CINTA DI HUJUNG NODA BAB 48, 49, 50
BAB 48
“Hari dah lewat, abang balik dulu! Dalam sampul ni....” aku hentikan
bicara ku buat seketika. Sampul yang sedari awal tadi ku sisipkan wang di dalamnya
ku keluarkan berhati-hati lalu ku serahkan kepada dirinya.
“... ada sedikit belanja untuk keperluan Amsyar dan duit belanja
untuk Nia. Abang akan lunaskan tanggungjawab abang untuk anak kita dan sedikit
belanja sewaktu tempoh abang tinggalkan Nia dulu. Kalau ada rezeki, ada jodoh
dan ada umur, kita jumpa lagi.” ucap ku sambil menanti Nia menyambut pemberian
ikhlas ini.
“Ambillah Nia, mungkin ini sahaja yang mampu abang berikan kepada
Nia dan anak kita. Esok lusa, abang tak pasti! Abang tak berani berjanji,” aju
ku berharap benar Nia sudi menerima pemberian tidak seberapa ini.
“Ambillah, jangan kecewakan abang.” Tutur ku perlahan. Menutup rasa
yang sarat dengan sebuah kepedihan.
“Nia tak mahu duit abang, Nia mahukan abang sentiasa ada waktu untuk
bersama Amsyar.” Luahnya senada.
“InsyaAllah Nia, abang tak janji! Tapi abang akan berusaha untuk bersama-sama
Amsyar selagi ada ruang yang diberikan!” balas ku bersama sebuah senyuman.
“Ambil ya,” tangan ku panjangkan ke arahnya dan akhirnya Nia
menyambut juga.
“Terima kasih,” ucap Nia pendek. Namun cukup berharga bagi diri ku.
Perlahan-lahan aku pangku Amsyar yang masih terlena, lalu ku kucup pipinya
sebelum ku serahkan kepada Nia. Sejurus itu, aku bangkit menegakkan tubuh!
“Abang nak kemana ni?” bicara lembut itu menyapa halwa telinga.
“Abang nak balik,” ujar ku bersama senyuman. Senyuman untuk insan
yang ku cinta.
“Awal lagi?” Nia melarang.
“Abang nak berehat. Kirim salam pada mama dan abah, jaga diri dan
jaga Amsyar baik-baik. Assalamualaikum,” ucap ku berpaling dan terus menghayun
langkah menjauhi Nia yang terkebil-kebil.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi kesempatan kepada hambaMU untuk
menuntut sebuah kemaafan. Sejujurnya,
aku sebak untuk meninggalkan Nia apatah lagi Amsyar yang masih kecil. Belum
puas untuk ku rungkaikan kerinduan ini, namun aku harus sedar. Tempat ku bukan
di sini! Tempat ku hanyalah di ruang sepi menanti sisa waktu yang tertinggal.
“Attar... hoi... Attar! Huh tunggulah sekejap!” jerit Neesa yang
muncul dari arah belakang. Aku menoleh,
renek-renek peluh yang terlihat di dahi itu ku tatap penuh tanda tanya.
Terus sahaja perasaan hiba tadi lenyap angkara Neesa yang datang terkocoh-kocoh
mendekati aku.
“You ni kenapa? Nak ke mana pulak? Penat I kejar you, tahu tak!”
marah Neesa tiba-tiba. Dada itu berombak kecil mungkin kepenatan mengejar aku
yang sudah agak jauh dari kawasan pantai.
“I nak balik, I rasa badan I tak selesa dan I rasa letih sangat-sangat,”
tutur ku perlahan sambil mata ku hala ke arah deretan kedai yang menjual
pelbagai jenis pelampung. Neesa datang mendekati aku, wajah begisnya sengaja ditayangkan
tepat ke hadapan mata ku. Kini dia bercekak pinggang pula!
“Jangan ingat I takut dengan pandangan you tu,” ucap ku selamba.
“Siapa yang suruh you takutkan I? I sakit hati, you suka-suka hati
je nak balik. At least tunggulah I habis main dulu, ini tidak. Bila you nak
balik, you terus je balik! I tak puas hati,” marah Neesa kelihatan berapi-api.
Sengaja menghamburkan ketidak puasan hati pada aku agaknya.
“Habis tu? You nak I tunggu you sampai you habis main? I tak larat
nak duduk lama-lama, I kan sakit!” ujar ku mengharap sedikit pengertian dari
Neesa. Kesihatan ku masih tidak mengizinkan untuk aku terus berlama-lama di
sini sementelah hati dipagut cemburu melihat kemesraan Aiman bersama ahli
keluarga ku yang lain.
“So, sekarang you nak baliklah?” soal Neesa berubah intonasi. Lembut
dan sopan.
“Ya, I nak balik.” Ucap ku dan dia angguk perlahan.
“Take care, kalau ada apa-apa yang you nak, just contact I. I akan
try dapatkan untuk you.... dan lagi satu,” Neesa datang mendekati aku. Aku pula
masih tegak berdiri di sini.
“... get ready, next week you
dah boleh dibedah. I dah dapatkan penderma tu,” kata-kata Neesa membuatkan hati
ku sedikit lega namun aku tidak terlalu berharap, jika ada rezeki ku untuk
mendapatkan hati yang didermakan, maka adalah. Jika tiada, itu tidak mengapa.
Hanya berserah dan bertawakal kepada Allah. Itu jalan yang terbaik!
“Sure?” soal ku sepatah.
“Yes.. sure!” sahutnya teruja! Bersinar pandangan mata itu!
“Okey thanks Neesa, I
balik dulu. Jaga diri you baik-baik.” Pesan ku sebelum berlalu pergi. Nia pula
ku perhatikan dari kejauhan, masih sama seperti dahulu!
***
Sesudah meluangkan masa bersama Nia dan ahli keluarga ku yang lain,
aku mengambil keputusan untuk segera pulang ke rumah. Tidak betah melihat
kemesraan Aiman yang juga anak tiri papa bersama ahli keluarga ku yang lain.
Peristiwa beberapa bulan lalu sewaktu dia mempersoalkan hak dan tuntutannya
terhadap Nia masih ku ingati hingga ke hari ini dan itu jugalah kali terakhir
lelaki itu berbicara dengan ku.
Batuk-batuk yang sudah berlarutan berbulan lamanya ini ku biarkan
sahaja. Aku tidak mampu melakukan apa-apa, selain mengambil ubat yang
dibekalkan oleh doktor yang merawat. Acap kali juga doktor menasihati aku agar
segera mencari penderma yang bersesuaian. Dan seperti yang Neesa katakan tadi,
dia telah bertemu dengan bakal penderma yang sudi mendermakan sebahagian hatinya
untuk aku. Syukur ku panjatkan, masih wujud
insan yang berhati mulia! Membantu insan lain yang dilanda kesusahan!
Tiba sahaja di rumah, aku rebahkan tubuh ku di atas tilam tipis di
ruang bilik sederhana besar ini. Mata ku hala ke siling dan kedua tangan ku
jadikan alas kepala. Dalam kepayahan aku meniti rasa derita ini, aku akui bahawasanya
aku cukup merindukan kehidupan berkeluarga. Ada ayah dan ibu di dalamnya, serta
ada isteri dan anak-anak yang comel. Semua itu pernah aku alami dahulu dan
hanya seketika cuma, namun cukup membahagiakan! Hingga membuatkan aku hidup di
dalam kerinduan yang sarat!
