IKATAN BERSIMPUL MATI 4
“Siapa yang hantar tu?” mak terus
menapak perlahan mendekati aku yang sedang termangu di atas sofa. Sedulang kopi diletakkan di atas meja kecil
lalu aku lihat mak terus sahaja duduk bersebelahan. Senyuman mak kelihatan
berseri-seri, aneh pula bila aku tengok mak senyum-senyum begitu.
“Kenapa mak senyum-senyum ni?” soal
ku laju-laju.
“Yelah, hari pertama kerja dah ada
orang yang hantar balik. Siapa tu Kay?” mak berbisik dekat di telinga aku.
“Adlan!” jawab ku sepatah.
“Adlan?” ulang mak agak tersentak
seketika. “Menantu mak tu?” sekali lagi mak menyoal dan aku angguk sekali.
“Tapi bukan menantu mak, bekas
menantu mak!” perbetul ku buat mak tersenyum senang.
“Baguslah, kalau Adlan yang hantar.
Kalau orang lain yag hantar, memang mak tak benarkan!” aju mak lalu menyentuh
tangkai teko lalu menuang air kopi dengan cermat. Hairan aku, sebelum ni
beratur-atur aku perkenalkan bakal teman lelaki kepadanya, namun satu pun tidak
pernah berkenan di hati mak. Semuanya ditolak mentah-mentah tanpa cuba
mengenali mereka semua terlebih dahulu, bahkan pernah sekali itu mak memberi
amara keras agar tidak membawa mana-mana lelaki lagi selepas ini. Mak kata, mak
tak akan terima mereka! Sudahnya, aku membujang hingga ke hari ni.
“Baik budak tu!” puji mak
tiba-tiba. Aku panggung wajah, baru sahaja ingin menyentuh cawan kopi namun
kata-kata pujian itu buat niat ku mati dengan tiba-tiba.
“Ai mak, lain macam je! Ada apa-apa
yang Kay tak tahu ke?” tebak ku sambil renung wajah mak dengan pandangan penuh
tanda tanya, namun mak hanya tersenyum lalu kepala digeleng sekali.
“Minum Kay,” pelawa mak ku sambut
dengan anggukan.
“Mak tahu tak, tadi kan Kay jumpa Adlan dengan ayah dia sekali. Terkejut Kay,
tapi tak sempat nak larikan diri!” aku teguk kopi buatan tangan mak sambil
memulakan perbualan lewat petang tanpa kehadiran ayah yang sedang bekerja di
luar.
“Lepas tu, Kay buat apa? Jangan aniaya
anak orang lagi Kay, tak elok!” pesan mak. Aku tahu mak bimbangkan sikap aku
yang kuat membuli, tapi itu dulu sebelum aku betul-betul berakal. Kini tidak
lagi, aku sudah besar dan semakin dewasa.
“Kay tak buat macam tu lagi mak,
mak jangan risau!” ujar ku agar hati mak tidak terlalu risaukan keadaan aku. Aku
sudah jauh berubah! bahkan berkali-kali lebih baik dari dahulu!
**
Seminggu berlalu, aku kini memandu
Preve ke tempat kerja, kereta pemberian bapa mertua ku! Tak berkenan, tapi bila
Dato Fadli bersungguh memujuk dan demi rasa hormat dan menjaga hati itu aku
terima juga walau menerima pemberian serupa ini bertentangan dengan prinsip dan
pegangan hidup ku yang lebih gemar berdikari.
“Lisa, masuk ke bilik papa sekejap!”
arah Dato Fadli ketika hanya aku dan Adlan sahaja yang tinggal di bilik
mesyuarat itu.
“Tanpa berlengah, segala fail yang
ditinggalkan oleh Adlan ku gapai dan ku susun rapi. Sejurus itu aku atur
langkah kaki ini menuju ke bilik kerja tertera perkataan General Manager.
