CINTA DI HUJUNG NODA 27
Aku pusing ke kanan tak kena lantas ku pusingkan tubuh
mengiring ke kiri pula, mata yang berat tadi bagai kembali segar lantas aku
bangkit dari katil segera bangun menuju ke muka pintu. Daun pintu ku luaskan
lantas dan ku jengulkan sedikit ke luar, memerhatikan kelibat Nia entah
dimanalah isteri ku tidur malam ni. Suasana kelam buat aku segera menapak
keluar, bergerak ke ruang menonton TV di tingkat tiga namun insan yang ku cari
tidak juga ketemu langsung aku atur langkah kaki menuju ke tingkat dua, mungkin
Nia ada bersama mama tetapi di situ juga tiada hanya desah nafas mama yang
sedang lena menyapa pendengaran ku. Aku bingkas mengorak langkah turun ke
tingkat bawah, pasti Nia ada di sana!
Ruang tamu ku lewati, meliar mata ke arah sofa yang kosong
dan ruang dapur juga gelap gelita maka tak mungkin Nia berada di sana, buat
seketika aku berhenti dan berfikir sejenak waktu-waktu begini apakah yang
sering dilakukan oleh Nia selain melakukan tahajud? Ya mungkin Nia sedang
melakukan solat sunat tahajud itulah kebiasaannya setiap kali hubungan yang
baik kembali berantakan. Mengadu kepada sang Pencipta.
Bilik solat ditingkat bawah ku hampiri, ada cahaya terbias
dari bawah daun pintu. Pasti Nia di dalam sana, wajarkah aku ganggu sahaja
khusyuknya atau menunggu sahaja hari esok
untuk ku pujuk hati itu? sedang berkira-kira
untuk masuk, teguran mama buat aku kalih pandangan ke wajah bening itu.
“Ma,” ucap ku sepatah dan mama tersenyum membalas teguran ku
tadi.
“Mama, buat apa ni? Kenapa tak tidur lagi?” tegur ku
perlahan enggan didengari oleh Nia yang berada di dalam sana.
“Mama dahaga, freezer dekat atas sana dah kehabisan mineral!
Jadi mama turunlah, yang Attar terhendap-hendap ni kenapa?” aku telan liur
Hmmmm..agaknya mama perhatikan aku!
“Tak ada apa la ma, ” ucap ku dalam nada kalut-kalut seraya
berpusing mahu mengatur langkah menuju ke sofa di ruang tamu.
“Mama ingat Attar buat apa tadi, dari tadi terhendap-hendap!
Sebagai lelaki kalau isteri merajuk, pujuklah. Rendahkan ego kalau nak bertahan
dalam rumah tangga,” nasihat mama lantas berlalu bersama kerusi rodanya pergi
menuju ke ruang dapur. Aku telan liur, benarkah aku ego?
Ah nantilah, perlukah aku merendahkan ego sedang Nia sendiri
tidak cuba memahami keadaan aku? Aku sudah berjanji dengan arwah mama Neesa
untuk jaga dan lindungi Neesa hingga akhir nyawanya. Jadi haruskah aku abaikan
sahaja janji pada yang sudah tiada? Hassyy.... serabut!
Aku berpaling semula untuk naik segera ke tingkat atas,
biarlah masa yang tentukan! Aku sudah patah hati, aku sudah terlalu penat
berhadapan dugaan demi dugaan tanpa henti-henti. Di manakah silapnya hingga aku
sukar menggapai bahagia? Apakah yang kurang lagi hingga aku terpaksa korbankan
masa untuk diri sendiri demi insan lain, demi kebahagiaan jiwa yang lain?
Sedang jiwa aku sudah luka, terhiris dan mungkin juga hancur ini siapa yang pedulikan?
Ya Allah, aku tak
mampu lagi diuji sebegini! Wajah ku raup dan nafas ku tarik sedalam-dalamnya
agar bila ku hela nanti, biar ia berlalu pergi bersama beban dan resah dari
hati.
“Abang,” satu suara panggilku sekali. Aku yang sedang
berkira-kira mahu melangkah terpateri di situ sambil tubuh masih lagi ku
kakukan dari berpaling mencari suara yang memanggil tadi.
“Abang,” serunya sekali lagi lantas ada pelukan kemas dari
arah belakang. Aku pejamkan mata, tidak rela menatap wajah Nia waktu ini sedang
hati ku sudah lemah untuk terus berjuang menamatkan permainan yang semakin jauh
membawa aku dari rasa bahagia.
