah Salmah geram dengan sikap
Taufiq yang acuh tidak acuh dengan situasi yang sedang dilalui anaknya ketika
ini. Amira yang sedang bersandar di tepi dinding hanya menjadi pemerhati
ketiga-tiga beranak itu meluahkan ketidak puasan hati.
“Fiq akan tetap kahwin dengan Adila,” tegas Taufiq menyusun
bicara.
“Kenapa?” Firdaus menyoal ingin tahu.
“Sebab abang dah lama sayangkan Adila!” jawab Taufiq yakin
dengan kata hati.
“Sayang? Kalau sayang kenapa abang tak kahwin dengan Adila
dari awal lagi? Abang permainkan perasaan anak dara orang tahu tak!” bentak
Firdaus kecewa dengan tindakan Taufiq.
“Sampai masanya abang akan kahwin dengan Adila, abang dah janji!”
tutur Taufiq tanpa rasa bersalah.
“YA Allah, apalah nak jadi dengan anak-anak aku ni.” Salmah
bangkit lalu beredar ke dapur. Serabut sungguh kepalanya waktu ini, dia tidak
faham dengan perkahwinan yang berlatarkan syarat dari kedua belah pihak. Perkahwinan
apakah ini jika kedua-duanya meletakkan syarat yang pelbagai?
Buat seketika wajah Dato Amri dan Datin Hamidah terlayar di
ruang mata, kedua-duanya cukup baik dan tampak seperti keluarga yang berpegang
teguh pada agama namun disebalik kebahagiaan yang terpancar, mereka diuji
dengan sikap anak gadisnya yang liar dan sukar dikawal iaitu Amira.
Amira pernah suatu ketika dahulu ditemui ketika menantunya
ini masih lagi kanak-kanak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Hubungan baik dan
jasa serta budi keluarga itu dalam membela kebajikannya suatu ketika dahulu
dituntut dengan sebuah perkahwinan yang melibatkan anak lelaki dan menantunya
kini.
“Ibu, Fir tak faham..apa hubungan keluarga kita dengan
keluarga isteri abang?” soal Firdaus turut mengekori ibunya ke dapur.
“Fir tak perlu tahu apa-apa, ibu tak nak cerita hal lama!”
gumam Salmah berharap Firdaus tidak memaksa dia membuka perihal sejarah silam
yang sudah disimpul kemas di dalam lipatan sejarah keluarga itu.
“Tolonglah ibu, cerita semuanya pad Fir!” pujuk Firdaus cuba
memancing minat ibunya agar membuka bicara menerangkan sesuatu yang masih lagi
kabur pada perkiraannya.
“Fir..” panggil Salmah namun dicantas oleh bicara Firdaus
yang benar-benar berminat ingin tahu.
“Bu.. Fir dah besar bu! Ceritalah pada Fir,” pujuk Firdaus
lagi. Salmah terdiam seketika dan kemudian keluhan kecil kedengaran perlahan.
“Fir.. sebenarnya keluarga kita dengan Amira tu dah lama
kenal. Mereka banyak bantu kita Fir, sejak abah dah tak ada... rumah kita kena
rampas dan macam-macam lagi. Mereka yang bela nasib kita Fir, tapi ibu tak
sangka yang jasa dan budi mereka perlu dibalas dengan perkahwinan abang. Dan
ibu tak faham kenapa mudah benar abang Fir terima Amira, ibu tak faham Fir.”
Gumam Salmah lalu duduk di bangku kecil di sudut hujung dapur yang sebahagian
tiangnya tegak berdiri di dalam air laut.
“Maksud ibu, keluarga kita berhutang budi dengan keluarga
Dato Amri?” soal Firdaus meminta kepastian sekali lagi.
“Ya Fir, perbelanjaan abang ke London dan wang saku Fir di
Jordan dulu semuanya ditanggung Dato Amri. Ibu tak mampu besarkan anak-anak ibu
sendirian dan ibu tahu ibu tak mampu hantar Fir dan abang ke luar negara tanpa
bantuan Dato Amri.
Lagipun sejak arwah abah dah tak ada, keluarga Dato Amri
yang banyak bela maruah ibu dan anak-anak ibu. Kebajikan kita dijaga selepas
arwah abah meninggal.” Ucap Salmah lagi.
“Fir cuma tahu yang arwah abah meninggal disebabkan
kemalangan bot nelayan. Jadi apa kaitan kemalangan itu dengan keluarga Dato
Amri?” pertanyaan Firdaus membuatkan Salmah bertambah sebak untuk membuka
bicara. Tambahan pula, ingatan terhadap arwah suaminya kembali terlayar di
ruang minda. Kerinduan juga menyapa jauh ke dasar hati.
