IKATAN BERSIMPUL MATI 3
Aku panggung wajah bila Encik Adlan
memanggil aku datang ke arahnya, dengan langkah bersahaja aku dekati dia yang
masih rancak membincangkan strategi pemasaran untuk mengukuhkan jenama produk
yang aku sendiri tidak pasti.
“Ya, Encik Adlan.” Aku tundukkan sedikit
wajah ke arah gadis yang sememangnya anggun di pandangan mata aku sambil
senyuman ku lempar semanis-manisnya.
“Buat kopi untuk tetamu I.” Bibir
itu melontar arahan tanpa sedikit pun menoleh ke arah ku. Nada itu kedengaran
mendatar sahaja. Tidak marah, tidak juga berlembut. Aneh sungguh sikap Adlan,
jika dahulu dia sering kali tersenyum dan kuat menyakat! Namun hari ini,
karakter dan penampilan lelaki itu berubah 360 darjah! Sungguh berbeza bagaikan
aku tidak pernah mengenali siapa itu Adlan Zakuan.
“Khalisa,” seru Adlan buat aku
tersentak. laju-laju aku tatap raut wajah itu, namun Adlan mengalihkan
pandangan ke arah lain. Langsung tidak sudi lagi memerhatikan aku kala ini. Mungkinkah
dia membenci dengan apa yang pernah aku lakukan padanya dahulu. Aku sendiri
gagal meneka hati Adlan yang sebenarnya.
“Buatkan kopi,” ujarnya pendek. Aku
jatuhkan kepalaku sekali lalu berundur setapak ke belakang terus sahaja aku
pusingkan tubuh menapak perlahan menuju ke muka pintu. Sesekali ekor mata ini
sempat mengerling ke arah keduanya, senyuman Adlan kembali tersungging
membincangkan perihal kerja. Perihal kerja? Mungkin, aku jungkit bahu kerana
aku sendiri tidak pasti apa yang dibincangkan oleh keduanya.
Dalam tercari-cari arah pantry, tanpa sengaja
bahu seseorang ku langgar hingga membuatkan aku hampir-hampir sahaja jatuh
tergolek. Wajah ku panggung untuk melihat individu yang berlaga bahu dengan ku
tadi.
“Uncle!” sepatah aku
bersuara. Kali ini aku bukan sahaja terkejut bahkan hampir-hampir jatuh
pengsan! Lelaki ini separuh abad ini pernah bergelar bapa mertua aku dahulu! Oh
tidak, kecilnya dunia!
“Khalisa,” nama penuh ku diseru
lembut dan senyuman itu persis lima tahun lalu. Sama dan tetap mesra seperti
dulu-dulu membuatkan aku semakin rasa bersalah.
“Ya, saya Khalisa!” jawab ku
pendek. Aku elus jari-jemari ku sambil tundukkan pandangan menekur ke lantai.
Aku tidak tahu, apa dan bagaimana untuk melenyapkan kesepian yang mengisi ruang
keadaan ketika ini.
“Khalisa sihat?” nada yang
terlontar dari bibir tua itu masih mesra. Aku angguk sahaja!
“Uncle sihat?” kali ini aku menyoal
sekadar berbahasa. Senyuman ku gariskan di pinggir bibir.
“Kenapa panggil uncle?
Panggillah papa,” ujarnya buat aku rasa semakin resah dan tidak betah berada
lama di situ.
“Takpelah uncle, Lisa tak
biasa! Lagipun Lisa pernah jadi menantu uncle sebulan je!” ujar ku jujur
dari hati yang dipagut rasa bersalah.
“Sebulan ke... setahun ke...
hubungan bekas menantu dengan mertua tak pernah putus.” Gumam bapa kepada
Adlan. Aku rasa sebak dengan tiba-tiba, sungguh baik keluarga mertua aku cuma
aku sahaja sering buat onar terutama sekali kepada Adlan.