“Abang, maafkan Nia! Maafkan Nia menjadi seseorang yang
pentingkan diri sendiri.” Ujarnya sambil air mata gugur membasahi belakang
tubuh ku yang tersarung t-shirt.
“Abang maafkan Nia, tolong maafkan Nia!” ucapnya bersama
sedu sedan. Aku hela nafas perlahan, terasa berat dan beban yang tergalas di
bahu ini sudah tidak ada upaya untuk ku tanggung lagi. Dan Nia, senjata untuk
melemahkan aku adalah air matanya! Terlalu mudah titis air jernih itu gugur ke
bumi!
“Nia, abang nak rehat! Abang letih sayang, maafkan abang!”
gumam ku sambil pelukan erat Nia ku leraikan menjadikan esak tangis itu kembali
kuat bergema
“Nia mintak maaf bang,” ucapnya terduduk di lantai beralas
karpet. Biarlah kali ini Nia tahu beban perasaan aku yang sudah lama tidak
diketahui oleh sesiapa pun hatta diri ini juga sudah terlalu lama menanggung
perit sendirian.
“Abang..... kasihankan Nia!” ucapnya dalam sedu sedan. Aku tahu
hati itu juga turut terluka dengan keadaan yang semakin menjauhkan aku dan dia
dari rasa bahagai! Aku seluk tangan ke dalam poket seluar sambil mata ku
halakan ke siling dan nafas sekali lagi ku hela perlahan.
“Abang, beri peluang untuk Nia buktikan rasa kasih dan
sayang Nia pada abang. Cukuplah jika Nia memberi tanpa abang membalas, kasih
dan cinta Nia ikhlas untuk abang,” tuturnya buat aku terkedu. Aku raup wajah
yang kusut berkali-kali, cukuplah Nia.... aku tak mampu memberi kebahagiaan
seperti mana yang kau mahukan. Aku tak mampu berlaku adil sedang aku sudah
terikat dengan janji mempertahankan dan melindungi Neesa hingga ke akhir
nyawanya. Bagaimana untuk aku merobohkan sebuah janji pada insan yang sudah
lagi tiada?
“Abang.... maafkan Nia kerana terlalu mendesak hingga abang
mengasari hati Nia! Nia janji tak buat lagi, tapi tolonglah pandang Nia walau
sekejap bang! Tolonglah bang....” rayunya buat aku semakin goyah. Esak tangis
itu juga bagai menghiris hati kecil ini dari terus terusan bersikap kejam
menggores hati itu.
“Nia, maafkan abang! Abang letih sayang..” ucap ku berlalu
pergi biar malam ini malam untuk aku melayani rasa yang semakin jauh menghimpit
hati dan perasaan.
“Abang, tunaikan satu permintaan Nia! Untuk kali ini,
mungkin juga untuk kali terakhir! Nia tak pernah minta apa-apa dari abang
melainkan untuk kali ini. Tunaikan buatkan Nia bang,” ucapnya penuh mengaharap.
Aku kalihkan semula pandangan menatap wajah itu. Lencun dengan air mata!
Hari ini sudah masuk 8 Jun 2012, begitu cepat masa berlalu
kini tarikh ini kembali hadir menjengah aku dalam ruang lingkup yang berbeza
dan dalam keadaan aku yang sudah jauh berbeza. Dan tiada sesiapa yang sedar
akan tarik keramat ini, atau mungkin aku sahaja yang rasakan ia keramat namun
tidak pada orang lain.
Huh sebak pulak rasa hati, tidak pentingkah aku pada mereka
semua hingga tarikh ini tidak singgah ke dalam hati mereka dan tidak lekat di
dalam minda kesemuanya?
“Muhammad Fiqri Attar, temankan saya keluar sekejap boleh?”
tutur Nia memanggil nama aku dengan nama penuh. Aku kalihkan pandangan menatap
wajahnya dan dia tersenyum seketika setelah tangisannya tadi berakhir, dan dia kembali
merapati aku yang tegak berdiri berhampiran tangga.
“Maafkan Nia, tunaikan permintaan Nia bang!” ucapnya sambil
raih kedua tangan ku dalam gengaman tangan dan dia tarik aku mengikuti
langkahnya, aku pula hanya menurut memenuhi kehendak hatinya itu.
“Jomlah ikut Nia, temankan Nia sekejap.”Aku kerling jam
ditangan, sudah menginjak angka dua pagi, kemana pula Nia mahu bawa aku
malam-malam sebegini?