“Arwah abah Fir dan Dato Amri berkawan baik dan dalam
kemalangan tu hanya Dato Amri yang terselamat. Selebihnya lemas di dalam laut,
sebagai simpati pada keluarga sahabat baiknya. Dato Amri setuju untuk menjaga
kebajikan kita sekeluarga!
Dan tanpa pengetahuan ibu, Fiq berkahwin pula dengan Amira.
Ibu tak faham kenapa Taufiq sanggup membelakangkan ibu dalam urusan
perkahwinan. Mujur terbongkar, jika tidak sampai ke sudah ibu tak tahu yang
anak ibu sudah berkahwin. Patutlah Pak Seman ke Kuala Lumpur minggu lepas,
rupanya hadir ke majlis anak saudara sendiri. Dia pun sama menipu ibu!” gumam Salmah
kesal dengan sikap Taufiq dan abang kandungnya Pak Seman yang berkompot dengan
Taufiq merahsiakan perkahwinan itu.
“Sudahlah bu, tak baik kesalkan apa yang sudah berlaku.
Mesti ada hikmahnya bu,” pujuk Firdaus sambil menggosok lembut bahu ibunya yang
keresahan.
“Lagi satu, kita perlu selamatkan hubungan abang dengan
Amira bu. Amira dah jadi tanggungjawab abang dan kita kena bantu dia kalau
benar-benar dia nak berubah!” ucap Firdaus membuatkan Salmah dia membisu.
“Kenapa bu?” soal Firdaus curiga dengan kebisuan ibunya kala
ini. Hanya deru angin sahaja yang menyisip masuk ke ruang dapur yang sederhana
kecil ini.
“Adila? Ibu berkenan pada Adila,” gumam Salmah perlahan.
“Bu... Adila hanya buah hati abang. Tapi Amira pula
tanggungjawab abang sekarang ni bu, jangan runtuhkan masjid. Berdosa bu,”
ungkap Firdaus berhati-hati agar hati tua seorang ibu seperti Salmah tidak
terguris dengan patah bicaranya ketika ini.
“Kita dah janji pada keluarga Adila.. Ibu tak sanggup
mungkir janji Fir!” Salmah termangu sendirian dengan janji yang pernah terlafaz
antara kedua belah pihak yang sama-sama menyukai Taufiq dan Adila bersatu.
“Bu... ibu rehatlah dulu! Jangan dikirkan sangat masalah
abang, pasti ada jalannya!” gumam Firdaus menenangkan hati Salmah yang sedang berbelah
bahagi.
“Fir solat maghrib dulu ya bu,” Firdaus bangkit lalu beredar
ke tangga yang diperbuat dari kayu dan papan itu berhati-hati. Langkah kaki di
atur menuruni anak tangga menuju ke bilik air yang terletak di luar rumah.
“Saya nak mandi..” ujar Amira saat wajah Taufiq terjengul di
muka pintu bilik sederhana kecil ini. Taufiq yang segak mengenakan baju melayu
dan berkain pelikat itu direnung tanpa berkelip.
“Dengar tak? Saya nak mandi!” gumam Amira sedikit kuat dari
tadi tatkala Taufiq masih selamba tidak membalas kata-katanya.
“Eh suka hati kaulah, nak mandi ke tidak! Apa kena mengena
dengan aku!” jawab Taufiq dalam nada suara yang direndahkan sedikit.
“Saya takut!” ucap Amira pendek. Taufiq ketawa mengejek saat
perkataan itu diluahkan oleh Amira.
“Takut konon, kalau clubbing dari malam sampai ke subuh...
tak tahu takut pulak!” sinis Taufiq menghamburkan bicaranya.
“Sana tu hutan batu, sini hutan rimba! Kalau ada harimau
ke... singa ke.... siapa yang tahu!” Amira membalas patah bicara Taufiq.
“Biar kau kena baham! Senang sikit hidup aku,” Taufiq juga
berbalas bicara.
“Huh, berlagak!” Amira bangkit lalu menyusun langkah menuju
ke muka pintu. Sengaja bahu Taufiq dilanggar kasar, biar padan dengan muka
lelaki yang berlagak sombong tidak bertempat ini.
“Hei aku pun tak ingin bersuamikan lelaki yang sombong dan
bongkak macam kaulah!” getus hati kecil Amira marah dengan sikap ego Taufiq.