“Papa rasa, papa selesa panggil
Khalisa dengan panggilan Lisa. Nama Kay dah tak sesuai untuk menantu papa ni,
tambah-tambah Lisa dah semakin cantik.” Aku ketap bibir dengan pengakuan ikhlas
tersebut. Namun sedikit sebanyak, aku rasa tidak wajar perkataan menantu itu
diulang lagi. Itu hanyalah sejarah silam kehidupan aku bersama Adlan. Jadi tiada
keperluan untuk mengharapkan aku menjadi menantu kepada keluarga itu sekali lagi.
“Dah banyak berubah menantu papa
ni,” sekali lagi dia bersuara. Aku hanya pamer sebuah senyuman, tiada apa yang
mampu ku ulas tentang penampilan sendiri. Dunia tomboy telah lama ku
tinggalkan, yang tinggal hanyalah dunia seorang wanita yang sejati. Penuh
kelembutan dan keindahan yang hakiki.
“Papa nak minum?” walaupun kekok membahasakan
diri itu dengan panggilan papa, aku tetap mencuba untuk lembutkan lidah ini memanggil
lelaki itu dengan gelaran yang dipinta.
“Kopi!” sahutnya pendek.
“Err... InsyaAllah Lisa buatkan!
Tapi...” aku panjangkan leher mencari bilik pantry yang sedari tadi tidak ku
temui.
“Lisa cari apa?” soal bapa Adlan. Sejujurnya,
aku sudah tidak mengingati siapa nama lelaki yang bersugguh-sungguh memujuk
ayah untuk menerima pinangan dari wakil anak lelakinya suatu ketika dahulu! Dan
tanpa aku sedar, tanpa aku duga aku dinikahkan dengan Adlan. Lelaki yang ku
lihat sering kali melepak dirumah mengganggu ketenteraman hidup aku selama
tempoh sebulan tinggal bersama-sama, sebulan itu jugalah aku lihat dia tidak
kemana-mana.
“Lisa cari pantry,” jawab ku
bersungguh.
“Adlan tak tunjukkan pada Lisa?”
soal bapa Adlan dalam riak terkejut.
“Encik Adlan ada tetamu,” balas ku
pendek.
“Takpelah, kalau macam tu biar papa
tunjukkan! Mari,” panggil lelaki tua itu dan aku mengekori langkahnya dari arah
belakang tanpa banyak soal dan banyak karenah. Lantaran aku sudah membuang masa
agak lama, pasti Adlan tertunggu-tunggu kopi yang diminta olehnya sebentar
tadi.
Sebaik sahaja bekas bapa mertua ku
berlalu, aku terus sahaja mencari pakej kopi pra-campuran lalu ku koyak hujung
plastik itu. Sesudah itu serbuk campuran kopi ku masukkan ke dalam mug bewarna
merah dan air panas ku tuang cermat. Untuk seketika, sudu kecil ku guna untuk
mengacau larutan hitam pekat tersebut. Tanpa berlengah aku tatang dulang berisi
tiga buah mug menuju ke bilik Adlan, sebaik sahaja aku tiba, wanita yang ku
sangka masih membincangkan urusan business tidak pula kelihatan.
“Buat kopi atau petik buah kopi?”
soalan itu meluncur laju dari mulut Adlan. Aku tatap raut wajahnya seketika
lalu aku tundukkan sedikit wajah.
“Maaf Encik Adlan,” ucap ku cuba
bersabar, tidak elok andai aku bertegang urat dengan majikan sendiri. Terutama sekali
pada hari pertama bekerja!
“Minum Encik!” aku letakkan mug di
atas meja. Dan serentak itu juga dia menggapai, baru sahaja mug didekatkan ke
bibir, lelaki itu menjarakkan semula kedudukan tersebut sambil merenung tajam
ke arah ku. Dan tidak semena-mena ingatan lalu terimbas kembali. Pasti Adlan
bimbang untuk meneguk kopi dari hasil tangan ku lagi, lantaran suatu ketika
dahulu aku pernah memasukkan serbuk arang ke dalam teko kopinya! Dan kerana
perbuatan aku, dia terpaksa ditahan di wad selama tiga hari. Keracunan makanan
yang amat teruk.