“Ada apa papa panggil Lisa?” soal
ku lantas melabuhkan punggung ke kerusi walau tidak dipelawa lantaran sikap dan
prihatin Dato Fadli buat aku selesa dan menganggapnya persis ayah kandungku
sendiri.
“Malam ni Lisa bawa family datang
rumah papa, papa ada buat makan-makan sikit!” gumam Dato Fadli buat aku
terpempam seketika.
“Jangan lupa, datang ya!” ucapnya
lagi.
“Nanti Lisa tanya pada mak ayah! Kalau
mak dan ayah Lisa tak ada apa-apa, Lisa datanglah!” ujar ku menyedapkan
hatinya. Niat hati mahu menolak, tetapi nantilah dulu, biar aku pujuk mak dan
ayah agar membatalkan sahaja pelawaan bekas keluarga mertua aku tu. Sekurang-kurangnya
aku ada alasan yang kukuh untuk menolak.
“Ada apa-apa lagi ke papa?” soal ku
sesudah niat hati itu disampaikan.
“Tak ada apa-apa, cuma papa nak
tanya sikit.” Aku lihat Dato Fadli tegakkan tubuh yang tadi elok bersandar ke
kerusi.
“Tentang apa papa?” wajah itu ku
renung dalam.
“Tentang Lisa dengan Alan? Alan layan
Lisa macam mana?” soalan Dato Fadli buat aku rasa terharu. Sungguh prihatin,
pasti lelaki ini sedar bagaimana dinginnya Adlan melayani aku.
“Lisa, pekerja syarikat ni papa,
jadi Alan layan Lisa sama macam Alan layan pekerja-pekerja dia yang lain. Tak ada
bezanya papa, semua sama.” ujar ku beri jawapan selamat.
“Takpelah Lisa, nanti berubahlah
Alan tu.” Terang Dato Fadli tentang sikap dan kelaianan Adlan.
“Lisa tak pernah harapkan Adlan
berubah macam dulu, yang dulu sejarah silam Lisa. Hari ini masa depan kami, dan
Lisa minta maaf atas perbuatan Lisa pada Adlan dulu. Tapi Lisa tak boleh paksa
Adlan layan Lisa seperti pertama kali Lisa kenal dia sebelum ni.” aku hamburkan
rasa. Ya, aku tidak punya hak untuk mengharapkan Adlan melayani aku persis aku
insan suci yang tidak pernah melakukan kesalahan terhadapnya. Sejujurnya, kesalahan
aku pada dia memang tak terhitung dengan jari jemari!
***
Suasana di meja makan meriah dengan
perbualan antara papa dan juga ibu bapa aku, manakaka Adlan dan aku hanya
senyap membisu. Bercakap pun bila ada soalan yang dituju kepada aku ataupun
pada Adlan. Tentang nenek Adlan, wanita tua ini sama seperti dulu. Cukup peramah
dan mudah mesra walau aku pernah mengacau bilaukan keluarga itu suatu ketika
dahulu.
“Lepas makan ni, Lisa tidur sini
ya! Teman nenek, lama tak jumpa cucu menantu nenek!” aku yang sedang meneguk
minuman tersedak kecil lalu huluran tisu oleh Adlan ku sambut laju.
“Maaf,” ucap ku sesudah berasa
sedikit lega.
“Kay,” panggil mak bagai mengerti
perasaan ku kini.
“Nah, boleh ya izinkan Lisa tidur
sini semalam dua.” Gumam nenek Adlan buat aku renung mak dengan pandangan
memohon agar aku diselamatkan dari situasi seberat ini. Lengan mak di bawah
meja ku sentuh perlahan dan tidak semena-mena mak tepuk belakang tapak tangan
ku penuh kelembutan bagai meredakan resah yang bertandang ke hati.
“Din, boleh ya!” ucap wanita tua sambil
tebarkan pula pandangannya ke arah ayah.
“Takpelah, Kay tidurlah sini teman
nenek semalam dua.” Ujar ayah tenang.