Kali ini batuk semakin kerap dan sakitnya buat aku semakin tidak
mampu menanggungnya lagi. Sekali aku terbatuk, setiap kali itu jugalah darah
pekat akan mengalir bersama. Aku mudah diserang penyakit dan aku juga semakin
lemah menahan diri dari dijangkiti pelbagai penyakit! Antibodi ini tidak kuat!
Uhukkk.. uhukkk... pedihnya kembali terasa. Ya Allah, sakitnya!
Rintih ku sambil mengurut pangkal leher. Dari duduk, aku segera bangkit
melunjur. Mencari I-phone, mahu menghubungi Neesa.
**
“Ya Allah Attar, apa yang
terjadi? Kenapa you jadi macam ni,” kepala ku dipangku dan raut wajah ku
diusap. Darah yang semakin banyak mengalir melalui rongga hidung diseka dengan
jari jemarinya. Kotor dan perasaan geli itu sudah ditolak ketepi!
“Sakit Neesa,” tutur ku dalam payah.
“Kenapa tak beritahu pada I! Kenapa sekarang baru you call I?” soal
Neesa bertali arus. Aku tahu dia panik! Raut wajahnya sudah basah dengan air
mata, nyata dia tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dalam keadaan cemas
sebegini.
“Neesa tolong I, sakitttt...” ungkap ku lirih menahan beban
kesakitan hingga air mata ini mengalir tanpa sedar. Mata yang kabur ku halakan
ke arahnya, memohon pengertian bahawasanya aku benar-benar dihimpit kesakitan
yang bukan kepalang!
“Attar bertahan! I akan telefon ambulance!”
Sabar Attar... tolong bertahan! You kena kuat! Kena kuat! You kena
bertahan!” pujuk Neesa dalam esak tangisnya. Tubuh ku dipeluk dan seluruh raut
wajah ku di sentuh dengan kedua belah tangannya. Air mata yang mengalir di seka
dan air mata darinya pula menitis mengenai wajah ku, masih terasa hangatnya!
“Sakittt...” aku mengerang kuat. Dan genggaman tangan Neesa ku
cengkam sekuat-kuatnya. Bagaikan seluruh urat nadi ku sedang direntap-rentap
kasar. Pedih dan menyakitkan!
“Attar, bertahan!
Bertahan.... you kena kuat!” nafas yang ku hela semakin payah dan berat. Neesa masih cuba meniupkan kekuatan kepada aku
yang semakin lemah.
“Attar.. jangan pejam mata! Buka mata you, pandang I!” rayuan Neesa
seakan-akan sayup-sayup menyapa pendengaran ini. Aku semakin lemah, terasa
kelopak mata ini berat untuk ku buka walaupun untuk seketika.
“Buka mata you, please...” aju Neesa sambil menepuk-nepuk pipi ku.
Perlahan namun terasa amat sakit sentuhan darinya!
“Maafkan I Attar, I lambat bawa you dapatkan rawatan! Maafkan I kerana
menurut kedegilan you! Maafkan I!” raung Neesa mempersalahkan dirinya bila
melihat aku terseksa walaupun hanya sekadar untuk menarik dan menghela nafas.
“Maafkan I!” itu ayat terakhir yang ku dengar dan akhirnya mata ini
tidak mampu ku buka lagi. wajah Neesa hilang dan lenyap begitu sahaja!
Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di hospital dalam keadaan wayar
yang berselirat di seluruh tubuh.
“Neesa,” panggil ku perlahan bila dia yang sedang terlena di sisi ku
singgah ke pandangan mata.
“Attar, you dah sedar?” Neesa genyeh matanya sambil cuba membuka
matanya lebar-lebar.
“Kenapa dengan I?” persoalku masih lemah.
“Oh you tak sihat! Doktor suruh you rehat,” aku tatap wajah itu. Jelas
kelihatan Neesa keletihan menemani aku di sini.
“I dekat mana?” persoalku masih lemah untuk berbicara. Namun aku
masih ingin tahu di mana aku berada! Untuk apa aku ke sini?
“You dekat hospital,” jawab Neesa tenang. Aku angguk perlahan,
tahulah yang diriku kini berada di hospital. Seketika pandangan ku hala ke arah
Neesa, rasa kasihan ku tumpah buat dirinya.
“You baliklah, berehat di rumah!” suruh ku disambut gelengan darinya.
Sejurus itu, ada senyuman kecil tersungging di pinggir bibir merah sensual
miliknya.
“Tak perlu, I nak temankan you!” ucapnya dalam senyuman. Aku sentuh
wajah itu, dan dia ukir senyuman sekali lagi. perlahan-lahan dia gapai jari
jemari ku lalu dibawa ke bibir dan di kucup syahdu.
“I nak temankan suami I!” luahnya perlahan. Pandangan itu tampak
pilu dan lesu.
“Terima kasih, Neesa.” ucap ku dalam sebak. Air mata ini bagai mudah
gugur bila kebaikan yang dipersembahkan mula menyentuh hati lelaki ku yang
tandus dengan kasih sayang. Apatah lagi, menyedari aku sudah tidak punya waktu
untuk membahagiakan Neesa. Isteri kedua yang pernah menjadi kekasih pertama ku
suatu ketika dahulu.
“Tak perlu berterima kasih, anggaplah ini sedikit pengorbanan I sepanjang bergelar isteri you!
I mahu jadi isteri yang susah dan senang bersama,” tuturnya buat aku bertambah
sebak. Sangka ku diri itu akan meninggalkan aku bila mengetahui keadaan
kesihatan ku. Namun telahan ku salah belaka, dia semakin mendekati aku bahkan
menjaga aku siang dan malam. Menjaga makan dan pakai ku bahkan juga menjaga
segala kebajikan yang aku perlukan. Sungguh aku terharu!
“Terima kasih Neesa,” akhirnya tubir mata ini berat dan air jernih
itu gugur jua.
“Attar, jangan macam ni.... I yakin you akan sembuh! I yakin! Kalau
terpaksa, I rela jadi galang gantinya! I sayangkan you,” tuturnya buat aku
semakin dihambat kesedihan.
“Tidak Neesa, you tak perlu jadi pengganti untuk I.” Ucap ku semakin sebak. Air mata yang
bergenang ini diseka dengan hujung jarinya. Dia juga turut kesedihan melihat
keadaan aku sebegini.
“I tak sanggup untuk lihat semua ni Attar, I tak sanggup you derita
begini! I tak sanggup bila mereka kesedihan menatap you dalam keadaan macam ni!
Maafkan I, andai I lakukan sesuatu yang you larang! Maafkan I, andai I
bertindak tanpa kebenaran you!” esak tangis Neesa semakin kuat dan dia
tertunduk menyembunyikan wajah yang basah dengan air mata. Dada ku dijadikan
hamparan untuk menghamburkan segala esak tangisnya.
Dalam payah, jari jemari ini ku angkat dan ku letakkan ke kepala
yang kini sudah berhijab. Ku sentuh dan ku usap penuh kasih.
“I dah lama maafkan you, dah lama I buang segala keperitan dahulu!