“Kita nak kemana sayang?” aku panggil dia dengan panggilan
sayang. Dia senyum buat aku tersedar yang aku sudah terlajak kata, rajuk yang
ingin ku pertahankan akhirnya roboh begitu sahaja. Haih tak sempat merajuk
lama-lama! Wajah yang sudah merona merah ku palingkan keluar tingkap kereta!
Aku perhatikan kiri dan kanan, jalan yang ditujui Nia
kelihatan kelam sahaja, kemana agaknya Nia mahu membawa aku? Takkan nak
bermesra di dalam semak pulak, biar betul Nia ni?
“Kita nak kemana ni sayang?” ucap ku sambil sentuh jarinya
yang bebas diletakkan di stereng kereta, aku raih ia hingga rapat ke bibir lalu
ku kucup sekali. Aku cintakan wanita ini sesungguh hati ku, namun aku sendiri
keliru antara kasih dan janji dan antara tangungjawab dan kasihan.... apakah
yang harus aku pilih dan dahulukan?
“Sayang,” panggil ku sekali dan Nia senyum tidak bersuara.
Tanpa niqab Nia pandu kereta menuju entah ke mana.
Aku lihat, senyumam terukir di wajah Nia saat kereta
memasuki kawasan lapang berhampiran pantai. Aku juga kuntun senyum, kembali
juga aku ke sini.
“Welcome to Port Dickson! Nice to meet you Tuan Attar!”
gumam Nia sambil membuka pintu kereta disebelah tempat duduk pemandu. Aku sua
tangan ke arahnya dan Nia hampiri aku langsung kedua pipi ku dipicit geram!
“Kita nak buat apa ni tuan?” ujarnya mengingatkan peristiwa
dua tahun lepas di mana aku paksa dirinya pandu kereta hingga jauh dan tiba ke
pantai ini.
“Duduk lepak-lepak,!” tutur ku ulang semula kata-kata yang
pernah aku ungkap dahulu dalam senyum yang terbias di wajah. Lelaki ini yang yang
suatu masa dahulu penuh bongkak dan angkuh Nia tundukkan aku dengan cintanya.
“Tuan, malam ni saya nak bawak tuan jalan-jalan sepanjang
pantai sambil kita tengok bulan yang bulat dekat atas sana tu,” unjuk Nia
sambil senyum buat aku tidak betah
memandang dirinya lama-lama. Ada getar merayap memasuki urat nadi, haish
kehendak hati yang satu ini sering kali buat aku resah derita, tak mengira
tempat jika dia mahukan. Huh, sabarlah sikit Attar.
Aku beriringan dan berpimpin tangan menyusuri pantai yang
dilatari pepasir putih, terasa syahdu dan tenang meniti pepasir pantai yang
tampak bersih memutih. Nia gengam jari jemari ku kuat langsung dia peluk aku
dari hadapan. Aku biarkan perlakuan Nia yang mahu meraih kemesraan dari aku,
kepala yang dilitupi hijab ku elus lembut dan kini aku juga membalas pelukan
eratnya sambil pandangan dilemparkan ke tengah laut yang tenang beralun. Ombak
kecil juga kelihatan memukul pantai berulang kali dan bayu malam juga datang menghembus lembut ke wajah hingga
tudung yang dipakai oleh Nia bergerak-gerak di tiup angin.
“Abang, lama kita tak dating?” ucap Nia masih kemas dalam
dakapan dan dia lentokkan kepalanya ke bahu aku yang masih tegak berdiri.
“Kita belum pernah dating,” ucap ku jujur dan Nia bingkas tegakkan semula
kepalanya dan memandang aku tepat. Mata itu bulat meminta kepastian dari aku
yang sedang tersenyum melihat reaksinya itu.
“Kenapa? Tak percaya ke? Seingat abang, kita tak pernah
dating. Except first time datang sini dan terus kena cekup,” aku peringatkan
dia sekali lagi. Dan kali ini dia sedikit menunduk sambil angguk kepalanya
sekali.
“Kenapa sayang?” soal ku tarik dia hampir rapat semula
kepada ku.
“Nia, impikan sebuah perkahwinan yang sempurna! Penuh rasa
syukur dan kegembiraan! Tapi, disebalik pernikahan kita dulu... kita sama-sama
tak setuju dan sama-sama tak rela. Hanya keadaan yang menjadikan kita terpaksa
terima semua ni....” dia leraikan pelukan tadi dan kini ku lihat sudah menapak
menghampiri lalu duduk di atas tunggul kayu yang terdampar di pantai setelah
hanyut di bawa ombak.