“Tapi... Kay tak bawak baju!” aku
hamburkan alasan.
“Baju Lisa yang dulu ada nenek simpan!” senyuman
wanita itu ku renung lama.
“Apa salahnya Lisa tidur sini,
bukannya Lisa tak kenal dengan keluarga papa. Ya tak Adlan?” kali ini papa
kaitkan pula lelaki yang sedari tadi diam membatu.
“Err.. betul tu!” aku lihat Adlan
tergugup sedikit. Kenapa entah!
Tanpa kudrat untuk menolak, aku
turutkan sahaja kehendak nenek Adlan. Menghabiskan malam dengan berbual tentang
kisah silam aku bersama Adlan dahulu. Tentang mama Adlan, tidak pula tersapa di
pandangan mata aku.
Ruang bilik sederhana besar yang ku
huni ketika ini ku renung satu persatu, ada almari pakaian berhampiran pintu
lungsur dan di dalamnya terdapat beberapa pakaian yang ku tinggalkan dahulu. Ku
tinggalkan kerana melarikan diri pulang semula ke pangkuan keluarga! Akulepaskan
keluhan lalu mata ini ku kalihkan pula ke arah cermin solek, di situ ada gambar
perkahwinan aku bersama Adlan. Raut wajah keanak-anakan jelas terpamer, begitu
juga Adlan. Tampak kacak berbanding dahulu!
Sesudah itu, aku tebarkan pula pandangan
ini ke sudut katil, di situ anak patung beruang kepunyaan ku dahulu elok
terletak sederet dengan bantal-bantal berenda halus menerpa pandangan mata. Katil
bertiang empat ku hampiri lalu punggung ku labuhkan seketika.
Aku pernah merasai kesenangan
serupa ini sepanjang sebulan aku menjadi isteri kepada Adlan, semua apa yang
aku mahukan dengan mudah dituruti melainkan satu perkara iaitu aku tidak mahu
diganggu lelaki itu, namun permintaan aku yang satu itu sukar benar tergapai
lantaran Adlan tidak segan silu mengganggu hidup aku siang dan malam hingga
menjadikan aku sanggup berbuat apa sahaja untuk melepaskan diri.
“Lisa, bangun!” satu suara menyeru
namaku.
“Lisa, bangun! Dah subuh,”
panggilan itu buat tersedar. Dengan rasa malas mata ku genyeh dan pandangan ku
tebarkan ke satu batang tubuh yang sedang tegak berdiri berdekatan birai katil.
Antara sedar dan tidak, minda cuba mengingati di mana aku berada dan bagaimana
aku boleh terlelap begitu sahaja.
“Encik Adlan,” aku bingkas bangun
lalu mengesot menjauhi tubuh itu.
“Dah subuh!” ucapnya pendek.
“Ya, saya dah bangun!” aku selak
rambut panjang ini ke belakang bahu sambil ku renung raut wajahnya yang lengkap
mengenakan baju melayu dan kain pelikat. Terlupa keadaan ku yang tidak sempurna
menutup aurat, pantas selimut ku tarik menutupi kepala! Mujur Adlan tidak terus
terusan merenung tubuh ku, dan semakin menjadi kehairanan aku mengapa mudah
benar mereka membiarkan Adlan masuk ke kamar ku? Walau aku pernah menjadi milik
Adlan, itu tidak bermakna lelaki itu boleh keluar dan masuk ke kamar yang aku
huni ketika ini dengan sewenang-wenangnya.
“Siaplah, nenek ajak berjemaah!”
aku hanya mengangguk sekali lalu Adlan pula berlalu pergi.
Usai membersihkan diri, aku hampiri
bilik solat yang terletak di tingkat bawah rumah tiga tingkat milik Dato Fadli,
ternyata mereka semua sedang menanti aku yang terlewat bangun! Ah malunya!