“Saya tak letak arang!” aku
terangkan hal yang sebenar. Dan dia hanya merenung ku tanpa berkelip lalu ku
lihat mug tadi diletakkan semula ke atas meja lalu ditolak ke arah ku.
“Arang?” soalnya sepatah bagai
tidak mengingati perihal kejahatan aku pada dia lima tahun dahulu. Dahi itu
kelihatan berkerut manakala sebelah kening itu terangkat tinggi bagai
menampakkan dia langsung tidak mengingati peristiwa yang aku sebut tadi. Mungkinkah Adlan tidak mengingatinya lagi?
“Ambil balik, I tak ada selera!” dia
lafazkan ayat-ayat itu dalam sekali nafas lalu kembali menancap pelbagai jenis
reka bentuk iklan di skrin laptop tanpa memperdulikan aku yang masih tegak
berdiri di hadapan meja kerjanya. Sedar diri tidak lagi diperlukan, mug ku
letakkan semula ke dalam dulang lantas kaki ku hayun menuju ke muka pintu. Mahu
menghantar kopi buatan tanganku kepada bekas mertua yang tidak ku ingati siapa
namanya.
***
Sedar jam sudah menunjukkan angka
5.30 petang, aku bergegas mengemas semula fail yang sudah siap sedia
dikemaskini. Sesudah itu, beg tangan ku gapai lalu langkah ku bawa mendekati
lif. Tidak semena-mena, pandangan mata ini bertaut dengan Adlan yang turut sama
menanti pintu lif terbuka. Dalam berkira-kira untuk turut serta atau membiarkan
lelaki itu menaiki lif, aku jatuhkan pandangan ke batang tubuh gadis yang ku lihat
tadi. Bentuk tubuh itu tinggi persis
model, cukup sempurna pada pandangan mata ku.
“Hai Alan, jumpa you lagi!” bicara
itu kedengaran lunak dan sedikit menggoda.
“Hai Felina, ada kerja lagi ke?”
Adlan kelihatan bersahaja namun tumpuan itu tetap terarah kepada gadis yang
disapa Felina.
“Taklah, fail I tertinggal tadi.
Mujur tak hilang!” balasnya bersama tawa halus. Aku masih lagi memerhati,
sungguh manja gaya Felina di sisi Adlan. Sesekali aku lihat Felina menyentuh
lengan Adlan yang berkemeja panjang dan sesekali aku ternampak bahu itu
disentuh seketika.
Dentingan lif berbunyi dan seretak
itu juga Adlan dan Felina menyusup masuk meninggalkan aku yang termangu.
“Excuse me,” Felina menjengul
kepalanya. Aku panggung wajah ku bila merasakan nada suara itu ditujukan ke
arah ku.
“Nak turun?” Felina jungkit
keningnya bersama senyuman manis. Aku jatuhkan kepala ku sekali lalu langkah
kaki ku bawa laju menghampiri perut lif. Dan sebaik sahaja kaki melangkah
masuk, aku lihat Adlan yang berada dekat di deretan butang lif menekan butang
bertanda huruf B1 iaitu basement tempat meletak kereta. Tanpa berlengah, aku
dekati dan butang lif berabjad G ku tekan laju. Aku tidak mahu ke basement
lantaran aku hanya perlu turun ke ground floor dan keluar melalui pintu utama
seterusnya menapak menuju ke hentian bas yang berdekatan.
“Adlan, malam ni you free tak? I
nak jumpa you, kita keluar!” ujar Felina kedengaran manja-manja.
“Bukan kita dah jumpa?” Sambut Adlan tenang. Aku yang
mendengar kakukan diri ku ditepi dinding lif sambil cuba menepis keinginan
memasang telinga mendengar perbualan keduanya.
“No, sekarang kita jumpa atas
urusan business! Malam nanti baru dikira perjumpaan yang sebenar, kita boleh
cakap semua perkara yang tidak melibatkan business. Boleh?” gumam Felina ku
lihat bagaikan kucing parsi yang sedang bermanja dengan tuannya. Menggesel sana
sini!
“Tengoklah dulu,” Adlan tersenyum
segaris dan Felina pamer senyum menggoda.