Aku juga duduk bersebelahan, mendengar rasa hatinya yang selama
ini belum pernah ku singkap dari diri seorang isteri yang sudha dua tahun ku
nikahi itu. Dan hari ini genaplah usia ku 24 tahun dan usia perkahwinan ku pula
baru menginjak dua tahun.Terlalu cepat masa berlalu!
“Biasanya pengantin perempuan akan menangis kerana terharu
tetapi tidak pada Nia, Nia menangis kerana malu... kerana rasa diri diaibkan!”
ucapnya serak menahan sebak. Aku telan liur, benarlah selama ini Nia pendam
segala kesedihan tentang pernikahan ini sendirian.
“Abang minta maaf Nia, semuanya salah abang sebab paksa Nia
datang ke sini! Dan abang tak mampu nak menolak andai dihadapan kita sudah
tiada ruang untuk kita membela diri. Nia ingat tak, berapa ramai penduduk
kampung yang datang keliling kereta kita masa tu? Kita tak ada pilihan Nia,”
ucap ku membetulkan keadaan dan resah kecewa Nia.
“Nia tahu.... tapi Nia,” kata-katanya terhenti dan dia ku
lihat sedang menarik nafas sambil angkat wajah yang sedari tunduk tepat ke arah
lautan yang luas.
“Tapi Nia juga ada impian dalam perkahwinan, Nia mahukan majlis
Nia dikelilingi rasa bahagia dan kegembiraan seperti mana setiap pengantin yang
menunggu detik-detik bergelar isteri kepada seorang suami. Nia tak sempat
merasai semua itu... Nia... Nia..” kata-katanya kemabli tersekat dalam sebak
yang hadir lantas ku tarik kepala itu rapat ke bahu ku dan bahunya ku peluk
erat.
“Tapi Nia hanya atas kertas, Nia bukan siapa-siapa pada
abang!” tuturnya perlahan. Wajah itu kembali tunduk menekur pepasir pantai yang
memutih.
“Nia,” panggil ku sekali.
“Shh... abang tak pernah anggap hubungan kita sekadar di
atas kertas sayang! Abang anggap sayang isteri abang yang pertama dan terakhir.
Tiada keduanya sayang,” ucap ku harap dia mengerti rasa hati yang terlalu besar
untuknya. Sedang rasa cinta dan curiga pada keihkhlasan hati ku sering kali
dipersoalkan dan tanggujawab pada Neesa juga selalu dipertikaikan.
Nia masih diam, mungkin tidak mempercayai kataku sedang
hakikat sebenar aku kini sudah beristeri dua.
“Boleh abang tahu apa ciri-ciri suami idaman Nia?’
pertanyaan yang sudah lama terbuku di dalam hati akhirnya terluah juga malam
ini. Aku dengar dia hela nafasnya
perlahan sekali lagi.
“Nia mahukan lelaki yang beriman, boleh memimpin, matang,
bertanggungjawab dan paling penting dia seorang yang cukup solat lima waktunya,
berpuasa dan jalankan semua rukun Islam!” suara itu perlahan tetapi sungguh
menusuk jauh ke dalam dasar hati ku.
Aku tunduk sambil memerhatikan kulit-kulit siput yang
terdampar di pasir lantas ku gapai satu persatu
lalu ke lempar ia ke gigi air. Terasa jauh sunggug aku dengan lelaki
yang diidamkan Nia. Ya aku akui dia seorang yang beragama, taat pada suruhan
agama dan pandai membawa diri dan seelokknya dan tidak selayaknya bergandingan
dengan aku yang penuh noda dan keji ini. Yang terpalit dengan kisah lampau yang
hitam dan kelam itu! Ya, akulah suami mu yang hina itu Nia!
“Mesti Nia menyesal bersuamikan abang,” tutur ku tanpa nada.
Dia senyap, dan tahulah aku kini Nia benar-benar kesalkan hubungan yang terbina
ini.
“Nia sesungguhnya betul-betul mengharapkan sebuah hubungan
dari seorang lelaki yang mampu membimbing Nia, yang mampu melindungin dan
memberi kebahagiaan pada Nia. Tapi jika takdir menentukan jalan yang harus Nia
tempuhi seperti ini? Seperti mana janji Nia di Lof Mahfuz lagi, Nia redha bang.”