Berteman dingin subuh, solat subuh
ku berimamkan Adlan. Syahdu alunan kalam Allah ketika itu membuatkan hati ku
dipagut sebak yang bukan sedikit. Dan rasa sebak itu semakin menjadi-jadi
apabila Adlan alunkan doa kudusnya kepada Ilahi. Sungguh berbeza Adlan hari ini
dengan Adlan lima tahun lepas yang serupa hantu dan jembalang. Lelaki yang
tidak pernah sembahyang dan tidak faham bahasa disatukan aku yang tomboy dan
agak aksar! Hingga membuatkan rumah tangga yang baru berusia sebulan jagung tunggang
langgang jadinya!
Sesudah berjemaah, sekali lagi aku
dikejutkan dengan bicara papa. Katanya mahu membawa aku bercuti di Kundasang
Sabah lantaran sudah terlalu lama mereka sekeluarga tidak keluar bercuti.
“Lisa ikut nenek ya,” lengan ku
disentuh oleh nenek dan senyuman mekar yang menghiasi bibir nenek ku balas
dengan senyuman kecil ku.
“Lisa kena bagitahu pada mak dan
ayah dulu,” ucap ku menerangkan duduk perkara sebenar. Walau aku sudah dewasa,
izin mereka yang membesarkan amat perlu untuk aku dapatkan.
“Lisa jangan risau, tadi papa dah
telefon mak dan ayah Lisa. Mereka izinkan!” aku angguk sekali, mengapa mudah
benar mak dan ayah melepaskan aku kepada keluarga Dato Fadli sedangkan mereka
tahu aku sudah tiada apa-apa hubungan dengan keluarga ini. Ayah sendiri yang
berjanji akan uruskan hal penceraian aku di mahkamah, lantaran ketika itu aku masih
berada di Kem Latihan Khidmat Negara.
“Pergi bersiap, kejap lagi kita ke
airport! Tiket dan ditempah!” sekali lagi bicara itu buat aku terpana,. Mereka semua
sudah merencanakan percutian ini.
“Lisa, kenapa termenung lagi?”
pertanyaan nenek ku balas dengan senyuman dan gelengan kecil.
“Pergi bersiap,” suruh nenek ku
angguk sekali. Tanpa berlengah aku daki anak-anak tangga menuju ke tingkat
paling atas dan tanpa ku duga Adlan yang baru keluar dari biliknya
mematika diri di muka pintu sambil
merenung ku tanpa berkelip.
“Encik Adlan,” seru ku sekali.
“Herrmm..” sambut dia acuh tak
acuh.
“Saya ikut Dato ke Kundasang!”
beritahu ku agar dia tidak terkejut nanti.
“Hermm okey!” lalu aku lihat dia
mengatur semula langkahnya dan terus sahaja menuju ke arah tangga dengan beg
pakaian bewarna hitam
***
Sepanjang perjalan menuju ke
Kundasang, aku lihat Adlan hanya mendiamkan diri dan leka dengan tablets yang
dibawa bersama. Sedikit pun tidak berminat untuk turut serta berbual dengan
papa dan juga neneknya. Hanya sesekali sahaja, Adlan menyampuk.
“Kita sewa aprtment!” cadang Adlan
pada papa.
“Ada kosong lagi ke Adlan?” soal
papa pendek.
“Alan dah book semalam sekali
dengan flight pakage!” sahutnya bersahaja.
“Marilah,” ajak papa langsung
menarik beg pakaian nenek dan juga beg dirinya sendiri. Beg aku pula sudah
ditarik oleh Adlan. Aku tak suruh pun! Apatah lagi memaksa, dia yang rela hati
jadi aku turutkan sahaja!
Suasana lewat tengahari di
Kundasang sungguh mendamaikan persis berada di ladang ternak New Zealand bila
melihat kawanan lembu tenusu bertopok hitam putih sedang meragut rumput
dipadang ragut yang luas terbentang.