Dah lama I buang segala peristiwa lama yang menghukum kita hingga ke saat ini.
I terima you sebagai isteri I, hingga akhir hayat I.” Ucap ku lirih. Dan Neesa
semakin sebak hingga titis air matanya membasahi pakaian yang tersarung ditubuh
ini.
“Terima kasih Attar, I bahagia bersama you!” ucapnya dalam esak yang
tidak penghujungnya. Malam itu aku dan Neesa sama-sama melayani sebak di hati,
sungguh ini keadaan yang harus ku lalui bila perpisahan itu bakal terjadi
nanti.
BAB 49
“I ada berita yang nak disampaikan pada you,” perlahan dan
berhati-hati Neesa menyusun kata. Aku yang masih terbaring di katil hospital
hanya diam menunggu bibir itu meneruskan bicara.
“Sebenarnya....” Neesa seakan payah untuk melontar bicara. Aku masih
menunggu wanita ini meneruskan kata, sudah hampir sebulan lebih Neesa menemani
aku di sini. Dan sudah acap kali diri itu berkeadaan begini. Kali ini biarlah
aku menunggu sahaja dirinya meneruskan katanya.
Aku masih tenang menunggu, desir angin dari penghawa dingin sekali
sekala menyapa pendengaran. Dan seketika mata ini memerhatikan orang ramai yang
lalu lalang melawat pesakit lain. Sudah pastinya ahli keluarga dan rakan
terdekat yang hadir, cuma aku sahaja tidak menerima sebarang kunjungan melainkan
daripada Neesa seorang. Diri itu insan yang satu-satunya ku khabarkan tentang
kesihatan diri ini.
“Sebenarnya...” Neesa menoleh ke arah ku. Pandangan itu kelihatan
suram dan tidak bercahaya. Entah apa yang ingin disampaikan oleh Neesa
sebenarnya. Tutur bicara itu juga seakan payah untuk dilontar keluar! Pasti ada
yang tidak kena!
“Sebenarnya apa, Neesa?” persoal ku setelah agak lama berdiam diri.
“Sebenarnya, penderma yang I maksudkan dulu dah tarik diri. Yang
seorang lagi tu tak jadi..... doktor kata dia tak sesuai dengan you. So
sekarang ni....” bicara dihentikan sekali lagi. Aku tahu apa yang ingin Neesa
perdengarkan, dan aku juga mengerti
mengapa sukar benar diri itu melafazkan bicara.
“Sekarang ni dah tiada penderma yang sudi dermakan hati mereka untuk
I?” ucap ku memotong kata-katanya. Perlahan-lahan Neesa mengangguk lemah.
“Tak mengapa Neesa, I tak mengharap.... apa yang pasti I berserah
pada Tuhan. Dan pada DIA sahaja tempat I tumpahkan segala rasa hati ni. You
jangan risau.” Ucap ku memujuk hati itu. Aku tidak mahu Neesa gusar dan bimbang
akan kesihatan ku lagi.
“I akan cari juga penderma tu. You jangan risau,” gumam Neesa mahu
aku bertenang. Bubur nasi di atas meja kecil di sisi katil hospital itu disentuh
dan dibawa ke dalam pegangannya.
“Jangan susahkan diri you Neesa, bukan senang nak dapatkan
penderma!” bantah ku perlahan. Namun tidak dipedulikan wanita itu, bahkan
dirinya memasang tekad untuk tetap mencari penderma yang bersesuaian dalam masa
terdekat ini.
“Attar, I tak kisah... yang penting I dapat bahagiakan hidup you
selagi I berpeluang berbuat begitu. Kenapa? You jangan tanya sebabnya... yang
penting I dapat tebus segala kejahatan yang I pernah lakukan pada you dan Nia
dulu. I harap you boleh maafkan I dan anggaplah semua ni pengorbanan I untuk you.”
Gumam Neesa mengacau bubur nasi di dalam mangkuk kecil yang berasap tipis.
“I dah tak tahan Neesa, mungkin dah tiba masanya. Tiada harapan
lagi,” gumam ku perlahan. “You tahukan penyakit I dah kronik... masa untuk I
dah singkat Neesa. Jadi tolong jangan susahkan diri dan hidup you lagi,” ucap
ku dalam payah mengatur nafas dan melontar bicara.
“Shhhhh! You tak boleh cakap macam tu... Amsyar dan Qalisya perlukan
you. You tak kesian pada mereka berdua, membesar tanpa ayah? Common Attar, you
kena kuat! Bertahan, sampai bila you nak beralah dan mengalah macam ni.
Please...” rayu Neesa berharap aku akan terus bertahan sehingga penderma yang
bersesuai ditemui.
“Hidup I tak lama, Neesa!” aju ku tanpa berselindung lagi. Persekitaran
bilik rawatan hospital ku perhatikan dengan pandangan kosong, pedih dan luluh
hati ini menjadikan aku lemah semangat. Mama dan abah juga tidak sekalipun
datang melawati aku anak mereka yang sedang bergelut dengan kesakitan ini.
Aku tahu mereka masih bersalah sangka pada aku, namun dalam keadaan
begini biarlah aku pergi setelah wajah keduanya telah ku lihat dan ku tatap
buat kali terakhir. Dan Nia serta Amsyar, aku tidak rela mereka melihat aku
dalam keadaan begini, aku tidak sudi diperhatikan dalam kesakitan yang membawa
aku derita begini. Maafkan abang Nia, maafkan papa Amsyar! Maafkan aku Neesa!
“Attar, you janganlah macam ni... sedih hati I tengok you lemah
begini. Bertahan Attar, I akan cari penderma tu, apa yang you perlu buat
sekarang ni. Cukuplah andai you bertahan dan kuatkan semangat you, beri sedikit
masa pada I untuk cari penderma tu. I janji, yang I akan dapatkan juga penderma
tu! Tolong percayakan kata-kata I.” Pujuk Neesa agar aku terus bertahan melawan
penyakit yang berada di tahap paling kronik ini. Aku menggeleng lemah, namun
senyuman tetap ku pamer buat dirinya.
“Attar, I berharap sangat yang you dapat bertahan buat waktu ni,
demi anak-anak yang masih lagi mengharapkan kasih sayang dari seorang ayah.”
Neesa menyentuh dahi ku lantas rambut ku diusap lembut persis menyalurkan
semangat kepada aku yang sudah separuh nyawa pergi bersama derita ini. Berbulan
aku terlantar dan mengharapkan ubat penahan sakit, dan kali ini aku tahu ubat
juga sudah tidak berfungsi mengurangkan kesakitan ini.
“I tak tahan Neesa,” ucap ku lemah. Urat dan segala sendi ini terasa
bagai mahu terlerai dari kedudukannya. Aku kesedihan merindui insan-insan yang
teramat aku cinta! Dan sering kali aku menolak cadangan Neesa untuk membawa dan
menyampaikan khabar berkenaan kesihatan ku kepada mereka semua.
Benarkah aku telah menyeksa diri ku sendiri? Benarkah? Aku sedikit
tidak berniat sebegitu kerana aku tahu mereka pasti akan terluka melihat
keadaan aku yang lemah meniti hari-hari terakhir di atas katil hospital di
dalam bilik yang kelam, suram dan jauh dari rasa bahagia.