“Amira nak kemana ni? Dah lewat..” tegur Salmah saat
terpandang Amira yang berdiri di anjung rumah sambil tuala bewarna biru
tersangkut di bahu kanannya.
“Mira nak ke bilik air, nak mandi.” Ucap Amira teragak-agak
sama ada meneruskan niatnya untuk mandi atau tidak kerana sedari tadi lagi
kawasan bilik air di luar rumah itu tampak kelam tidak bercahaya.
“Pasanglah pelita, lampu dalam bilik mandi tu dan rosak. Fir
tak sempat gantikan dengan yang baru,” gumam Salmah sambil menghampiri Amira.
Amira hanya diam tidak membalas kata-kata Salmah bahkan sedari tadi lagi anak
mata itu masih tertumpu ke arah bilik air yang gelap gelita.
“Mira takut ya?” Salmah meneka bersama seulas senyuman di
bibir.
“Hermm... gelap sangat!” ucap Amira berserta anggukan kecil.
“Taufiq, temankan Amira... dah lewat ni.” Laung Salmah
memanggil nama Taufiq.
“Ada apa bu?” Taufiq datang sambil menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
“Temankan Amira mandi!” gumam Salmah pendek.
“Hei nak mandikan? Pergilah sendiri, jangan nak menyusahkan
aku pulak!” Taufiq berpusing lalu melangkah meninggalkan Amira sendirian.
Salmah yang melihat sikap tidak peduli Taufiq hanya mampu menggeleng kepalanya.
“Amira tetamu kita Fiq, tak baik buat tetamu macam ni. Ibu
tak pernah ajar anak ibu bersikap biadab macam ni sekali.” Protes Salmah kecewa
dengan sikap tidak matang Taufiq.
“Dengan orang lain Fiq boleh hormat, dengan dia je hormat
Fiq dah tak ada!” balas Taufiq mendatar nada suaranya.
“Saya pun tak harap awak temankan saya ke sana!” tutur Amira
sakit hati lantas di atur langkah kaki menuruni anak tangga menuju ke bilik
air. Keberaniaannya muncul dengan tiba-tiba, walau langkah masih lagi
terhinjut-hinjut menahan sakit terseliuh petang tadi.
Bertemankan cahaya pelita minyak tanah, Amira membersihkan
dirinya ala kadar sahaja sementelah peralatan mandinya tertinggal di bilik
hotel. Waktu malam dan dingin seperti ini sudah cukup menimbulkan rasa seram
dalam dirinya, mandian segera dipercepatkan lalu tubuh yang sudah dikeringkan
dengan tuala diganti dengan baju kurung kedah beserta sehelai kain batik persis
gadis kampung di pulau ini. Hilang sudah legging dan baby-t yang sebelum ini
tersarung di tubuh genitnya!
Sedang leka Amira membalut rambut yang basah dengan tuala,
bunyi sesuatu jatuh di atas zink bilik air itu mengejutkan Amira. Serentak daun
pintu ditarik lalu langkah diatur laju menuju ke anak tangga di anjung
rumah. Terkocoh-kocoh langkah kaki
dihayun hingga tidak sedar kaki kirinya tersadung batu di tepi tangga.
“Kalau nak tunjuk hormat sekalipun, takkan kaki aku pun kau
nak cium!” sinis suara Taufiq bersama senyuman mengejek dihadiahkan kepada Amira.
Amira panggung wajahnya yang tertunduk dek tersungkur ke anak tangga itu, kaki
Taufiq yang agak panjang pertama terlihat oleh anak matanya.
“Hello, dengan awak... saya tak perlu hormat!” gumam Amira
semakin sakit hati dengan Taufiq. Dia bangkit lalu menapak naik ke tingkat atas
meninggalkan lelaki yang angkuh berbicara saat ini.
“Ingat aku hadap sangat nak cium kaki kau!” cemuh Amira di
dalam hatinya. Ekor mata itu sempat lagi melirik ke arah Taufiq, lelaki itu sedang
menguntum senyuman sinis. Puas hatinya mengenakan Amira!
“Malam ni Fiq dengan Mira tidurlah dekat bilik ibu. Ibu
tidur dekat bilik belakang,” tutur Salmah sesudah selesai membasuh pinggan.
Lengan baju yang dilipat hingga ke paras siku, dilurut ke bawah.
“Ibu dah siapkan bilik Fiq,” gumam Salmah lagi.
“Mira nak tidur dengan ibu,” gumam Amira mencelah tiba-tiba.