Ungkapnya sambil lempar pandangan ke tengah lautan luas terbentang. Mata itu
turut berkaca-kaca, menyesal sangatkah Nia pada perkahwinan yang tidak
diharapkan ini? Kecewakah dia pada aku yang tidak pernah diimpikan ini?
“Nia menyesal?” tebak ku dalam rasa kecewa yang mula
menghiris hati.
“Untuk apa Nia menyesal bang, semua ni perancangan takdir
yang kita tak tahu! Mujur juga abang lupa pada Nia yang sebenarnya kan?” dia
senyum lagi.
“Maksudh nia?” tanya ku ingin tahu.
“Abang, gadis yang abang malukan satu masa dahulu... gadis
yang abang hina dia suatu masa dulu.... gadis yang abang keji dan umpat saban
hari itu hingga dia pergi jauh dari hidup abang dan jauh dari kehidupan Nia
sekeluarga siapa lagi bang?” gumamnya perlahan tetapi masih tegas dalam
senyuman.
“Abang jadikan Nia anak yatim piatu, sebatang kara hidup di
dunia yang luas ni sendirian.... menguruskan kehidupan tanpa kasih sayang
seorang ibu dan ayah. Membesar dalam rasa sedih dan air mata hingga Nia
tercampak di rumah anak yatim, semuanya atas perbuatan abang suatu masa dahulu.”
Aku diam kaku, apakah maksud yang ingin disampaikan oleh Nia yang sebenarnya?
“Abang tak faham,” tutur ku harap dia lebih jelas menuturkan
maksud disebalik kata-katanya itu.
“Abang kejam!” ujarnya sepatah. Sekali lagi aku terkedu! Masih
sabar menanti dia terus berbicara saat ini.
“Abang masih ingat pada kakak Qaisara? Qaisara Balqis?”
sekali lagi aku terdiam merencanakan sebaris nama yang disebut oleh Nia. Nama
yang diakui milik kakaknya itu.
"Qaisara? Siapa Qaisara?Adakah Qaisara yang dimaksudkan pemilik nama kepada Qaisara Balqis yang aku kenali dulu? Balqis!!!! Nama itu bergema
kuat di dalam hati. Ya Allah!!!!! Aku raup wajah kasar, wajah itu kembali
terlayar di ruang hati ku saat ini. Wajah mulus persis gadis arab itu buat aku
rasa bersalah.
“Maafkan abang Nia, abang tak sengaja!” tutur ku penuh rasa
kesal dalam hati.
“Sudah terlambat bang, dia dah pergi jauh dari hidup Nia!
Nia kehilangan semuanya serentak, Nia hilang kasih sayang ibu dan ayah sekelip
mata dan Nia juga hilang kasih sayang seorang kakak kerana perbuatan abang! Abang
kejam! Abang kejam!!!!!” ucap Nia lirih dalam air mata.
“Nia, pandang muka abang sayang! Abang mintak maaf, buat apa
sahaja asalkan Nia maafkan abang!” tutur ku memohon pengertiaan wanita di
hadapan ku ini agar melenyapkan rasa bersalah ini yang telah sekian lama
menghantui hidup saban hari. Bahunya kedua ku pegang erat membawa dia
berhadapan memandang wajah ku kala ini.
“Maafkan abang Nia,” sekali lagi aku tuturkan kata maaf
dihadapan wanita ini.
“Untuk apa bang? Abang kejam!” sekali lagi kata-kata itu
dilemparkan. Ya memang aku yang bersalah, berlaku kejam pada seorang gadis yang
hanya menagih cinta dari ku. Aku permainkan perasaannya, dan aku rendahkan
maruah itu hingga kesucian gadis itu diragut oleh lelaki bernama Shark! Tangis esak
dan rayuan lirih gadis itu ku biarkan sepi dan setelah segalanya berakhir ku
tinggalkan gadis itu sendirian di tepian jalan. Ya Allah kejamnya aku!
“Kerana kepedihan itu Qaisara hilang semangat untuk hidup
dan berita perkhabran tentang Qaisara sampai ke pengetahuan ibu dan ayah Nia,
hingga ibu Nia juga diserang sakit jantung dan ayah Nia juga alami nasib yang
sama di Kota Suci Mekah semasa kerjakan ibadah haji. Dan di sini Nia kehilangan
tiga insan sekaligus, bina hidup atas air mata dan kesedihan. Nia tercampak ke
rumah anak yatim kerana semuanya atas perbuatan kejam abang!” sekali lagi Nia
teresak, sesungguhnya beban yang ditanggung isteri ku waktu itu cukup berat
menghimpit.