“Attar jangan takutkan I, please...” Neesa sembamkan wajahnya ke
dada ku. Tangis itu mulai kedengaran halus dan aku yang mendengarnya juga
kesedihan namun siapalah aku untuk menolak takdir hidup ku sendiri.
“I sakit, Neesa! Tolong ketepikan diri you,” pinta ku dalam payah. Nafas
ini semakin berat menghimpit, dada ini terlalu payah menghela nafas dan seluruh
urat dan salur darah juga seakan mencucuk kesakitan. Aku benar-benar kesakitan,
rongga hidung pula semakin laju mengalirkan darah pekat.
“Sakit Neesa,” sebaris ayat ku lontarkan dalam payah. Neesa
memanggung wajahnya, wajah pucat dan perit menanggung kesakitan ini
diperhatikan dalam riak terkejut.
“Attar.... you jangan buat I macam ni. Jangan takutkan I!” jerit
Neesa sedikit kuat. Wajahnya diangkat dari melekat di dada ku yang berbalut
pakaian hospital bewarna hijau tua. Aku hanya mampu melihat wajah itu namun
kudrat yang bersisa bagai sudah lama hilang dibawa kesakitan yang mencengkam.
Aku tahan sendu di hati dan aku cuba pamer senyuman buat Neesa walau kudrat ini
sudah tiada dayanya lagi.
“Attar, bangun!” bahu ini digoncang berulang kali menjadikan aku
bertambah sakit. Mata ku rapatkan menahan kesakitan yang mula mencengkam dalam
dada, nafas juga semakin berat untuk ku hela. Dan dalam kekalutan ini, aku
menangkap kelibat Neesa yang berlalu keluar dari bilik rawatan ini. Mungkin
mendapatkan bantuan sesiapa di luar sana atau mungkin membiarkan aku pergi
sendirian.
“Ya Allah, sakitnya! Bantu aku, Ya Allah!” rintih ku mengerang kuat!
Dalam melawan rasa sakit yang datang, terasa ada usapan lembut yang
menyentuh dahi dan ubun-ubun ini. Air mata ku tumpah lagi, siapakah yang sudi
bersama aku meniti saat-saat terakhir ini. Siapakah insan itu? Atau ia hanya
sekadar mimpi yang mengiringi aku pergi?
“Attar,” satu suara menyeru nama ini. Suara yang cukup ku rindukan
siang dan malam. Namun aku tiada kudrat untuk menyahut, kelopak mata ini berat
untuk ku buka.
“Attar,” sekali lagi nama ku diseru namun ada getar dihujung
suaranya.
“Attar.... anak mama!” aku buka mata yang hampir terpejam. Seraut
wajah kerisauan mama menancap pandangan mata ku. Mama berada di sini, dekat dan hampir dengan
ku! Mimpikah aku?
“Ma... mmma..” sambut ku dalam payah! Pandangan yang jelas dan
terang beransur kabur dan akhirnya tubir mata ini sekali lagi bergenang dan
berat... perlahan-lahan air jernih itu mengalir lesu di lekuk pipi yang semakin
cengkung.
“Attar... anak mama! Maafkan mama, mama tak tahu anak mama sakit!
Maafkan mama Attar, maafkan mama!” raungan mama membuatkan aku tersedar
bahawasanya mama benar-benar berada di
sisi aku waktu ini. Bukan lagi mimpi ataupun khayalan!
Jari jemari ku diraih ke dalam pelukan itu dan sesekali dikucup penuh kasih. Aku tatap wajah
mama, saat dan ketika ini ku akui air mata ini terlalu mudah tumpah ke pipi.
“Shhhh.... jangan menangis sayang. Mama ada ni, mama teman Attar!
Mama sayangkan Attar,” air mata ini di seka dengan jari jemari mama dan
ubun-ubun ku juga dikucup penuh kasih manakala wajah ini diusap penuh rasa
sayang. Perbuatan mama semakin menjadikan aku sebak dan tiada kata-kata yang mampu aku lafazkan
lagi melainkan pandangan penuh pengertian. Ya hanya pandangan ini yang
berbicara mengungkap sebak dan terharu dengan penerimaan mama.
“Jangan menangis sayang, mama ada... mama ada ni.” Mama pujuk aku
persis aku anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ibu dan aku
mengakuinya bahawasanya aku benar-benar merindui kasih mama. Kasih sayang
seorang ibu yang tiada galang gantinya!
“Ma...” leret panggilan ku berharap mama melihat aku waktu ini.
Wajah itu basah dengan air mata. Begitu juga abah yang setia berdiri di sisi
mama. Merenung wajah ku penuh kasih kebapaannya!
“Ya sayang, mama ni....
pandang mama.” Ujar mama memaut kepala ku lalu ditarik rapat ke wajahnya.
Kedua pipi ku disentuh lembut dan raut wajah ku diperhatikan. Dapat ku lihat, ada
air jernih mengalir mengiringi setiap patah bicaranya!
“Mengapa Attar sembunyikan hal ni dari mama, kenapa Attar?” suara
lirih mama menyapa pendengaran ku tika ini. Sesungguhnya aku tidak tegar
melihat mama dalam keadaan begini apabila mengetahui keadaan aku yang lemah seperti
ini.
“Mama tahu mama kejam pada anak mama, mama biarkan Attar tanggung
sakit seorang diri. Mama jahat pada anak mama sendiri,” lirih dan esak tangis
mama menjadikan aku semakin dipagut duka. Bukan niatku merahsiakan segalanya
dan bukan tujuan ku membuatkan mama menyalahkan dirinya sendiri. Tujuan ku
hanya satu, tidak mahu mama bersedih sebegini!
“Kalau diberi kesempatan, tak sanggup mama biarkan Attar sakit
begini! Mama tak sanggup tengok anak kandung mama tanggung derita sampai macam
ni sekali.” Sekali lagi tubuh ku dipeluk erat. Air mata mama menitis lagi,
hangat mengenai kulit wajah ku yang sudah semakin sejuk.
“Janga bersedih ma,” gumam ku serak. Pilu melihat mama yang dahulu
seorang wanita yang digelar wanita
besi, kuat dan berhati waja kini lemah
hanya kerana melihat anak kandungnya terlantar kesakitan. Maafkan Attar mama,
Attar tak sanggup melihat mama begini!
“Sampai hati Attar, tidak layakkah mama bersama anak yang mama
kandung walau apa keadaan dia sekalipun? Mama sayangkan Attar, maafkan mama
bersangka bukan-bukan pada Attar. Maafkan mama Attar!”
Mendengar patah bicara mama waktu ini, membuatkan aku sedar
bahawasanya kasih seorang ibu sebenarnya kasih yang membawa ke syurga. Sebak
dan terharu silih berganti melatari seluruh ruang hati. Aku kesakitan dan
kesakitan ini bertambah setiap kali air mata mama gugur. Ya aku kesedihan
dengan keadaan yang menjadikan mama lemah sebegini.
“Jangan menangis sayang, mama ada.... mama tak sanggup lihat Attar
begini. Ya Allah berilah kesakitan itu kepada ku, jangan beri derita kesakitan
ini kepada anak kandung aku. Dia satu-satunya anak yang aku ada! Beri
kesempatan untuk dia teruskan hidupnya, andai terpaksa aku rela menggantikan
tempatnya,” ujar mama bersama tangis sendunya.