Suasana sejuk di kaki bukit ini
buat aku tidak berenggang dengan sweater yang sentiasa menemani tubuh ku
kemana-mana sahaja. Sesudah itu aku luangkan masa bersama Adlan menemaninya
bersiar-siar di kawasan berdekatan. Entah apa yang Adlan carikan, aku tidak
pasti kerana tiada satupun yang aku lihat dibelinya melainkan kudap kudapan.
“Nah,” suanya pada aku. Dalam rasa
percaya dan tidak, jari jemari menyambut huluran darinya.
“Makanlah, orang kata ini makanan yang
tak patut dilupakan bila kita sampai ke sini!” gumam Adlan lalu melabuhkan
punggungnya di kerusi kosong berlatar belakangnya pemandangan gunung Kinabalu. Cantik
dan berkabus! Keropok lekor itu ku perhatikan tidak berkelip. Setahu aku
keropok lekor makanan tradisi Terengganu bahkan sudah meluas hingga ke
semenanjung Malaysia. Tak tahu pulak, kalau keropok lekor sudah popular di
Sabah! Dan bila masa pulak, keropok lekor makanan yang harus dirasa bila
bercuti di Kundasang. Hessyy ada-ada je Adlan ni.
“Lepas ni teman I ke Kinabalu Park,
dekat sana boleh tengok gunung Kinabalu lebih dekat.” Banyak pula Adlan
bersuara hari ini. Selalunya dia diam membisukan diri sendiri, tapi hari ini
Adlan sendiri yang memulakan bicara. Lain macam!
Walaupun sedikit penat, aku
gagahkan juga untuk mengekori Adlan yang tidak sudah-sudah meneroka kawasan sekitar
Kinabalu Park, niat untuk melihat gunung Kinabalu tidak tercapai lantaran kabus
sudah memenuhi puncak gunung itu lalu Adlan mengubah destinasi lawatannya ke
Kelah Sanctuary di Sungai Tagal.
“Sinilah,” dia sedikit terjerit
bila aku enggan turun ke dalam sungai yang dipenuhi ikan kelah.
“Tak mahulah Encik Adlan, saya
takut!” ujar ku di tebing sungai yang cetek.
“Jomlah!” ajaknya lagi, aku
menggeleng lagi.
“Sini,” dia dekati aku lantas
menghulurkan tangannya menanti aku menyambut huluran itu. Entah apa yang
merasuk aku, tapak tangan ini sudah kemas di dalam genggaman tangannya dan aku pula
sudah berada di dalam sungai yang dipenuhi ikan kelah bersama-sama dia. Mula-mula
aku berasa agak geli namun lama-kelamaan rasa geli dikelilingi ikan yang agak
besar-besar itu bertukar menjadi satu keseronokan. Dan Adlan pula tidak
lepas-lepas pamerkan senyumannya sama seperti lima tahun lepas. Tidak semena-mena
aku tersedar akan kedudukan aku dan dia ketika ini! Aku bukan isterinya dan
tiada keperluan untuk aku terus berpegang tangan sebegini.
“Encik Adlan, dah lewat ni. Bila
kita nak balik?” soal ku bila melihat suasana agak suram walau masih ramai yang
berada di kawasan sungai ini. Niat ku hanya satu, menyedarkan dia tentang
pegangan yang masih kemas membelit jari jemari ku.
“Pukul berapa sekarang?” soal dia
pedek. Pegangan tangan terus sahaja terlerai bila dia bersuara. Dan riak bersahaja
kembali melakari raut wajahnya.
“5.30 petang,” ucap ku pendek.
“Jomlah!” dia melangkah mendahului
aku jauh ke hadapan.
***
Angkara rasa mengantuk yang belum kunjung tiba, aku gapai
tablets yang diletakkan di atas meja kecil. Nenek dan papa sudah tertidur di bilik
masing-masing manakala Adlan sedari tadi tidak kelihatan.