“Berapa ramai lagi gadis yang abang permainkan dan abang
pijak maruah mereka bang?” soal Nia perlahan. Tubir mata itu bergenang sekali
lagi.
Aku diam tidak mampu bersuara, terlalu ramai pada ingatan
ku. Ya Allah, aku berdosa!!!!
“Abang tak ingat, maafkan abang atas ketelanjuran perbuatan
abang pada keluarga Nia!” ucap ku harap Nia sudi memaafkan ku.
“Untuk apa bang?” pertanyaan Nia buat aku sebak. Tidak layakkah
aku memohon maaf dari hati wanita bergelar Nia?
“Nia adik kepada Qaisara Balqis, gadis yang trauma dirogol
oleh lelaki hanya kerana menagih cinta dari seorang lelaki dan lelaki itu
adalah abang! Abang pijak maruah Qaisara hanya untuk mendapat gelaran lelaki
hebat. Untuk apa gekaran itu bang? Tidak abang tahu betapa terhina dan pedihnya
insan yang melihat kesedihan gadis-gadis seperti Qaisara? Kenapa abang tidak
biarkan Nia serupa seperti Qaisara? Kenapa abang selamatkan Nia dari Shark? Kenapa
bang?” soal Nia bertalu-talu.
Ya aku sendiri tiada jawapan untuk persoalannya itu, namun
wajah Qaisara yang penuh mengharap kasih sayang dan cinta dari ku terlayar
diruang mata. Wajah mulus persis Nia itu tidak berhijab seperti isteri ku ini,
cantik dan jelita pada mata yang memandang namun masih tidak mampu menggetarkan
hati ku yang sudah berpatah hati terhadap cinta setelah dipermainkan oleh
Neesa. Hingga gadis-gadis yang datang setelah dirinya ku jadikan mangsa melepaskan
dendam dan amarah ku. Dan mereka ku jadikan habuan untuk Shark dan rakan-rakan
ku yang lain! Ya Allah, ampunkan dosa ku! Ampunkan aku ya Allah!
“Bertaubatlah abang, pohon kemaafan kepada semua yang pernah
abang permainkan! Cukuplah semua ini bang, berilah peluang dan ruang untuk diri
abang berubah!” Nia bangun dan mengibas-ngibas pakaian yang melekat dengan
pasir.
“Maafkan abang Nia,” tutur ku. Dan dia angguk sekali sambil
tangan kiri itu menyeka air mata yang masih bergenang.
“Abang, selamat ulang tahun kelahiran!” tuturnya buat aku
sebak. Masih ada jua insan yang ingati tarikh lahir ku ini.
“Terima kasih sayang,” ucap ku lalu ku tarik tubuh itu kemas
dalam dakapan.
“Maafkan Nia bang,” gumamnya dalam sendu. Tahulah aku kini,
dalam tubuh Qaisara dan Nia mengalir darah yang sama juga rupa paras yang indah
dan akhlak yang terpuji.
“Abang yang sepatutnya mohon maaf pada Nia, memberi
keperitan pada hidup Nia dari dulu hingga kini! Maafkan abang, sayang!” aku
eratkan pelukan, rasa bersalah ini semakin pergi jauh setelah kemaafan telah ku
terima dari waris Qaisara.
“Nak panggil ustaz atau nak panggil nama?” soal mama penuh
ceria menghadap lelaki berwajah kacak persis jejaka arab itu. Jangan mama jatuh
cinta sudah, aku tengok budak lelaki tu bukan main seronok lagi bergelak ketawa
dengan mama. Nia pun sama, seronok sangat melayan ‘ustaz’ muda tu. Kononya!
“Panggil nama rasanya lebih baik, lagipun Aiman tak habis
belajar lagi!” tutur lelaki yang bahasakan dirinya Aiman. Oh Aiman nama budak
ni, huh budget baguslah tu! Tak habis belajar ada hati nak digelar ustaz. Aku
mencemik memerhatikan keterujaan mama dan Nia melayani guru al-Quran yang mama
jemput datang kerumah.
p/s: maaf atas kekurangan. enjoy reading. komen anda diharap
dapat menambahkan mutu penulisan saya. sila tinggalkan komen dan pendapat anda ya! :)
Comments
nak masukkan semua dalm ni dah terlalu panjang. sambungan akn dimasukkan dlm entry ke 28.