“Shhh....ma,” aku telan liur. Sendu di wajah mama, pilu terkesan di
hati ku.
“Jangan macam ni ma, Attar redha dengan keadaan Attar. Lepaskan
Attar mama,” bisik ku dalam payah dan aku tahu masanya mungkin sudah tiba.
Tenang setelah melihat mama dan abah di hadapan mata.
“Pap....paa... papa...” aku yang terbaring mengalih ke arah suara
kanak-kanak yang sedang lunak menyebut perkataan papa. Qalisya yang sudah
berjalan datang menghampiri ku manakala Amsyar yang baru sahaja belajar
bertatih memaut dinding cuba mendekati aku. Air mata ini gugur laju ke lekuk
pipi, melihat zuriat sendiri sedang berusaha mendekati aku waktu ini. Dan
dihujung sana Nia berdiri di muka pintu. Wajah tanpa niqab itu kelihatan keruh
dan sukar sekali untuk ku gambarkan tentang keadaanya ketika ini.
“Papa sakit sayang, sini pada
nenek!” mama cuba mengambil Qalisya yang berdiri di birai, rengekan Qalisya
yang enggan berjauhan bergema kuat di dalam wad sederhana besar ini. Manakala
Amsyar pula semakin mendekati, tersenyum dan ketawa kecil melihat aku yang
terbaring dan dia minta dipangku.
“Ma... panggil Nia ma! Attar nak jumpa Nia,” bisik ku dekat
ditelinga mama. Mama menurut, tubuh itu meninggalkan aku lalu menghampiri Nia
di muka pintu.
“Nia, sini tengok Attar nak... sini,” lengan itu dipegang erat oleh
mama menarik agar Nia mendekati aku.
“Cakaplah sesuatu untuk Attar,” gumam mama lagi. Aku hanya memerhati
dan jauh di sudut hati aku rindukan suara itu. Cukup aku rindukan namun aku
tahu dia bukan kepunyaan ku lagi. Nia masih diam tidak bersuara, hanya
pandangan itu yang berbicara.
“Nia, cakaplah nak! Kesiankan Attar!” gumam mama menggoncang tubuh
Nia yang kaku tidak bergerak. Sesekali mama menyeka air mata yang tumpah ke
pipi!
Nia masih diam kaku, memerhatikan aku tanpa sepatah kata. Dan kali
ni aku benar-benar kesedihan! Nia tidak sudi lagi berbicara bahkan dirinya
hanya kaku tanpa seungkap bicara. Air mata ku gugur jua, gugur kepedihan
melihat insan yang teramat ku cinta semakin menjauhi hati ini.
“Nia... cakaplah sesuatu pada Attar.” abah menyuruh. Namun tiada apa
yang ku lihat. Nia masih kekal disitu hanya pandangan matanya sahaja yang
menikam seraut wajah ku.
“Nia,” panggil mama sekali
lagi. Dan kali ini Nia bagai tersedar sesuatu, wajah ku diperhatikan lama
sebelum bicaranya terlantun perlahan. Tubuh ku dihampiri lantas duduknya
dilabuhkan di sisi katil. Dekat dan hampir pada ku!
“Abang, Nia ni....” ucapnya ku balas dengan anggukan kecil. Sungguh
aku sudah ketiadaan kudrat ketika ini.
Air mata ini ku biarkan
mengalir tanpa diseka bila suara Nia lunak menyebut sepatah ayat yang cukup ku
dambakan. Mama pula sudah teresak manakala abah di hujung sana sedang membuang
pandang ke arah lain. Tidak sudikah abah menatap wajah terakhir anak kandungnya,
yang bakal dijemput bila-bila masa?
“Abang, kenapa abang rahsiakan semua ni dari Nia? Apa salah Nia
bang? Abang tak yakin pada kasih dan setia Nia untuk jaga abang waktu abang
sihat mahupun sakit? Abang tak yakin pada setia dan kesudian Nia?” ungkapan Nia
perlahan berbisik disusuli derai air mata!
Aku menggeleng lemah! Maafkan abang Nia! Bukan itu maksud abang!
“Maafkan abang!” bisik ku dalam payah membuatkan air mata Nia
tumpah. Dibiarkan mengalir tanpa diseka. Aku kesedihan melihat air mata yang sudah
acap kali gugur kerana perbuatan ku padanya dahulu.
“Tapi perbuatan abang menambahkan sedih dan kecewa Nia, abang buat
Nia terkilan!” esak Nia menjengah suasana sepi dan pilu.
“Maafkan abang, abang bukan berniat sembunyikan semuanya dari
Nia!” hati kecil ini berbisik perlahan
walau Nia tidak mendengar segalanya. Aku redha!
“Nia sayangkan abang, jangan pergi dari Nia bang.... tolong jangan
pergi dari Nia.” gumam Nia lirih dan ada sendu disetiap patah bicaranya.
“Maafkan abang sayang,” tutur ku lemah. Mata ku pejam erat dan kini
aku tidak mampu bertahan lagi.
“Maafkan Nia bang.... jangan tinggalkan Nia.... tolong jangan
tinggalkan Nia.” rayu Nia semakin lama semakin perlahan. Aku tidak mendengar
apa-apa lagi melainkan suara jururawat yang muncul tiba-tiba.
“Semua yang ada diminta tinggalkan ruang ni, kami akan jalankan
pembedahan untuk encik Attar secepat mungkin. Penderma sudah setuju dan kita
mulakan sekarang!” gumam doktor bersama beberapa jururawat yang ada. Aku lelah
dan dalam lemah sebegini aku tidak mampu meneka dan melihat insan yang berhati
mulia. Yang sudi mendermakan hatinya untuk aku? Ya Allah rahmati insan mulia
itu! Itu doa ku untuk insan yang tidak ku ketahui gerangannya.
“Mama... akan doakan Attar!” gumam mama memangku Qalisya. Air mata diseka
perlahan dan sayu hati ku melihat mama dan Qalisya yang dirundung pilu. Amsyar
pula bersama abah dan Nia. Cuma Neesa yang hilang entah kemana?
“Nia, sini nak....” mama sentuh bahu Nia lalu memberi ruang untuk
katil yang ku huni di sorong keluar dari bilik rawatan.
“Attar, mama doakan Attar selamat di sana. Nia, doakan Attar ya
sayang,” ucap mama saat katil yang disorong keluar hampir menuju ke dewan
pembedahan. Mereka masih setia bersama diriku mengiringi aku ke dewan bedah.
Perlahan-lahan aku buka mata. Satu persatu wajah-wajah insan yang ku
sayang ku perhatikan, mama... abah.., Qalisya, Nia dan juga Amsyar. Cuma ada
kekurangan di situ? Ya aku sedar Neesa tiada bersama. Di mana Neesa, di mana
dia? Hati ini bertanya namun tiada bicara yang terlantun keluar. Hanya
pandangan ini yang berbicara dengan wanita yang bergelar ibu. Mengharap
pengertian dari pandangan yang ku lontarkan ketika ini.