Dalam kesibukan mendengar bicara
yang tidak langsung menarik minat ku, pintu lif terbuka di ketinggian tingkat
tujuh dan sekali lagi aku diserang sesak dengan keadaan yang menjelma. Senyuman
bapa mertua ku terbias lebar di pinggir bibirnya dan aku lihat dia sedang
berkira-kira untuk menapak masuk ke dalam perut lif berada bersama-sama anak, mungkin
bakal menantunya Felina, dan juga bekas menantunya iaitu aku, Khalisa.
“Papa,” sapa Adlan pendek.
“Dato Fadli,” Felina juga menyapa
namun sapaan itu benar-benar buat aku terkujat seketika.
“Dato Fadli? Bermakna bekas mertua
aku berpangkat Dato? Kenapa aku tak tahu menahu atau aku memang tak pernah
ambil tahu.
“How about your first day?” soalan
itu buat aku tersenyum. Bapa mertua ku sama seperti dahulu, cukup prihatin
dengan aku yang pernah menjadi menantu hantunya.
“Well, so far so good.” Gumam ku
dalam senyuman. Beg tangan ku genggam erat menutup debar keadaan yang
mendatang.
“Dato kenal dengan PA Adlan?”
soalan itu dilontar Felina dalam riak wajah penuh tanda tanya, dan aku lihat Dato Fadli mengangguk sekali.
“Kenal, tapi Adlan saya tak pasti
sama ada kenal ataupun tidak!” ujar Dato Fadli buat aku telan liur. Namun dalam masa yang sama aku benar-benar ingin
tahu, adakah Adlan mengenali aku ataupun tidak. Atau lelaki itu berpura-pura
langsung tidak mengenali aku.
“Adlan, you kenal dengan PA you
sebelum ni?” Felina mengalih pertanyaan itu kepada Adlan. Suasana kembali
hening. Mata ku larikan ke seraut wajah Adlan , menanti bicara itu. dan dia
halakan pandangan matanya ke arah lain! Bagai tidak sudi melihat aku yang
sendang memerhatikan dirinya.
“Tak! Tak kenal,” jawapan itu cukup
tegas dan yakin. Dato Fadli ku lihat menggeleng kecil, namun senyuman itu masih
tidak lekang menghiasi pinggir bibirnya.
“Baguslah kalau Adlan tak kenal,
nanti susah pulak nak uruskan kerja!” kata-kata Dato Fadli buat aku termenung
seketika. Apa maksud bicaranya!
“Don’t worry papa,” sahut Adlan ku
dengar aneh. Bagai keduanya sedang membicarakan sesuatu yang aku sendiri tidak
pasti.
“Khalisa, balik nanti naik apa?”
Dato Fadli mula melancarkan topik perbualan menutup rasa sepi yang ku rasakan
saat ini. Sungguh bijak lelaki ini menutup rasa resah di hati ku bila Adlan
mengakui bahawasanya dia langsung tidak mengenali siapa Kay padanya dahulu. Baguslah!
“Saya naik bas Dato,” ujar ku dan
dia angguk sekali.
“Adlan, tolong hantarkan Khalisa
balik!” arah Dato Fadli buat aku tersentak.
“Eh, tak perlu papa... errr Dato!”
aku sudah tersasul dan lelaki itu ketawa kecil melihat kekalutan aku seketika
tadi. felina pula bagaika berkerut-kerut dan tidak lama selepas itu dia juga
ketawa bila merasakan aku hanyalah tersasul.
“Tak perlu Dato, saya boleh naik
bas! Saya dah biasa naik bas,” ujar ku bersungguh-sungguh.
“Jangan menolak, Adlan ada! Dia boleh
hantarkan!” Dato Fadli menolak alasan yang aku beri bahkan boleh pula memetik
nama Aldan untuk menjadi pemandu tidak bergaji pada aku. Huh dia lagi!
“Kalau orang dah tak mahu, jangan
kita paksa dia papa.” Tiba-tiba Adlan bersuara. Felina pula seaakan tersentak
dengan kata-kata yang dilontarkan oleh lelaki merangkap business partnernya
itu.