“Eh, kenapa tak boleh nak Onn ni?”
gumam ku bila tabs yang ku sentuh tidak berfungsi seperti biasa. Aku kalihkan
pandangan ke arah wayar pengecas, mungkinkah aku terlupa mengecas beterinya
hingga tabs ini tidak boleh berfungsi seperti biasa.
“Tak mahu pun!” bicara ku pada diri
sendiri dan tanpa aku sedar, seseorang
mula duduk di birai katil betul-betul dibelakang tubuh aku.
“Kenapa ni?” suara itu gemersik dan
aku palingkan wajah seketika, Adlan sedang tersenyum pada ku.
“Err.. Tabs ni tak boleh onn!” ujar
ku gugup bila merasakan kedudukan kami ketika ini cukup rapat hingga aku boleh
merasai hadapan tubuhnya yang melekap ke belakang tubuh ku.
“Sini, saya tengok!” aku tersentak
bila Adlan bahasakan dirinya dengan panggilan saya dan getar di dalam dada
semakin menjadi-jadi bila lelaki itu hulurkan kedua tangannya menyentuh tabs
yang sememangnya sedang ku pegang erat. Jika papa dan nenek melihat, pasti
mereka menyangka aku sedang dipeluk oleh Adlan. Oh tidak, aku tak mahu mereka
bersalah sangka.
“Encik Adlan,” seru ku sekali.
“Aha,” hanya itu yang dibalasnya. Dan
wajah itu terasa semakin hampir bila aku rasa hembusan halus nafasnya mengenai
sisi kanan pipi ku.
“Encik Adlan,” panggil ku cuba
menyedarkan dirinya. Namun dia hanya senyum dan tidak bersuara. Tabs yang
dipegang telah diletakkan di atas meja lalu kedua tangan ku disentuh dan diriku
dipeluk dari arah belakang.
“Encik Adlan, jangan macam ni!”
pinta ku merayu walau aku bagaikan terbuai dengan perbuatan darinya.
“Shhh..” pelukan itu semakin erat
hingga aku juga tidak terdaya untuk menolak.
“Encik Adlan,” sekali lagi aku
bersuara dalam nada tenggelam timbul, bukan untuk menyedarkan Adlan tetapi
lebih kepada menyedarkan diri sendiri yang ternyata hampir hanyut, namun Adlan
lebih bijak mengawal segalanya. Tubuh ku ditolak lembut ke katil dan aku dicumbuinya
penuh rasa yang tidak mampu aku luahkan hingga membuatkan aku dan dia hilang
dalam keadaan yang tidak terkawal.
**
“Lisa, bangun dah subuh!” suara
Adlan kembali mengganggu lena ku. Dalam rasa malas, aku buka kelopak mata yang
terasa berat. Tidak semena-mena peristiwa malam tadi kembali terlayar di ruang
minda.
“Astaghfirullahhalzim, apa yang aku
dah buat ni!” aku bingkas bangkit dan berganjak ke hujung katil manakala wajah
ku raup berkali-kali bila melihat keadaan diri yang tidak sempurna berpakaian.
“Encik Adlan!” tangis ku perlahan.
Dia yang berada di sisi katil memanggung wajahnya sambil tatap wajah ku tanpa
riak.
“Apa yang Encik dah buat?” soal ku
dalam tangis yang sudah bertukar esakan.
“Sudah, pergi mandi. Nenek dah tunggu,
berjemaah!” lantas dia bangkit lalu menghilangkan diri keluar dari kamar ku. Aku
ketap bibir, penghinaan apakah ini. Ya Allah aku sudah terlanjur dan bagaimana
andai ketelanjuran ini membenihkan satu nyawa di dalam rahim ku! Ya Allah,
ampunkan aku!” sungguh aku menyesal kerana tewas dengan hasutan syaitan! Sungguh
aku terkilan kerana tidak mempertahankan maruah diri ku sendiri.
Comments
mungkin family lisa x gitau perkara sbnr kat lisa yg dia still jdi wife adlan.
--za--
Buat2 x tau.
-miss A-
Roza mamat