“Mama doakan anak dan menantu
mama selamat keduanya,” tahulah aku bila mama ungkapkan sebegitu. Serentak itu
air mata ini kembali mengalir! Neesa mengapa kau korbankan diri kau untuk aku?
Aku tidak rela sesuatu yang buruk terjadi pada diri kau. Dan aku tidak rela
melihat Qalisya dibesarkan tanpa kasih seorang ibu andai sesuatu yang tidak
diingini terjadi nanti! Ya Allah Neesa,
kenapa kau lakukan semua ini? Kenapa? kata hati berperang sendiri. Aku
kesedihan dan aku terkilan kerana diriku, ada insan lain yang harus
mengorbankan dirinya.
Aku rapatkan kelopak mata,
lalu di hati ini aku harapkan semuanya akan berjalan lancar dan ku doakan
semoga kebaikan Neesa dibalas dengan rahmat dari yang Esa.
“Encik Attar, bersedia ya.”
Patah bicara doktor yang menyapa ku biarkan sepi tidak bersambut.
BAB 50
Seminggu selepas pembedahan, aku sudah kembali pulih namun masih
belum kuat sepenuhnya. Mama dan abah setia mengunjungi dan menitipkan kata-kata
semangat saban hari, cuma Nia yang jarang-jarang hadir. Katanya Qalisya dan
Amsyar tiada siapa yang menjaganya jika dia juga datang ke sini melawat diriku.
Seminggu sudah berlalu, bayangan Neesa masih belum kelihatan. Entah
di mana dia! Sedangkan hati ini melonjak-lonjak untuk menemui dirinya dan
melafazkan ucapan terima kasih ku kerana kesudian dirinya mendermakan
sebahagian hati itu kepada aku untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia
ini. Ingin ku bertanya, dimanakah Neesa berada ketika ini namun mama dan abah
pula, tidak sekalipun membuka bicara mengenai Neesa. Di mana agaknya wanita
itu?
“Ma, Neesa mana ma? Attar nak jumpa!” gumam ku masih lemah. Wayar
yang masih berselirat ku kerling dengan ekor mata. Payah dan perit namun aku
tabahkan hati untuk bertahan.
“Attar, rehat ya nak! Jangan banyak bergerak, doktor suruh rehat!”
mama yang lengkap memakai pakaian khas untuk melawati aku di sini ku pandang
sayu. Kasih seorang ibu, kasih yang cukup ku dambakan akhirnya ku rasai juga
walau maut hampir menjemput. Masih sudi mama hulurkan secebis kasih sayangnya
pada aku yang dahulu tidak diendahkan.
“Attar nak tahu keadaan Neesa. Dia macam mana ma?” aku tidak mahu
berputus asa. Perkhabaran wanita itu ingin ku dengar dengan sepasang telinga ku
sendiri. Keadaan dirinya ingin ku lihat dengan mata kepala ku sendiri. Aku mahu
melihat dan menatap wajah insan yang sudi menyerahkan sebahagian hatinya untuk
membenarkan aku terus berada di muka bumi ini. Besar sungguh pengorbanan Neesa!
Sejujurnya hati ini sebak dan terharu dengan ke ikhlasan itu.
“Ma... Neesa mana ma!” aku suarakan sebaris nama milik An Neesa.
Mama memalingkan wajahnya, sambil keluhan kecil kedengaran. Lengan ini disentuh
lembut dan di elus perlahan, bagai ada sesuatu yang tidak kena. Tentang apa?
Jangan sembunyikan dari aku! Aku ada hak untuk tahu apa yang terjadi pada
Neesa! Dia masih isteri aku dan aku masih punyai hak ke atas dirinya!
“Ma.... Neesa! cakap ma... mana Neesa?” leret suara ku memohon
simpati dan pengertian mama. Hati ini terguris andai mama terus terusan berdiam
diri seperti ini.
“Neesa...” mama bagai berat menuturkan patah bicaranya namun aku
terus memaksa. Keadaan Neesa ingin ku ketahui, sihatkah dia? Bagaimana keadaan
dirinya waktu ini? Ya Allah kuatkan semangat ku demi sebuah kebenaran.
“Ma... Neesa mana ma?” sekali lagi aku menyoal.
“Neesa dekat ICU, keadaan dia tak stabil!” gumam abah bagi pihak
mama.
“ICU? Kenapa bah?” nada suara masih lemah tidak berdaya namun dalam kudrat
yang bersisa tika ini, wajah abah disebelah sana ku perhatikan. Mengharap abah
membuka bicara tentang keadaan Neesa!
“Doktor kata, ada komplikasi dalam saluran darah. Jangkitan kuman!
Abah pun tak tahu sangat Tar,” gumam abah buat aku terkedu. Bahayakah nyawa
Neesa? Bagaimana dengan dirinya nanti? Masihkah ada harapan untuk diri itu
kembali sembuh? Persoalan-persoalan itu ligat berputar di minda, dari berbaring
aku berusaha untuk bangkit namun abah menegah. Mama pula melarang, namun aku
berkeras tidak mahu mengalah. Segera mama mendapatkan aku, tubuh ku dihampiri
dan dibantu untuk bersandar.
“Ma, Attar nak tengok Neesa!” tegas ku dalam payah. Kerana kasih
seorang ibu dan kasihan seorang bapa, akhirnya mereka turutkan jua permintaan
ini. Kerusi roda kembali ku huni, tubuh ku disorong menuju ke bilik rawatan
rapi, di situ Neesa terbaring kaku.
Melalui cermin yang menjadi penghalang antara aku dan Neesa, aku
memerhatikan dirinya di sebelah sana. Lemah dan kaku seorang diri! Hanya alat
bantuan penafasan dan wayar yang berselirat melingkari seluruh tubuh itu yang
menancap pandangan bening ini. Hati ku sebak dan pilu melihat keadaan Neesa
sebegitu!
Wajah ku raup, hati ini bergetar melihat dia bertarung nyawa
sendirian. Menderma dan menghadiahkan sebahagian hatinya untuk aku meneruskan
sisa hidup di dunia ini.
“Attar, tabah nak! Doakan Neesa cepat sembuh!” mama memujuk abah
pula mengangguk.
“Kalaulah ini yang terpaksa Neesa tanggung, Attar rela pergi dulu
ma. Attar rela!” tutur ku lirih. Andai ini kesudahan penderitaan yang harus ku
tanggung, aku rela diri ini terkorban. Bukan insan lain yang menjadi galang
gantinya! Ya Allah kuatkan hati ini! Dalam sedih yang singgah bertamu di hati,
kalimah itu aku ungkapkan agar kekuatan itu dipinjamkan kepada aku dalam mengharungi
liku-liku kehidupan.
“Shhhh.... Attar apa yang Attar cakapkan ni! Tak baik nak, semua ini
sudah tersurat! Attar kena kuat, kita perlu sama-sama doakan Neesa sihat
seperti dahulu.” Gumam mama masih tidak mampu memujuk hati ini. Hati yang
terguris dan terluka dalam!
“Attar nak jumpa Neesa.” pinta ku dalam sebak yang cuba ditahan.