“Esok papa nak Adlan sediakan
kereta untuk Lisa! Mudah dia ke tempat kerja!” arahan itu sekali lagi buat aku
terpempam. Apakah ini? Mengapa mudah benar Dato Fadli memberikan itu ini
sedangkan aku bukan sesiapa pada keluarganya lagi. Atau mungkinkah ini salah
satu cara mereka membeli jiwa gadis tomboy seperti aku untuk kembali semula ke
dalam kehidupan mereka sekeluarga? Ah aku buntu!
“Excuse me Dato, kalau tak
keberatan boleh I tahu siapa Khalisa pada Dato sekeluarga?” soalan itu soalan
yang benar-benar aku nantikan.
“Dia bukan siapa-siapa!” Adlan
memintas laju. Dato Fadli senyum seperti tiada apa-apa.
“So, kenapa perlu diberikan kereta
or...” belum sempat Felina menghabiskan bicaranya, Adlan mencelah.
“Company I memang ada spare kereta
untuk staf. So tiada bezanya dengan company-company lain.” Alasan Adlan buat
aku berfikir panjang, alasan apakah itu? kereta untuk aku yang bekerja sebagai
PA? Huh anehnya hidup aku sekarang ni! tidak sedar keluhan ku lepas panjang
hingga menarik perhatian mereka bertiga.
“Errr.. sorry!” ucap ku perlahan
seraya melarikan pandangan ke arah lain.
***
Aku garu kepala yang tidak gatal,
suasana di dalam kereta Adlan benar-benar buat aku tidak tenteram. Lelaki ini
sibuk pula memakai cermin mata hitam, bukan panas terik pun! Langit mendung tak
bercahaya! Maka tidak perlulah memakai cermin mata hitam di suasana yang kelam
seperti ini.
Dalam menutup rasa gundah gulana,
aku perhatikan radio yang tidak dipasang, perlahan-lahan aku larikan jari
jemari ke radio. Ingin ku sentuh punat-punat kecil itu, namun memandangkan
Adlan bagai tidak berkata apa-apa, aku batalkan sahaja niat di hati. Tak perlu
radio pun tidak mengapa, daripada diamuk amarah lelaki itu. aku lebih sanggup
berasa sunyi dari dihambat tegang suara itu.
“Encik Adlan, betul ke Encik tak
kenal siapa saya?” soalku benar-benar ingin tahu.
“Perlu ke I ingat siapa you pada I”
soalan dilontar dengan soalan. Ah, aku bencikan situasi seperti ini. dia sama
seperti tadi, tetap tenang memandu sedikitpun tidak menoleh ke arah aku yang
sedang bersuara.
“I mean, Encik langsung tak ingat
siapa Khalisa sebelum ni?” aku hamburkan ayat yang kedengaran bertabur. Ah lantaklah,
asalkan matlamat utama ku peroleh segera.
“Errr... Umur Encik berapa?” aku
tujukan lagi soalan demi soalan yang benar-benar menggoyah tenangku sepanjang
hari ini.
“Encik tinggal dekat mana?”
“Stop talking! Jangan memekak
melalak tak tentu pasal!” hambur bibir itu buat aku terdiam. Tiba-tiba sebak
datang ke hati, kenapalah lelaki ini berkasar pada ku? Mungkinkah perbuatan aku
yang dulu menjadikan dia bertindak kejam pada aku sekarang ni.
“Tulah kau, tak reti jaga mulut! Sibuk
nak tanya itu ini... kan dah kena sembur!” hati yang rawan saling berbicara.
“Takpelah, lepas ni jangan harap
aku cakap dengan kau lagi Encik Adlan Zakuan! Sombong!” selar ku dalam hati.
Comments
kan kay penah buat dia cm 2 dulu....
hahaaha..
pas ni kay jd silent la x ckp ngn adlan..
fuyoo dpt keta...tergugat la Felina...
-miss A-
Nk seksa jiwa raga lisa, biar lisa rasa semakin bersalah. Huhuhuhu
~Lina~