“Aku pun tak ingin nak tidur dengan kaulah!” selar Taufiq
tiba-tiba.
“Bila masa pulak saya kata nak tidur dengan awak? Perasan!”
ucap Amira geram dengan sikap angkuh Taufiq.
“Eleh...” Taufiq kehilangan kata-kata untuk meneruskan
bicaranya.
“Sudahlah tu Fiq, Mira tidur dengan Taufiq di bilik ibu ya.
Bilik tu besar sikit!” gumam Salmah mahu segera beredar dari berhadapan
keduanya. Sakit kepala mendengar pertikaman lidah dari kedua-duanya.
“Pergilah masuk tidur, dah lewat ni Fiq, Mira!” arah Salmah
yang sudah bangkit dari duduknya.
“Ye ibu, Mira masuk dulu!” balas Amira sambil berlalu masuk
ke dalam bilik. Salmah hanya memerhatikan tubuh Amira sehingga hilang dari
pandangan mata.
“Fiq, layanlah Amira elok-elok sikit. Keras mana sekalipun
Amira tu, dia tetap seorang perempuan.” Pesan Salmah pelahan.
“Fiq tak sukakan dia bu,” balas Taufiq perlahan.
“Suka atau tidak, Fiq dah ada tanggungjawab dan amanah
menjaga Amira perlu Fiq lunaskan juga. Pergilah masuk tidur, tanyalah dia kalau
ada apa- apa yang dia mahukan! Ibu masuk tidur dulu!” bibir tua Salmah
menuturkan nasihat buat Taufiq manakala Firdaus sudah lama lelap di ruang tamu.
Taufiq hanya diam membisu sambil memerhatikan ibunya yang sudah bergerak menuju
ke bilik berdekatan dapur.
Taufiq melangkah masuk ke dalam bilik, Amira yang sedang
menyusun bantal di atas katil dijeling sekilas.
“Aku tidur atas katil, kau tidur dekat bawah!” gumam Taufiq
lantas menghenyakkan tubuhnya di birai katil.
“Eh apasal pulak, saya tidur atas katil! Saya tetamu!” gumam
Amira memprotes.
“Aku tuan rumah!” bentak Taufiq tidak mahu mengalah!
“Whateverlah Megat Taufiq!” Amira bangkit lantas menggapai
sebiji bantal dan sehelai selimut lalu langkah kakinya di atur ke luar dari
bilik yang menempatkan seorang lelaki angkuh yang tiada budi pekerti seperti
Taufiq.
Amira kesat air mata yang bergenang, persekitaran rumah
papan ini diperhatikan sayu. Dimana harus dia berbaring waktu ini? di ruang
tamu, Firdaus sudah lama terlena, di dalam bilik pula Taufiq enggan mengalah.
Menumpang di bilik ibu mertuanya mustahil sama sekali, kerana bilik yang sedang
dihuni wanita itu bersaiz agak kecil iaitu kira-kira sebesar katil bujang. Dan
ibu mertuanya hanya tidur di lantai beralas tilam nipis. Pasti tidak muat jika
dia menumpang sama.
Ruang dapur yang kosong diperhatikan lama, pasti di situ ada
tempat untuk dia berbaring untuk satu malam.
Bantal kekabu diletakkan berhati-hati, lantas kain selimut
dijadikan alas untuk tidurnya.
Kesejukan yang
menggigit seluruh kulit membuatkan tubuh Amira menggigil kesejukan, suasana
pulau yang dikelilingi air laut cukup mendinginkan suasana malam hingga
membuatkan Amira memeluk tubuhnya sendiri. Selimut yang dijadikan alas ditarik
lalu diselubungkan ke tubuh.
“Sejuknya,” tutur Amira perlahan beserta air mata yang
mengalir lesu di pipi mulus miliknya. Dengan air mata yang bergenang, Amira
pejamkan mata. Mengusir rasa sayu lalu cuba mengukir mimpi indah untuk tidur
malamnya kali ini kerana esok pagi dia akan meninggalkan pulau ini tanpa
menoleh lagi.
P/S: terima kasih kpd anda yg sudi memberi komen utk memantapkan lagi jalan cerita ini:)
percubaan terbaru dari saya :)
maaf atas kekurangan.
percubaan terbaru dari saya :)
maaf atas kekurangan.
Comments
Nk lgi.......!!!
Dan tidak kah Taufik tahu..kemungkinan Amira hanya liar sahaja dan pergi clubbing dan berpoya poya dengan banayk lelaki tetapi dia masih suci lagi...