“Doktor tak bagi Attar, antibodi Attar tak kuat lagi! Doktor bimbang
kalau-kalau Attar terkena jangkitan!” ucap mama menyampaikan pesanan doktor
yang merawat. Aku anggukkan sahaja, mana mungkin kehendak ku saat ini
ditunaikan oleh mereka lantaran kesihatan aku juga yang masih belum pulih
sepenuhnya.
“Kita balik ke bilik dulu ya, nanti Atttar dah semakin sihat... mama
janji bawa Attar ke sini ya!” mama taburkan janjinya dan kerusi roda ini segera
di tolak menuju ke bilik rawatan.
“Mama janji ya, Attar betul-betul nak jumpa Neesa!” ungkap ku penuh
mengharap.
“Insyaallah bila Attar dah sembuh, dah dibenarkan keluar dari
wad.... mama janji akan bawa Attar jumpa Neesa. Buat waktu ni, kita sama-sama
doakan Neesa.” Ucap mama ku anggukkan sahaja.
“Jom kita ke bilik, sekejap lagi doktor nak periksa keadaan Attar.”
Gumam abah tersenyum mesra. Aku turutkan sahaja, kerusi roda ini kembali
ditolak menuju ke bilik wad yang ku huni.
***
Hari berganti hari dan genap tiga minggu di sini, aku sudah
dibenarkan keluar dari hospital. Cuma Neesa sahaja yang tiada perubahan,
keadaan dan kondisi tubuh itu sama tak berubah.
“Attar, dah sedia nak balik?” Abah membuka bicara awal pagi itu. Aku
angguk dan pamer segaris senyuman.
“Dah bah, tak sabar nak mulakan hidup baru!” ucap ku teruja dengan
keadaan diri. Segar dan lebih bersemangat dari dulu. Cuma aku harus
berjaga-jaga dengan pemakanan dan perlu mengambil ubat seperti yang disarankan
oleh doktor. Tidak boleh tertinggal walau satu jenis ubat sekalipun, dan perlu
mengambilnya mengikut masa dan sukatan yang telah ditetapkan.
“Eloklah tu, berbulan-bulan Attar duduk dekat hospital ni. Akhirnya
sihat juga anak abah,” gumam abah lagi. Mama yang sedang memasukkan pakaian ku
ke dalam beg hanya diam memasang telinga mendengar perbualan antara aku dan
abah. Sesekali bibir itu menguntum senyuman mendengar celoteh antara aku dan
abah.
“Tak sangka betul, Attar boleh sihat macam dulu.” Ucap ku dalam rasa
syukur setelah diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
“Abah harap, Attar mulakan hidup baru dan tinggalkan semua sejarah
silam Attar. Jadi seorang muslim yang sejati, dan jadi anak yang soleh!” pesan
abah ku angguk perlahan.
“Insyaallah bah, Attar akan mulakan hidup baru. Lebih baik dari
dulu,” ucap ku membalas bicara abah.
Ketukan di muka pintu mematikan perbualan aku dan abah. Serentak itu
daun pintu terkuak, seorang jururawat datang menghampiri.
“Encik Attar suami kepada Puan An Neesa?” jururawat yang memakai
uniform bewarna merah jambu itu menerpa ke pandangan mata.
“Ya, saya suami dia!” jawab ku menahan debar dan getar dalam diri.
Mungkinkah Neesa sudah tersedar? Atau
berlaku sesuatu yang amat-amat aku takuti? Ah, hati! Jangan kau dera aku
begini!
“Pesakit sudah sedar, kami harap encik dapat ke sana untuk berjumpa
dengannya. Kalau boleh, dengan kadar segera ya!”
“Betul ke nurse?” soal ku tidak percaya.
“Ya betul, encik dah boleh lawat Puan Neesa,” sambutnya perlahan.
Aku raup wajah dan syukur ku lafaz bila keadaan Neesa yang sudah lama ku nantikan
perkhabarannya singgah jua kependengaran
ini.
“Ma... abah! Jom kita tengok Neesa!” mereka ku pelawa bersama.
“Marilah, tak sabar mama nak jumpa Neesa.” Gumam mama. Serentak itu
langkah kaki ku atur penuh teruja, menyusuri koridor kosong dan melewati
bilik-bilik rawatan yang lain sebelum sampai ke bilik yang menempatkan Neesa.
Ketika kaki menjejak perkarangan bilik, beberapa orang jururawat
kelihatan sedang menanggalkan segala wayar yang dahulu berselirat. Wajah Neesa
ku tatap penuh kasih, pucat dan cengkung tidak bermaya. Hanya kerdipan mata itu
yang melontar menghantar bicara. Aku hampiri tubuhnya, persoalan semakin deras
berkocak di dalam jiwa. Apa sebenarnya yang terjadi pada Neesa, jika dia
dikatakan kembali pulih mengapa keadaan ini yang terbentang di hadapan mata ku.
Lemah dan semakin tidak berdaya! Apa semua ini? Aku tidak memahami keadaan
Neesa yang sebegini.
“Attar,” bisik suara itu membuatkan aku tersedar. Sesekali anak mata
hitam pekat itu menikam seraut wajah ku, walau tidak bercahaya namun keikhlasan
itu tetap ada. Terbias jelas!
“Attar, pergi dekat dengan Neesa! Dengarlah apa yang ingin dia
sampaikan!” arah abah perlahan. Aku menurut, punggung ku labuhkan ke sisinya.
Jari jemari itu ku raih dan ku kucup penuh kasih, penuh pengharapan dan penuh
panghargaan pada dia yang sudi memberi sebahagian hatinya. Dan harapan ku
waktu-waktu begini hanyalah untuk melihat dia kembali pulih seperti dahulu. Ya,
pulih seperti dahulu! Itu sahaja!
“Maafkan I selama menjadi isteri you, maafkan segala kesalahan dan
tingkah I.” ucapnya dalam payah. Sesekali udara yang dihirup di hela payah.
“I tak pernah simpan dendam! I sayangkan you, Neesa!” gumam ku dalam
lirih. Buat pertama kalinya aku lafazkan rasa kasih ini pada dirinya. Dia
tersenyum namun hambar dipandangan mata ku.
“Terima kasih sudi terima Neesa sebagai isteri,” ucapnya lagi. Aku
hela nafas ini dan seraut wajahnya ku sentuh penuh kasih.
“Terima kasih hadiahkan sebahagian hati you pada I, lepas ni kita
bina hidup baru! Tinggalkan semua keperitan dulu dan mulakan sekali lagi.”
Gumam ku menyusun bicara agar Neesa kembali bersemangat seperti dahulu. Namun
dia menggeleng lemah, berkerut aku melihat tingkahnya waktu ini. Tidak sudikah
Neesa kembali bersama aku?
“Jaga Qalisya, dan sayangkan Nia. Jadikan dia isteri you semula,”
permintaan Neesa bagai berat untuk aku turutkan. Nia, ya sebaris nama yang
semakin menjauhi aku. Dan bakal menjadi milik lelaki lain!
“Kita sama-sama akan jaga Qalisya!” tegas ku tidak mahu Neesa
berkata yang bukan-bukan. Kali ini gelengan kecil itu terbias bersama sebuah
senyuman. Walaupun sukar untuk menguntum senyuman, Neesa masih cuba untuk
menunjukkan sedikit rasa bahagia di hatinya.
“Neesa, you dah sedar?” pertanyaan Nia buat aku tersentak. Suara itu
sudah lama lenyap dari pendengaran ku namun hari ini aku mendengarnya sekali
lagi. Aku menoleh, Nia sudah berada di belakang tubuh ku sambil memangku
Qalisya.
“Qalisya rindukan you,” gumam Nia sambil mendekati tubuh Neesa yang
semakin lemah tidak berdaya. Qalisya
diletakkan di sisi Neesa dan serentak itu tubuh lemah Neesa dipeluk erat oleh si kecil.
“Qalisya sayang, anak mama.... jadi anak solehah ya sayang!” pesan
Neesa sambil kucup dahi itu. Rambut kerinting Qalisya diusap penuh kasih dan di
situ juga kepala kecil itu dilekapkan di dada ibunya. Manja tingkah Qalisya
yang beberapa hari ini terpisah dengan kasih seorang ibu.
“Nia, kahwini Attar! Terima dia semula,” pinta Neesa buat aku
terkedu. Sekilas pandangan mata ini bersatu dengan pandangan bening Nia! sepantas
kilat, Nia melarikan pandangan.
“Terima Attar kembali, ini satu-satunya permintaan terakhir...”
bicara Neesa dicantas oleh Nia.
“Shh.... I tak nak you cakap macam ni. Yang penting, I mahu you
sihat macam dulu,” gumam Nia menahan sebak. Neesa pamer sebaris senyuman yang
berat untuk diukir. Gelengan kecil terbias di raut wajah itu.
“Terima diri Attar semula, bina hidup bersama. Besarkan Qalisya
dengan kasih sayang you all berdua. Ini permintaan terakhir I.” Berat sungguh
Neesa menuturkan bicaranya. Sesekali dada itu beralun tidak sekata. Laju dan
semakin pantas!
“Neesa... kenapa you cakap macam ni? You akan sihat,” aku pujuk diri
itu. Walau aku mula menangkap sesuatu, keadaan Neesa semakin kritikal. Mesin
jangka hayat itu semakin lemah berdetik.
“Maafkan I,” ucapnya perlahan. Air mata itu mengalir lesu lantas ku
seka dengan hujung jari.
“Maafkan I!” lafaznya sebaris.
“Neesa, shhh... You perlu rehat!” kepalanya ku pangku dan rambut itu
ku usap penuh kasih.
Qalisya yang sedari tadi merengek kali ini mula teresak perlahan,
wajah Neesa ditatapnya lantas jari jemari itu digenggam erat.
“Qalisya sini ikut nenek,” tubuh itu dicempung dan kali ini tingkah
anak kecil itu bagai berbeza dan pelik. Dia masih menggapai-gapai tangannya
untuk menyentuh Neesa yang semakin payah mengatur nafas. Akhirnya mama
melepaskan juga tubuh si kecil kembali semula ke dalam dakapan ibunya, An
Neesa.
Aku sebak melihat keadaan sebegini, Qalisya dalam tangisnya dan
Neesa pula sekadar tersenyum melihat si kecil yang teresak. Derai air mata itu bagai mengggambarkan perasaan sebak
Neesa yang bakal berpisah dengan Qalisya! Pipi montel Qalisya dikucup tanpa
henti. Pilu benar hati ini melihat tingkah keduanya!
“Attar..” seru Neesa perlahan.
“Ya, Neesa!” aku genggam jari jemarinya lalu ku kucup syahdu.
Wajahnya masih menjadi fokus ku.
“I sayangkan you, terima kasih beri peluang terima diri I dalam
hidup you!” ungkapnya tersekat dalam payah.
“I juga sayangkan you! Neesa... shhhh! You kena rehat!” pujuk ku
agar Neesa tidak lagi meneruskan bicaranya.
“I.. I.... sakit Attar!” akhirnya derita kesakitan itu Neesa
lontarkan.
“Neesa, bertahan! I panggil doktor!” baru tubuh ingin ku gerak,
pegangan tangannya menghalang. Aku duduk kembali, wajah itu ku perhatikan. Deru
nafas semakin laju tidak teratur, dada itu berombak kencang. Qalisya sedang
menagis, mama juga sebak dan abah pula diam di hujung sana. Nia, Nia juga masih
di sisi Neesa.
“Neesa, jangan buat I macam ni! Bertahan!” pinta Nia dalam esak air
mata.
Panggilan itu tidak berjawab, hanya desah dan air mata Neesa yang
keluar menuruni lekuk pipi. Mata itu terpejam erat bagai menanggung kesakitan
yang teramat. Kedua kaki itu juga keras dan cengkaman tangan itu pula bagai
kuat merantai seluruh kekuatan tenaga lelaki ku.
“Abang, ajarkan syahadah! Ajarkan syahadah!” gumam Nia mengingatkan
aku.
Aku masih lagi terpinga, kaku dan kelu tidak berbicara.
“Ajarkan Neesa syahadah bang, ajarkan Neesa!” bicara kali kedua yang
meniti di pinggir bibir Nia menyedarkan aku yang terkaku. Lantas kalimah itu
aku lafazkan dan Neesa menurut dalam payah.
Dalam keras kesakitan itu, akhirnya Neesa pergi jua. Pergi bersama
sebahgaian hati yang ditinggalkan buat aku! Dada ini ku sentuh perlahan, di
sini Neesa tetap ada! Tetap hidup di dalam diri ini!
Aku raup wajah, terkedu dan sebak menatap sekujur tubuh yang kaku.
Perginya Neesa di atas pangkuan ku! Ya pangkuan seorang suami yang mula
menerimanya sebagai isteri! Wajah ku raup perlahan, derai air mata cuba ku
tahan dari gugur. Aku perlu tabah dan kuat! Aku perlu tabah dan teguh
menghadapi kepergian insan bergelar isteri!
“Ma.... ambil Qalisya ma.” Ucap ku lirih bila tangis Qalisya semakin kuat bergema. Perlahan-lahan
mama mendekati, tubuh si kecil dipangku dan serentak itu juga air mata di pipi
si kecil turun membasahi wajah mulus itu diseka. Tangan itu masih
menggapai-gapai untuk kembali kepada Neesa, hati ku sebak! Qalisya masih tidak
mengerti apa itu kematian, diri itu juga tidak tahu erti sebuah kehilangan. Aku
raup wajah, kesedihan melihat anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, kini
menjadi anak yatim. Kehilangan kasih ibu yang terkorban kerana menyelamatkan
sebuah nyawa yang lain. Maafkan papa Qalisya!
Perlahan-lahan, Neesa ku kalihkan kembali agar jasad itu tidak
kesakitan dengan sentuhan kasar ini. Dia ku letakkan penuh kasih dan dahi itu
ku kucup sebagai tanda kasih seorang suami yang akan melepaskan diri itu pergi
ke alam sana. Dengan pedih dan sebak di dada, selimut putih itu ku perhatikan.
Lantas ku gapai lalu ku hamparkan perlahan-lahan. Dan kali ini aku ternyata
tewas dengan permainan emosi, air mata ini gugur jua! Gugur mengiringi perginya
kasih seorang isteri.
P/S: SAYA ADA UPDATE CITE BARU. JEMPUT BACA YE.. TERIMA KASIH
click link atas ni k :)
opss jgn lupa komen :)
Comments